SENGKENIT | Sengkenit ialah haiwan halus yang menghisap darah, yang berkaitan dengan hama, labah-labah dan kala jengking. Sengkenit berbentuk bujur. Ia adalah parasit, iaitu ia hidup pada haiwan-haiwan lain. Sengkenit dan hama menyebabkan pelbagai penyakit pada manusia dan pada haiwan bela jinak. Sengkenit sering membawa kuman penyakit tertentu dalam badannya dan memindahkan kuman ini ke dalam darah mangsanya. Kadangkala gigitan sengkenit adalah beracun. Ada kes gigitannya menyebabkan lumpuh. Bagaimanapun, kes demikian tidak biasa berlaku, dan mangsa biasanya pulih dengan cepat apabila sengkenit dibuang. | UMUM | |
ARDEN, JOHN | Arden, John (1930– ), penulis skrip Inggeris yang menjadikan pertentangan antara seorang rakyat biasa yang tidak mempunyai daya imaginasi dengan seorang individu yang penuh dengan imaginasi tetapi hidup dalam keadaan kucar-kacir sebagai tema utamanya. Dia mengembangkan tema itu dalam dramanya Live Like Pigs (1958) dan Serjeant Musgrave’s Dance (1959). Arden lahir di London. Dia terkenal kerana daya cipta teknik dramanya. Dalam The Happy Haven (1960) semua pelakon memakai topeng dan naratifnya dicelahi dengan lagu dan tarian. Dramanya yang lain ialah All Fall Down (1955), Armstrong’s Last Goodnight (1964), The Bag Man (1970), Pearl (1978) dan To Put It Frankly (1979). | UMUM | |
SEMBELIT | Sembelit ialah keadaan apabila usus tidak membuang bahan sisa semudah biasa. Orang yang sembelit tidak dapat membuang air besar dengan teratur, dan mungkin berasa sakit atau usus besarnya lemah. Mereka mungkin berasa pening kepala dan sakit tulang belakang. Sembelit boleh disebabkan oleh otot usus yang lemah atau kontraksi otot usus yang kuat tidak tetap. Sembelit juga boleh berlaku apabila seseorang sering mengambil julap atau tidak mengambil jenis makanan tertentu secukupnya, terutama makanan yang mengandungi serat. Sembelit juga boleh menimbulkan sakit yang tisu atau saraf usus, seperti ketumbuhan yang menyekat menjejaskan sebahagian usus kecil. | UMUM | |
BADI | BADI, kuasa luar biasa yang tidak berbentuk peribadi yang terdapat pada benda tertentu seperti anggota manusia, bentuk alam yang luar biasa seperti busut, binatang atau bangkai binatang. Badi boleh mempengaruhi badan manusia untuk mendatangkan kesan seperti sakit dan kelemahan. | BUDAYA | Konsep |
SUHU PERALIHAN KACA | Suhu bagi sesuatu bahan polimer berubah daripada keadaan tegar (keadaan berkaca) ke keadaan lembut dan boleh lentur (keadaan bergetah). Peralihan yang biasa berlaku pada bahan berberat molekul rendah ialah perubahan keadaan antara pepejal, cecair, dan gas. Bagi bahan berberat molekul tinggi seperti polimer, peralihan ke keadaan gas tidak pernah tercapai kecuali jika terjadi tindak balas penguraian. Peralihan daripada keadaan pepejal ke cecair juga tidak jelas dan tidak berlaku secara mendadak, melainkan jika polimer itu mempunyai kehabluran yang tinggi. Bagi bahan polimer biasa, zon peralihan yang penting ialah peralihan kaca Tg dan peleburan hablur Tm. | KEJURUTERAAN | Disiplin Ilmu |
ASBESTOS | Asbestos ialah sebarang kumpulan serat mineral bak benang yang lembut. Asbestos mempunyai banyak sifat yang menjadikannya berharga dari segi komersial. Misalnya, ia tidak terbakar atau tidak mudah mengalirkan haba atau kuasa elektrik. Ia fleksibel dan kuat serta tidak terjejas oleh kebanyakan bahan kimia. Asbestos boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius jika banyak dihidu. Ia dianggap tidak menimbulkan bahaya kepada kesihatan jika ia kekal utuh. Asbestos menjadi berbahaya hanya apabila ia berkecai dan membebaskan seratnya yang halus ke udara. Asbestos yang kering dan mudah berkecai dengan sedikit sahaja tekanan dikatakan mudah hancur . Asbestos sedemikian dikaitkan dengan penyakit yang dikenali sebagai asbestosis dan dengan jenis-jenis tertentu kanser. Penyakit ini biasa terjadi di kalangan orang yang bekerja menangani asbestos. | UMUM | |
SWISS CHARD | Swiss chard ialah sayur laman. Daunnya dimakan sebagai sayur. Swiss chard berkaitan dengan tumbuhan bit biasa. Ia menyerupai bit, tetapi akarnya tidak besar berisi. Swiss chard mempunyai akar kecil berkayu yang tidak boleh dimakan. Sayur ini mempunyai batang daun yang berisi, daun yang besar, dan berwarna hijau tua. Sesetengah jenis mempunyai daun berwarna kuning pucat dan yang lain mempunyai daun dan batang-daun berwarna merah terang. | UMUM | |
SLANGA | Slanga ialah jenis bahasa yang tidak formal apabila kata dan frasa digunakan dengan cara baru atau luar biasa. Banyak istilah slanga adalah ekspresif, lucu, dan jelas. Sesetengahnya adalah kasar dan menyinggung perasaan. Ungkapan slanga boleh jadi kata baru, seperti glitzy (terlalu terang dan menjolok mata) atau hype (pengiklanan yang bergantung pada gimik atau muslihat). Ia juga boleh jadi kata lama yang mengalami perubahan makna, seperti magic (menakjubkan) atau cool (canggih dan terkawal diri). | UMUM | |
GILA | GILA, suatu keadaan mental yang tidak sihat atau tidak waras. Gila melambangkan tiga suasana atau keadaan. Suasana pertama, menggambarkan keadaan kesihatan iaitu seseorang itu dikatakan tidak sihat atau tidak waras fikirannya ekoran kerosakan yang berlaku pada otaknya, misalnya otak miring atau tiga suku dan gila isim. Suasana kedua, menggambarkan suatu keadaan yang lain daripada biasa ataupun yang tidak mengikuti kelaziman, misalnya seperti anyam gila iaitu suatu bentuk anyaman yang tidak menentu coraknya. Suasana ketiga, menggambarkan suatu keadaan yang asyik, sayang atau cinta yang amat sangat, misalnya gila bayang, gila talak, gila judi, gila pangkat dan gila perempuan. | BUDAYA | Penyakit |
KIAMBANG ITIK | Kiambang itik ialah nama beberapa spesies tumbuhan kecil yang terapung di kolam atau tasik. Ia tidak mempunyai batang biasa dan daun sebenar. Ia terdiri daripada struktur rata berwarna hijau, biasanya mempunyai akar tunggal bak rambut di bawahnya. | UMUM | |