PERANG PUNIC | Perang Punic ialah tiga pertempuran yang berlaku antara Rom Purba dengan Carthage. Rom memenangi semua pertempuran tersebut. Kejayaan tersebut menjadikan Rom kuasa yang agung di bahagian Mediterranean Barat, dan membantu Rom menguasai seluruh dunia Mediterranean . Punic , perkataan Latin untuk orang Phoenicia , digunakan untuk nama perang tersebut kerana Carthage diasaskan oleh orang Phoenicia. | UMUM | |
ANZUS | ANZUS adalah perjanjian pertahanan yang dibuat secara kolektif yang dibuat oleh Australia, New Zealand, dan Amerika Syarikat. Nama tersebut menggabungkan huruf pertama setiap nama negara ahli. Setiap negara tersebut mengisytiharkan bahawa serangan bersenjata terhadap kawasan Pasifik di mana-mana satu daripada tiga negara ini membahayakan mereka semua. Setiap negara berjanji untuk “bertindak menentang bahaya yang dialami bersama selaras dengan proses perlembagaannya.” Perjanjian tersebut ditandatangani di San Francisco pada 1 September 1951 dan mula berkuat kuasa pada 29 April 1952. | UMUM | |
PERSEKUTUAN AUSTRALIA | Persekutuan Australia terbentuk dari tahun 1901, apabila keenam-enam tanah jajahan Australia menjadi negeri-negeri Komanwel Australia. Sebelum tahun 1889, beberapa kaedah penggabungan tanah jajahan tersebut telah dicuba, tetapi gagal. Pada tahun tersebut, Sir Henry Parkes, perdana menteri New South Wales, mendesak para penjajah tersebut supaya membentuk sebuah kerajaan pusat. Pada tahun 1890-an, banyak percubaan untuk membentuk sebuah persekutuan menemui kegagalan. Para perwakilan jajahan tersebut bersidang pada tahun 1891, 1893, 1898, dan 1899. Pada tahun 1899, sebuah jawatankuasa penggubal merangka Perlembagaan Persekutuan dan penduduk Australia mengundi untuk membentuk sebuah persekutuan. Duke of York, kemudian bergelar Raja George V, mengisytiharkan Komanwel Australia pada 1 Januari 1901. | UMUM | |
MOOT | Moot ialah istilah lama Inggeris untuk sesuatu perjumpaan awam. Ahli-ahli pergerakan pengakap kini kadangkala menggunakan istilah tersebut untuk perjumpaan antarabangsa. Pelajar undang-undang menggunakan istilah tersebut untuk kes mahkamah olok-olok di mana pelajar berhujah antara satu sama lain bagi pihak klien rekaan mereka. ‘Hakim’ yang biasanya terdiri daripada tutor undang-undang atau peguam bertauliah, menghakimi dengan memberi komen terhadap perkara undang-undang yang dibangkitkan oleh para pelajar. Dalam percakapan biasa, perkara moot bermakna perkara yang boleh diragukan atau dipertikaikan. | UMUM | |
MOTHERING SUNDAY | Mothering Sunday ialah hari Ahad keempat Lent , di England. Pada hari tersebut, para ibu menerima jambangan bunga dan hadiah daripada anak-anak mereka. Anak yang tinggal jauh akan balik untuk melawat ibu mereka pada hari tersebut. | UMUM | |
TASIK BALKHASH | Tasik Balkhash ialah sebuah tasik yang besar, terletak di bahagian tenggara Kazakhstan. Tasik tersebut terletak 342 meter di atas aras laut dan luasnya 17 275 kilometer persegi. Lebar tasik Balkhash hanya 10 kilometer di bahagian timur dan 87 kilometer di hujung bahagian barat. Air di bahagian barat Tasik Balkhash tawar kerana dimasuki Sungai Ili, tetapi terdapat air masin di hujung bahagian timur. Beberapa buah sungai mengalir ke dalam Tasik Balkhash, namun begitu tasik tersebut tidak mempunyai laluan keluar. Ais meliputi tasik tersebut dari bulan November hingga bulan April. Untuk lokasi Tasik Balkhash, lihat Kazakhstan (peta). | UMUM | |
SURAT KUASA WAKIL | Surat kuasa wakil ialah dokumen undang-undang yang bertulis, biasanya dalam bentuk surat ikatan. Orang yang menandatangani surat tersebut melantik wakil atau peguam yang mempunyai kuasa bertindak bagi pihak yang menandatangani surat tersebut. | UMUM | |
SAFAR | Safar adalah bulan kedua mengikut Takwim Hijrah. Nama tersebut mula digunakan sekitar tahun 412 M., iaitu pada zaman Kilab ibn Murrah; datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima. Terdapat beberapa pandangan tentang asal usul nama Safar. Ada yang berpendapat bahawa nama Safar diambil daripada nama sebuah kawasan, iaitu al-Safariyyah. Pendapat lain pula menyatakan bahawa ia diambil daripada nama pasar al-Safariyyah yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu di Yaman. Orang Arab sering berulang-alik ke pasar tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan. | UMUM | |
MAJOR, JOHN | Major, John (1943– ), menjadi perdana menteri United Kingdom pada tahun 1990. Dia memegang jawatan tersebut selepas anggota Parti Konservatif di Parlimen memilihnya sebagai pemimpin parti. Dia menggantikan Margaret Thatcher sebagai perdana menteri dan juga pemimpin parti tersebut. Major menjadi perdana menteri United Kingdom yang termuda sejak tahun 1894, iaitu ketika berumur 47 tahun. Di bawah pimpinannya, United Kingdom memainkan peranan yang penting dalam Perang Teluk Parsi tahun 1991 (lihat Perang Teluk Parsi ). | UMUM | |
ROTHSCHILD | Rothschild ialah nama keluarga Jerman yang menubuhkan firma perbankan yang terkenal pada akhir tahun 1700-an. Keluarga tersebut membuka beberapa buah bank di beberapa buah negara Eropah pada tahun 1800-an, dan syarikat itu terkenal dengan nama House of Rothschild. Keluarga tersebut juga terkenal dalam bidang industri, politik, kedermawanan, dan sains. | UMUM | |