Sungai Congo, dikenali juga sebagai Sungai Zaire, ialah sungai yang kelima terpanjang di dunia. Ia bermula di selatan Kabalo, Zaire, tempat Sungai Lualaba dan Luvua bertemu. Dari tempat ini hingga Air Terjun Boyoma (dahulu dikenali sebagai Air Terjun Stanley), sungai ini dikenali sebagai Sungai Lualaba. Selepas Air Terjun Boyoma, sungainya dikenali pula sebagai Sungai Congo. Di Zaire, ia dikenali sebagai Sungai Zaire. Sungai Congo (Zaire) mengalir sejauh 4667 kilometer melalui barat-tengah Afrika tengah. Sungai ini mengalirkan air yang terbanyak berbanding sungai-sungai lain kecuali Sungai Amazon. Sungai ini menyaliri kawasan seluas kira-kira 3 630 000 kilometer persegi. |