TAN | Tan ialah nama tiga unit berlainan yang digunakan untuk mengukur berat dan kapasiti. Unit-unit itu ialah tan panjang , tan pendek , dan tan metrik . Tan panjang dan tan pendek sering digunakan di Amerika Syarikat, tetapi tan metrik digunakan oleh hampir semua negara lain. Tan panjang bersamaan 1016 kilogram, tan pendek bersamaan 907 kilogram, dan tan metrik bersamaan dengan 1000 kilogram. Lihat juga Pengukuran (Mengukur berat); Sistem metrik; Timbangan dan ukuran. | UMUM | |
SAGUARO | Saguaro ialah kaktus yang terbesar di Amerika Utara. Tumbuhan yang besar ini, sering dikenali sebagai kaktus raksasa, mungkin setinggi 18 meter dan beratnya sembilan tan metrik. Saguaro tumbuh hanya di kaki bukit dan gurun di selatan Arizona, tenggara California, dan barat laut Mexico. Ia adalah bunga bagi negeri Arizona. | UMUM | |
BIG BEN | Big Ben ialah loceng besar di menara jam Bangunan Parlimen di London. Big Ben beratnya 12 tan metrik. Diameternya 2.7 meter dan tingginya 2.3 meter. Big Ben mula bergema pada tahun 1859. Menjelang malam Tahun Baru 1923, loceng ini buat pertama kali didengari di radio, dan menjelang Tahun Baru 1949, loceng ini dan menara loceng yang terang-benderang muncul di kaca televisyen. Ia dipasang semasa Sir Benjamin Hall yang tinggi lagi gempal menjadi pesuruhjaya kerja raya. Benjamin digelar Big Ben dan anggota Parlimen menamakan loceng Big Ben sempena namanya. | UMUM | |
TAMPA | Tampa, Florida (pend. 280 015) ialah bandar pelabuhan yang utama di Amerika Syarikat, pusat perdagangan dan industri dan bandar yang ketiga terbesar di Florida. Ia terletak di barat daya pantai Teluk Tampa, iaitu serokan Teluk Mexico. Pelabuhan Tampa mengendalikan lebih banyak kargo daripada pelabuhan-pelabuhan lain di Florida, iaitu kira-kira 45 juta tan metrik setahun. Eksport tahunannya termasuk sembilan juta tan metrik bijih fosfat dari lombong berdekatan. Kumpulan kapal nelayan yang berpangkalan di Tampa menangkap udang dan lain-lain hasil laut dalam jumlah yang banyak. | UMUM | |
MONUMEN MEGALIT | Monumen megalit ialah binaan yang dibuat daripada batu besar oleh orang prasejarah untuk kubur ataupun untuk tujuan keagamaan. Perkataan megalit bererti batu besar. Batu itu mungkin seberat dari 25 tan hingga 90 tan metrik tiap-tiap satu. Monumen megalit boleh dijumpai di beberapa bahagian di dunia. Monumen yang paling terkenal terdapat di barat Eropah dan dibina antara tahun 4000 S.M. dan tahun 1500 S.M. | UMUM | |
PROJEK MINYAK SYAL RUNDLE | Projek Minyak Syal Rundle merupakan satu rancangan untuk melombong bagi mendapatkan minyak syal yang terletak di pantai timur Queensland, Australia, kira-kira 30 kilometer ke barat laut Gladstone. Mendapan itu mengandungi kira-kira 5000 juta tan metrik minyak syal. Di sebuah kawasan kira-kira 15 kilometer persegi, lima telaga minyak syal telah ditemui pada kedalaman antara 15 hingga 350 meter di bawah permukaan. | UMUM | |
KARILON | Karilon ialah seperanggu 23 buah atau lebih loceng tidak bergerak yang disusun untuk memainkan muzik. Loceng ini berbeza-beza saiznya, iaitu berdiameter antara sembilan sentimeter dan berat 3.2 kilogram hingga berdiameter 31 meter dan berat 18 tan metrik. | UMUM | |
MINYAK KELAPA SAWIT | Minyak kelapa sawit, yang dibuat daripada buah kelapa sawit, adalah satu daripada minyak sayur yang paling meluas digunakan di dunia. Hanya minyak kacang soya dikeluarkan dengan lebih banyak. Pengeluaran minyak kelapa sawit di dunia berjumlah hampir 13 juta tan metrik setiap tahun. Minyak kelapa sawit digunakan dalam keluaran seperti aiskrim, minyak masak, marjerin, dan sabun. | UMUM | |
ALLOSAURUS | Allosaurus ialah dinosaur besar karnivor yang hidup lebih kurang 150 juta tahun dahulu. Allosaurus hidup di bahagian barat Amerika Syarikat. Haiwan ini membesar sehingga lebih kurang 11 meter panjang, berdiri lebih kurang dua meter tinggi pada bahagian pinggul, dan beratnya lebih kurang 1.8 tan metrik. | UMUM | |
TEROWONG PELABUHAN SYDNEY | Terowong Pelabuhan Sydney , di New South Wales , Australia, ialah jalan perhubungan empat hala sepanjang 2.3 kilometer antara lebuh raya ke utara dengan selatan Pelabuhan Sydney. Projek tersebut yang dibiayai bersama oleh sebuah syarikat Australia dan sebuah syarikat Jepun, termasuk tiub bawah aras laut sepanjang 960 meter melintasi pelabuhan, yang dipasang pada lurah yang dibina di dasar laut. Tiub tersebut terdiri daripada lapan bahagian. Setiap bahagian ialah sepanjang 120 meter dan seberat 23 000 tan metrik. Terowong ini dibuka kepada lalu lintas pada bulan Ogos 1992. | UMUM | |