KEM TAHANAN | Kem tahanan ialah tempat musuh politik, sama ada musuh benar atau yang dituduh, dipenjara, biasanya tanpa dibicarakan. Istilah ini mula-mula digunakan oleh Great Britain sebagai penjara tahanan Perang Boer, di Afrika kira-kira pada tahun 1900. Polis rahsia Soviet pula telah memenjarakan berjuta-juta orang di kem buruh selepas tahun 1928, iaitu semasa pemerintahan kuku besi Joseph Stalin. Semasa Perang Dunia II (1939–1945), kerajaan Amerika Syarikat dan Kanada menahan beribu-ribu orang keturunan Jepun di kem (lihat Perang Dunia II). Kem tahanan yang terkenal ialah kem yang dibina oleh Nazi di Jerman. | UMUM | |
BUCHENWALD | Buchenwald ialah kem tahanan Nazi yang terletak di Weimar, Jerman. Pihak Nazi membina kem ini yang digunakan untuk tawanan politik dan kaum, antara tahun 1935 hingga tahun 1937. | UMUM | |
MENGELE, JOSEF | Mengele, Josef (1911–1979) ialah doktor Jerman yang memilih sendiri 400 000 orang tawanan perang untuk dibunuh di dalam bilik gas di Auschwitz, kem tahanan Nazi ketika Perang Dunia II (1939–1945). Dia juga melakukan ujian yang zalim ke atas banduan, dengan tujuan menghasilkan satu bangsa yang mempunyai rambut perang dan bermata biru. Para banduan menggelarkannya sebagai “Malaikat Maut”. | UMUM | |
KELUARGA GERILYA | KELUARGA GERILYA, novel karya Pramoedya Ananta Toer. Novel ini ditulis semasa dia menjalani tahanan politik di penjara Bukit Duri, Pulau Buru, Indonesia. Penulisan novel ini selesai pada bulan Oktober 1949, Keluarga Gerilya diterbitkan pertama kalinya oleh penerbit Pembangunan, Jakarta, pada tahun 1950 dan cetakan kedua novel ini pada tahun 1955. Semenjak tahun 1958, novel ini diterjemahkan ke dalam tiga bahasa, iaitu Inggeris, Cina dan Rusia. Seterusnya, cetakan ketiga novel ini diterbitkan oleh penerbit N.V. Nusantara, Jakarta, pada tahun 1962. | SASTERA | Karya |
SING SING | Sing Sing ialah nama sebuah penjara negeri di Ossining, New York, Amerika Syarikat. Dari tahun 1970 hingga tahun 1983, penjara ini dinamakan Ossining Correctional Facility. Penjara ini mempunyai sekolah dan kilangnya sendiri. Pada mulanya Sing Sing mempunyai bangunan untuk banduan wanita, tetapi kini, tidak ada banduan wanita di penjara tersebut. Pembinaan Sing Sing dimulakan pada tahun 1825 dengan menggunakan tenaga tahanan buruh. Kemudian, penjara ini disusun semula dan beberapa bangunan baru telah didirikan. | UMUM | |
CERITA DARI BLORA | CERITA DARI BLORA, kumpulan cerpen Pramoedya Ananta Toer yang diterbitkan pada tahun 1952. Kumpulan ini mengandungi 11 buah cerpen yang hampir kesemuanya dihasilkan oleh Pramoedya pada tahun 1950, iaitu setelah beberapa bulan dia dibebaskan daripada tahanan. Dalam kata pengantarnya, H.B. Jassin menyatakan bahawa kesedaran yang terdapat pada diri pengarang, mendorongnya mencipta dan mengabadikan sesuatu sebagai kenang-kenangan kepada yang tinggal. Selain itu, terdapat unsur-unsur pengalaman dan kenangan autobiografi dalam kumpulan ini yang dapat dilihat melalui latar belakang sejarah dan kemasyarakatan yang begitu luas. | SASTERA | Karya |
AUSCHWITZ | Auschwitz ialah pusat buruh paksa dan penghapusan yang dilakukan oleh Nazi Jerman semasa Perang Dunia II (1939–1945). Lebih kurang satu juta orang mati di Auschwitz dari bulan September 1941 hingga bulan Januari 1945. Nazi menggunakan bilik gas dan cara lain untuk membunuh hampir kesemua mangsa. Manakala buruh paksa yang lain mati kerana kebuluran atau penyakit, dan sebahagian yang lain pula dipaksa berkerja di kilang-kilang berhampiran hingga mereka mati. Kebanyakan mangsa di Auschwitz ialah orang Yahudi. Nazi membunuh mereka sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk membunuh semua orang Yahudi di Eropah. Auschwitz terletak di Poland, berhampiran sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Oswiecim. Pusat ini terdiri daripada tiga buah kem tahanan, dibina antara tahun 1940 hingga tahun 1942. Kini, Auschwitz ialah sebuah muzium dan arkib yang dikekalkan oleh kerajaan Poland. | UMUM | |