TANGERIN | Tangerin ialah nama popular bagi buah sitrus dalam kumpulan mandarin. Buah ini kelihatan seperti oren, tetapi lebih kecil dan lebih leper, lebih mudah dikopek dan ulasnya lebih mudah terpisah. Tangerin ialah buah mandarin merah jingga yang berasal dari Asia Tenggara. Kulitnya nipis dan berbau wangi. Buahnya lembut, tetapi pokoknya lebih tahan terhadap kesejukan daripada pokok oren. Jenis tangerin termasuk Clementine, Dancy, Ponkan dan jenis kacukan seperti Kinnow, Robinson, Sunburst dan Wilking. Tangerin ditanam di Brazil, China, Itali, Jepun, Sepanyol dan Amerika Syarikat. Pengelasan saintifik. Tangerin tergolong dalam famili rue, Rutaceae. Ia adalah Citrus reticulata . Lihat juga Tangelo; Tangor. | UMUM | |
TANGELO | Tangelo ialah buah sitrus mandarin yang terhasil daripada pendebungaan silang antara tangerin dengan limau gedang. Perkataan tangelo berasal daripada tangerin dan pamelo , nama lain bagi limau gedang. Tangelo berkulit nipis dan sedap rasanya. Jenis yang penting termasuk Minneola dan Orlando, kedua-duanya dari Amerika Syarikat. Ugli ialah tangelo Jamaica yang banyak ditanam di Hindia Barat. Lihat juga Tangerin; Tangor. | UMUM | |
TANGOR | Tangor ialah buah sitrus yang tergolong dalam famili mandarin (lihat Mandarin ). Ia dihasilkan melalui pendebungaan silang antara tangerin dengan oren. Induk tangor jarang diketahui dengan pasti, kecuali buahnya terhasil daripada program pembiakan baka tumbuhan yang dikawal dengan teliti. Tangerin Temple dan Tangerin Honey adalah antara tangor yang paling penting ditanam pada hari ini. | UMUM | |
SITRUS | Sitrus ialah nama sekumpulan pokok dan pokok renek yang tergolong dalam famili rue. Sesetengah buah sitrus adalah oren, limau gedang, limau, mandarin, termasuk klementin, satsuma, tangelo, tangerin, tangor, dan kacukannya; kumquat, oren pahit, limau nipis, sitron, limau dan bergamot. Pokok sitrus tumbuh liar di beberapa bahagian di India dan Asia. Orang Cina adalah yang pertama menanam pokok sitrus, lebih daripada 4000 tahun dahulu. Pokok dan pokok renek sitrus telah ditanam di bahagian-bahagian lain di dunia untuk buahnya bertahun-tahun lamanya. | UMUM | |
SALTO | Salto (pend. 80 787) ialah bandar yang kedua terbesar di Uruguay. Bandar ini terletak 97 kilometer di sebelah utara Paysandú (lihat Uruguay [peta]). Bandar ini membina pusat perdagangan untuk peladang dan pemilik ladang penternakan di utara Uruguay. Salto kadangkala dikenali juga sebagai City of Oranges disebabkan oleh dusun oren dan tangerin yang luas. | UMUM | |