TIRAM | Tiram ialah sejenis kerang-kerangan yang terdapat di lautan dan serokan pantai di kawasan beriklim sederhana hingga iklim tropika. Tiram mempunyai badan yang lembut dan boleh dimakan yang terletak di sebelah dalam dua keping cangkerang keras. Cangkerang ini biasanya bertepi tajam dan tidak sekata bentuknya. Tiram hidup di dasar laut berdekatan dengan pantai yang airnya tenang dan tidak dalam. | UMUM | |
MALNUTRISI | Malnutrisi ialah suatu keadaan tidak sihat yang disebabkan oleh makanan yang tidak berzat, makanan yang tidak sesuai, atau tubuh yang tidak dapat menyerap atau menggunakan zat makanan. Malnutrisi primer berlaku apabila tubuh mendapat terlalu banyak makanan, tidak memperoleh makanan yang cukup atau mendapat makanan yang tidak sesuai. Malnutrisi sekunder berlaku apabila, disebabkan penyakit, tubuh tidak boleh menggunakan zat makanan walaupun zat makanan itu terdapat dalam sesuatu makanan. | UMUM | |
MASA TUA | Masa tua tidak dapat didefinisikan dengan tepat kerana maknanya tidak sama dalam semua masyarakat. | UMUM | |
ORANG GASAR | Orang gasar atau Barbarian, ialah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan orang yang tidak bertamadun atau tidak berpendidikan. Ia berasal daripada perkataan Yunani barbaros , yang pada mulanya hanya bermaksud orang yang bertutur dalam bahasa yang tidak difahami oleh orang Yunani purba. Tetapi tidak lama kemudian perkataan ini juga membawa maksud bukan- Yunani atau orang asing. | UMUM | |
ASKAR YANG TIDAK DIKENALI | Askar yang tidak dikenali. Selepas Perang Dunia I (1914–1918), pegawai negara-negara Berikat menemui banyak mayat askar yang tidak dapat dikenali. Kerajaan Belgium, Perancis, Great Britain, Itali, dan Amerika Syarikat mengambil keputusan memberikan suatu bentuk penghormatan sebagai tanda mengingati askar ini. Setiap kerajaan memilih satu simbol yang mewakili askar mereka yang tidak dikenali, mengebumikan sisa mayat itu di dalam atau berhampiran dengan ibu negara dan membina satu tugu peringatan untuk mengenang jasa askar tersebut. Belgium menempatkan askar yang tidak dikenali di sebuah kawasan perkuburan di dasar Colonnade of the Congress di Brussels. Perancis pula mengebumikan askar yang tidak dikenalinya di bawah Arc de Triomphe di Paris dan menyalakan obor di atas makam tersebut. | UMUM | |
PERLEMBAGAAN BRITISH | Perlembagaan British ialah rangka kerja kerajaan dan undang-undang Great Britain. Perlembagaan ini tidak dinyatakan dalam sebarang dokumen tetapi terdiri daripada beberapa piagam yang berasingan, akta parlimen, keputusan undang-undang, dan adat. Mengikut undang-undang, Parlimen ialah institusi yang paling tinggi kedudukannya dan ia boleh mengubah sebarang peruntukan perlembagaan. Tetapi, mengikut tradisi, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat diubah oleh parlimen. Misalnya, rakyat dilindungi daripada sebarang pemenjaraan yang tidak sah berasaskan writ of habeas corpus , yang bertarikh dari tahun 1200-an (lihat Habeas corpus ). | UMUM | |
ETER | Eter, dalam kimia ialah cecair tidak berwarna, sangat mudah terbakar, dan mempunyai bau wangi yang kuat. Wap eter menyebabkan orang yang menghiduinya tidak sedarkan diri. Bertahun-tahun lamanya ia digunakan sebagai anestetik am semasa melakukan pembedahan. | UMUM | |
PUPA | Pupa ialah peringkat yang agak tidak aktif dalam metamorfosis (perkembangan) kebanyakan serangga. Dalam metamorfosis lengkap , larva makan sehingga membesar sepenuhnya (lihat Larva ). Kemudian larva bersalin kulit menjadi pupa, satu bentuk sementara yang membolehkan struktur dewasa berkembang. Serangga dewasa muncul dengan memecahkan “kulit” pupa. Peringkat pupa mungkin lamanya satu atau dua hari, atau sehingga satu tahun atau lebih, bergantung pada spesies. Peringkat ini membolehkan sesetengah serangga dewasa, seperti rama-rama, mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza daripada ciri-ciri larva. Ia juga membolehkan sesetengah serangga yang berkembang mengelakkan kepanasan dan kesejukan yang melampau, kebuluran, dan kemarau. | UMUM | |
KARBON DIOKSIDA | Karbon dioksida ialah gas yang tidak berwarna dan tidak berbau. Ia wujud dalam atmosfera banyak planet termasuk atmosfera bumi. | UMUM | |
PROTOPLASMA | Protoplasma ialah istilah yang bermakna bahan hidup dalam sel. Istilah ini tidak banyak digunakan oleh ahli biologi moden kerana sifatnya yang tidak spesifik. Johannes Purkinje, ahli fisiologi Czechoslovakia, pertama kali menggunakannya pada tahun 1839. Pada masa itu, ahli sains tahu bahawa semua benda hidup terdiri daripada sel yang kelihatan mengandungi bahan bak jeli. Purkinje menamakan bahan ini protoplasma – daripada perkataan Yunani yang bermakna mula- mula terbentuk atau teracu – untuk menunjukkan bahawa bahan ini adalah bahan paling asas pada hidupan. | UMUM | |