KAKI TOMBOL | Kaki tombol ialah bentuk kaki yang luar biasa, selalunya terjadi sejak kelahiran. Walau bagaimanapun, ia berkemungkinan juga terjadi kemudian akibat daripada kemalangan atau poliomielitis atau disebabkan penyakit-penyakit lain. Keadaan tersebut juga dinamakan talipes. | UMUM | |
TALASEMIA | Talasemia ialah penyakit darah secara keturunan yang menyebabkan anemia. Penyakit ini terjadi terutamanya pada kanak-kanak yang keturunannya berasal dari kawasan Mediterranean. Talasemia juga terjadi pada orang Amerika kulit hitam dan sesetengah orang Asia dan Timur Tengah. Tubuh kanak-kanak yang menghidap talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi, iaitu pigmen yang memberikan warna merah pada sel darah. Hemoglobin juga membawa oksigen ke tisu tubuh. Kekurangan hemoglobin menyebabkan organ mangsa kekurangan oksigen yang diperlukan. Gejala talasemia wujud semasa kelahiran atau muncul kira-kira enam bulan kemudian. Gejala ini termasuk kulit pucat, keletihan, kerengsaan, selera terjejas, dan pertumbuhan terencat. Kanak-kanak yang terlibat mempunyai jantung, hati dan limpa yang membesar. Penyakit ini juga mencacatkan dan melemahkan tulang tertentu, khususnya tulang di bahagian muka. | UMUM | |
KEJUTAN | Kejutan ialah keadaan berbahaya yang boleh terjadi jika darah gagal beredar dengan betul di dalam tubuh. Keadaan ini kadangkala dikenali sebagai kejutan edaran. Kejutan juga boleh terjadi kerana sebarang penyakit atau kecederaan yang serius. Ia boleh juga disebabkan oleh tekanan emosi. Kejutan yang melampau boleh menjejaskan fungsi utama tubuh dan boleh membawa maut. | UMUM | |
ABSES | Abses ialah nanah yang terjadi dalam bahagian tubuh yang dijangkiti bakteria. Nanah mengandungi bakteria, plasma darah, dan debris daripada sel yang mati. Ia juga mengandungi sel darah putih yang digunakan oleh badan untuk mencegah jangkitan. Abses biasanya akan kelihatan merah dan bengkak yang boleh pecah dan mengalir. Abses mungkin terjadi di dalam mana-mana tisu yang dijangkiti bakteria. | UMUM | |
PERGERAKAN | Pergerakan terjadi apabila sesuatu objek bertukar tempat di dalam ruang. Pergerakan ialah istilah bandingan dan bukannya istilah mutlak. Sesuatu objek berkemungkinan berada dalam pergerakan bagi sesuatu objek lain tetapi berkemungkinan juga pegun bagi objek ketiga. Contohnya, andaikan anda sedang menaiki kereta api dan melewati seseorang yang sedang berdiri di tepi landasan. Orang yang berdiri di tepi landasan akan melihat anda dan penumpang lain di atas kereta api seperti sedang bergerak, tetapi penumpang yang duduk di sebelah anda di dalam kereta api sebenarnya duduk tetap pada pandangan anda. | UMUM | |
KELAPARAN | Kelaparan terjadi apabila benda hidup mati kerana kekurangan sebarang bahan makanan yang perlu bagi kehidupan. Bahan makanan ini dikenali sebagai nutrien atau zat makanan. Zat makanan dikelaskan kepada enam kumpulan: karbohidrat, lemak, mineral (garam galian), protein, vitamin, dan air. Zat makanan membekalkan tenaga untuk mengatur proses tubuh dan untuk membina dan menyenggara tisu tubuh. | UMUM | |
LETUPAN DEBU | Letupan debu terjadi apabila awan yang sarat dengan debu terbakar, menyebabkan pengeluaran tenaga yang kuat. Letupan seumpama ini boleh merosakkan harta benda dan membunuh manusia. | UMUM | |
METASTASIS | Metastasis lihat Barah (Bagaimana barah terjadi). | UMUM | |
ASFIKSIA | Asfiksia ialah keadaan pengsan yang terjadi apabila paru-paru tidak menyediakan oksigen yang secukupnya kepada darah. Asfiksia timbul jika pernafasan terhenti atau terhalang. Darah membawa oksigen dari paru-paru ke sel tisu di seluruh tubuh. Sel-sel ini mesti mendapat oksigen untuk hidup. Jika darah tidak lagi menerima oksigen yang secukupnya dari paru-paru, maka sel-sel itu mula mengurai dan akhirnya mati. | UMUM | |
MUNTAH | Muntah ialah perbuatan mengeluarkan isi perut melalui mulut. Muntah mungkin terjadi dari perkara yang kecil seperti makan berlebihan atau sesuatu yang serius seperti hampir mati. Muntah mungkin disebabkan oleh beberapa perkara, termasuk kegelisahan, jangkitan bakteria, keradangan kimia dalam perut, kehamilan, radiasi, ulser, pergerakan yang luar biasa atau kesakitan yang teruk. Muntah biasanya didahului oleh loya, satu rasa kurang menyenangkan dalam perut. (Lihat Loya). | UMUM | |