KAMUS MELAYU | KAMUS MELAYU, kamus ekabahasa bertulisan Jawi, yang disusun oleh Al-Haji Syamsuddin bin Muhammad Yunus J.P. pada tahun 1353 H. Kamus ini dikenal juga sebagai Kamus Makna Perkataan Melayu. Cetakan kedua kamus ini terbit pada tahun 1367 H dengan tambahan 3000 perkataan lagi dan cetakan ketiga pada tahun 1372 H. Cetakan ketiga ini diterbitkan oleh Maktabah Al-Haji Abdullah bin Muhammad Nuruddin Al-Rawi dan dicetak di The United Press Pulau Pinang. | BAHASA | Penerbitan |
TAMU DI BUKIT KENNY | TAMU DI BUKIT KENNY, drama karya Usman Awang, yang dipentaskan pada tahun 1967. Drama ini telah diterbitkan bersama-sama tiga lagi drama karya Usman Awang iaitu “Malam kemerdekaan”, “Matinya Seorang Pahlawan (Jebat)” dan “Kiambang Bertaut” dengan judul Tamu Di Bukit Kenny oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada tahun 1968. Drama ini ditulis khususnya untuk dipentaskan sempena menyambut tahun ke-10, DBP berpindah ke Kuala Lumpur. Ia kemudiannya dipentaskan sekali lagi pada bulan April 1968 (sempena peletakan batu asas bangunan tambahan DBP) di bawah arahan Baharuddin Zainal. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
SUMBI GIGI | Kapsyen : Sumbi gigi SUMBI GIGI, penambal gigi yang rosak atau gigi tambahan atau buatan. Sumbi gigi memainkan peranan penting dalam penjagaan gigi di samping mengemas dan mencantikkan gigi. Sumbi gigi juga boleh berfungsi sebagai susuk pemanis. Pada mulanya sumbi gigi ini dibentuk menggunakan logam seperti tembaga, perak dan emas. Lama-kelamaan ada sesetengah masyarakat elit menempah sumbi gigi menggunakan logam platinum, kerana lebih mahal, kuat dan kelihatan berkilat apabila seseorang itu senyum atau ketawa. Dengan kata lain, sumbi gigi tidak lagi menjadi penutup bagi gigi yang rosak, sama ada berlubang atau rapuh tetapi mula enjadi penghias wajah pemakainya. | BUDAYA | Alat/Alatan |