PARARATON | PARARATON, hasil sastera sejarah yang berbentuk prosa yang ditulis dalam bahasa Jawa Tengahan. Separuh bahagian permulaannya menceritakan kisah Ken Angrok dari lahirnya hingga menemui ajalnya. Menurut cerita, Ken Angrok dikatakan anak yang ajaib. Apabila dewasa, dia menjadi seorang yang sangat jahat. Akhirnya dia menaiki takhta Tumapel yang kemudian dikenal sebagai Singasari dengan gelaran Prabu Ronggah Rajasa. Dia juga diberi gelaran sebagai Sri Girindratanya. Ken Angrok dikatakan menjadi leluhur raja-raja Majapahit. Bahagian akhir kitab Pararaton memaparkan keadaan kerajaan Majapahit sejak awal hingga menghampiri keruntuhannya. | SASTERA | Penerbitan |
CERITA PANJI | CERITA PANJI, cerita roman atau pengembaraan yang berasal dari Jawa. Inti cerita panji berpusat pada dua buah kerajaan Jawa kuno iaitu Kuripan dan Daha dengan watak utamanya Raden Inu Kertapati dan Raden Galuh Cendera Kirana. Cerita ini lahir pada Zaman Jawa Tengahan, iaitu pada zaman kegemilangan dan kemerosotan kerajaan Majapahit di Jawa Timur. Meskipun terdapat cerita panji Melayu, Siam dan Kemboja, tetapi perbezaannya terletak hanya pada bahasanya, sedangkan ceritanya hampir tidak berbeza daripada cerita panji Jawa. | SASTERA | Konsep |