TEKANAN DARAH | Tekanan darah ialah tekanan yang dikenakan oleh darah terhadap dinding arteri. Jumlah tekanan ini bergantung pada kekuatan dan kadar kontraksi jantung, isi padu darah dalam sistem peredaran darah, dan keanjalan arteri. | UMUM | |
RESERPINE | Reserpine ialah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat hipertensi (keadaan tekanan darah tinggi) sederhana. Ubat ini diperbuat daripada sejenis tumbuhan belukar dikenali sebagai Rauwolfia serpentina , yang tumbuh di India dan Asia Tenggara. Pati pokok ini telah pun digunakan sejak beberapa abad lamanya di tempat tersebut untuk merawat gangguan seperti hipertensi, insomnia, sakit mental dan terkena patukan ular berbisa. | UMUM | |
PROSTAGLANDIN | Prostaglandin ialah nama sekumpulan sebatian kimia yang penting. Ia terdapat di seluruh badan manusia dan haiwan. Ia membantu mengatur berbagai-bagai fungsi, seperti pengeluaran asid perut, tekanan darah dan suhu badan, serta aktiviti otot dalam organ seperti bronkus, usus, rahim dan lain-lain organ badan. Prostaglandin juga memainkan peranan utama dalam pembiakan. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 20 prostaglandin, yang kesemuanya adalah asid lemak versi yang telah diubahsuai. | UMUM | |
SISTEM LIMFATIK | Sistem limfatik ialah satu rangkaian pembuluh kecil yang menyerupai pembuluh darah. Sistem limfatik mengembalikan bendalir dari tisu badan ke dalam aliran darah. Proses ini diperlukan kerana tekanan bendalir dalam badan terus-menerus menyebabkan air, protein dan bahan-bahan lain keluar dari pembuluh darah yang dikenali sebagai kapilari. Bendalir yang mengalir keluar, yang dikenali sebagai bendalir interstitial, membasahi dan memberi nutrien kepada tisu badan. | UMUM | |
ADRENALIN | Adrenalin ialah hormon yang dirembes oleh kelenjar adrenal. Ia juga dikenali sebagai epinefrina. Adrenalin membantu badan menyesuaikan diri dengan tekanan yang tiba-tiba. Apabila seseorang menjadi marah atau takut, kelenjar adrenal melepaskan adrenalin ke dalam darah. Hormon ini menyebabkan perubahan dalam badan untuk menjadikannya lebih cekap untuk “berlawan atau lari”. Contohnya, adrenalin meningkatkan kekuatan dan kadar denyutan jantung dan menaikkan tekanan darah. Ia juga mencepatkan penukaran glikogen kepada glukos yang memberikan tenaga kepada otot. | UMUM | |
SIROSIS | Sirosis ialah keadaan hati apabila tisu parut terbentuk di seluruh organnya. Kumpulan sel yang dikenali sebagai nodul tumbuh semula, yang dikelilingi oleh kepingan parut tisu, menggantikan tisu mampung yang normal pada hati. Hati yang berpenyakit mungkin tidak boleh melakukan fungsi penting seperti membuat protein dan membuang bahan berbahaya dari darah. Tisu yang terjejas boleh menyekat aliran darah, menyebabkan tekanan tinggi dalam pembuluh darah yang menuju ke hati. Oleh itu, perdarahan dalaman mungkin berlaku. Sekatan aliran darah juga boleh menyebabkan pengumpulan bendalir dalam abdomen. | UMUM | |
STROK | Strok ialah kehilangan fungsi otak dengan tibatiba. Ia adalah kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan kelumpuhan, kerosakan otak yang teruk, atau kematian. Kebanyakan strok berlaku apabila darah beku atau sesetengah bahan lain menyekat aliran darah ke otak, lalu mengganggu bekalan oksigen dan nutrien ke otak. Jika sekatan ini berlanjutan lebih daripada beberapa minit, kecacatan otak yang kekal mungkin berlaku. Strok juga mungkin berlaku apabila pembuluh darah pecah dan menyebabkan pendarahan ke dalam otak, atau ke dalam bendalir di sekeliling otak. Pendarahan mendatangkan tekanan yang merosakkan tisu otak, menyebabkan kehilangan fungsinya. | UMUM | |
KEJUTAN | Kejutan ialah keadaan berbahaya yang boleh terjadi jika darah gagal beredar dengan betul di dalam tubuh. Keadaan ini kadangkala dikenali sebagai kejutan edaran. Kejutan juga boleh terjadi kerana sebarang penyakit atau kecederaan yang serius. Ia boleh juga disebabkan oleh tekanan emosi. Kejutan yang melampau boleh menjejaskan fungsi utama tubuh dan boleh membawa maut. | UMUM | |
SINDROM KEJUTAN TOKSIK | Sindrom kejutan toksik atau TSS (Toxic shock syndrome) ialah penyakit yang jarang-jarang berlaku yang paling sering terjadi pada wanita muda yang sedang mengalami haid. Gejalanya termasuklah suhu yang tinggi, muntah-muntah, cirit-birit, tekanan darah rendah dan ruam seperti selaran matahari. | UMUM | |
ACTH | ACTH ialah kependekan bagi bahan kimia adrenocorticotrophic hormone (hormon adrenokortikotrofik). Hormon ini dihasilkan, disimpan dan dilepaskan ke dalam darah oleh kelenjar pituitari, organ sebesar kacang pis yang terletak di pangkal otak. ACTH diperlukan untuk pertumbuhan dan fungsi yang normal bagi kelenjar adrenal, dua organ yang terletak di atas ginjal. ACTH merangsang kelenjar adrenal untuk mengeluarkan pelbagai hormon, termasuk kumpulan yang dikenali sebagai glukokortikoid. Glukokortikoid mengawal penggunaan makanan yang dihadam dan membantu badan menyesuaikan diri dengan tekanan. | UMUM | |