MAHKAMAH KANGGARU | Mahkamah kanggaru ialah istilah slanga bagi kumpulan orang yang tidak diberi kuasa, yang menghukum sendiri sesuatu kesalahan dengan bertindak sebagai mahkamah. Kumpulan seperti ini selalunya mengetepikan prinsip undang-undang dan keadilan serta mengenakan hukuman yang tidak adil dan keterlaluan. | UMUM | |
RHEE, SYNGMAN | Rhee, Syngman (1875–1965), negarawan Korea yang memegang jawatan Presiden Republik Korea yang pertama pada tahun 1948. Dia meletak jawatan sebagai presiden pada tahun 1960, walaupun dipilih semula untuk menyandang jawatan presiden bagi penggal yang keempat. Ini berikutan terjadinya rusuhan yang meluas disebabkan amalan pilihan raya yang tidak adil. | UMUM | |
KUMPULAN MINORITI | Kumpulan minoriti ialah sekumpulan orang yang berbeza dalam beberapa keadaan daripada kumpulan utama dalam masyarakat. Anggota kumpulan minoriti mungkin berbeza daripada kumpulan utama yang juga dikenali sebagai kumpulan dominan dari segi percakapan, penampilan, dan amalan budaya. Kumpulan dominan mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang lebih besar daripada kumpulan minoriti. Dalam banyak kejadian, kumpulan dominan mendiskriminasi kumpulan minoriti – melayan mereka secara tidak adil. Kebanyakan anggota kumpulan minoriti memiliki peluang politik, ekonomi, dan sosial yang sedikit berbanding anggota kumpulan dominan. | UMUM | |
PERANG SARAF | Perang saraf menggunakan propaganda untuk mencapai tujuan yang tertentu. Perang saraf boleh digunakan sebelum perang untuk mencegah meletusnya peperangan ataupun semasa perang untuk memenanginya. Sesebuah negara menggunakan perang saraf untuk meyakinkan negara musuh bahawa mereka tidak akan menang jika berlakunya perang dan justeru itu, peperangan tidak perlu dimulakan. Semasa perang, negara menggunakan perang saraf untuk meyakinkan pasukan tentera musuh bahawa perjuangan mereka itu tidak adil dan sia-sia, dan untuk melemahkan keyakinan terhadap para pemimpin. Matlamatnya ialah memusnahkan tekad musuh untuk berperang. | UMUM | |
TIRANI | Tirani ialah istilah yang digunakan dalam sejarah untuk menggambarkan corak pemerintahan oleh seorang pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak. Pada zaman Yunani purba, tirani bermaksud pemerintahan mutlak oleh seorang pemerintah. Kebanyakan tirani Yunani adalah pemerintahan yang baik dan bertanggungjawab. Istilah tirani boleh juga digunakan untuk merujuk kepada kerajaan yang diperintah oleh pemerintah mutlak yang mendapat kuasa melalui kekerasan tentera atau muslihat politik. Pemerintah seperti ini tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat dan perlu menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kekuasaan. Satu lagi maksud tirani ialah kerajaan yang menggambarkan seorang atau sekumpulan orang yang memerintah dengan kejam, menindas, atau tidak adil. | UMUM | |
SURAH AL-MUTAFFIFIN | Surah al-Mutaffifin ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-83 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 36 ayat. Ia dinamakan al-Mutaffifin (orang-orang yang tidak berlaku adil dalam timbangan dan sukatan) kerana pokok perbincangan surah ini ialah tentang manusia yang tidak berlaku adil dalam perniagaan iaitu daripada segi timbangan dan sukatan. | UMUM | |
PRASANGKA | Prasangka ialah pendapat yang terbentuk tanpa mengambil waktu dan usaha untuk membuat pertimbangan dengan adil. Pendapat seperti itu mungkin baik atau tidak baik dan dibuat tanpa mempedulikan bukti yang tersedia. Dalam rencana ini, prasangka bererti pendapat tidak baik yang dipegang dengan cara ini tentang anggota-anggota suatu kumpulan sosial tertentu. Orang yang berprasangka cenderung memutarbelitkan, menyelewengkan, serta menyalahertikan ataupun mengabaikan fakta yang bertentangan dengan pendapat yang telah ditentukannya terlebih dahulu. Umpamanya, orang yang berprasangka mungkin percaya bahawa semua individu dalam suatu kumpulan umur, bangsa, kumpulan etnik, agama, seks atau wilayah sesebuah negeri itu pemalas, kejam, bodoh, tak stabil emosinya, ataupun tamak. | UMUM | |
ABU ABDULLAH | Abu Abdullah ( ? –1533?), dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Boabdil ialah Raja Moor yang terakhir di Granada yang kini sebuah wilayah di selatan Sepanyol. Nama Arabnya ialah Abu Abdullah. Abu Abdullah juga digelar sebagai “si kerdil” dan memerintah dengan gelaran Muhammad XI. Pada tahun 1482, baginda merampas takhta daripada ayahnya. Baginda seorang raja yang zalim dan tidak adil. Pada tahun 1492, tentera Ferdinand dan Isabella, pemerintah Castile dan Aragon, menyerang Granada dan mengalahkan Abu Abdullah. Semasa Abu Abdullah meninggalkan kerajaannya yang telah hilang itu, baginda menoleh untuk melihat kerajaannya kali yang terakhir. Tempat baginda berhenti untuk menoleh itu masih ditunjukkan kepada pelancong sebagai “keluhan terakhir Raja Moor”. Abu Abdullah pergi ke Afrika dan di sana baginda dikatakan mangkat dalam pertempuran. | UMUM | |
SUAREZ, FRANCISCO | Suarez, Francisco (1548–1617) ialah ahli teologi Sepanyol yang agung dan pengasas falsafah undang-undang antarabangsa. Dalam karyanya yang masyhur, On Law, dia menentang teori hak ketuhanan raja-raja dan memberi penekanan terhadap keperluan persetujuan rakyat dalam orde politik yang adil. Suarez berpendapat bahawa idea empayar Kristian Zaman Pertengahan tidak mungkin lagi diamalkan dengan kemunculan pemerintahan sendiri kerajaan kebangsaan beraja. Suarez lahir di Granada. Dia menjadi Jesuit pada tahun 1564. | UMUM | |
NABI ZULKIFLI A.S. | Nabi Zulkifli a.s.ialah salah seorang nabi daripada nabi-nabi Allah. Nabi Zulkifli a.s. ialah anak kepada Nabi Ayyub a.s. Nama asalnya ialah Bashar. Allah SWT mengutusnya selepas Nabi Ayyub a.s. Nabi Ayyub a.s. menamakan anaknya Zulkifli kerana menanggung beban hasil ketaatannya kepada Allah SWT dan dapat mengatasinya. Nabi Zulkifli a.s. tinggal di Syam. Nabi Zulkifli a.s. telah menjamin kaumnya demi untuk menyempurnakan kehendak mereka dan memerintah mereka dengan adil. Nabi Zulkifli a.s. bukanlah nama yang disebut dalam hadith Nabi. Orang Damsyik mendakwa makamnya terletak di gunung Qasiyun di Damsyik. Al-Qur''an tidak banyak menyebut namanya seperti nabi-nabi lain. Manakala dakwah, risalah dan kaum Nabi Zulkifli a.s. tidak dibentangkan sama ada secara ringkas mahupun secara lengkap. Oleh itu, dinasihatkan agar bentuk dakwah yang disampaikannya tidak dikaji secara mendalam. | UMUM | |