KAMPUNG HULU | KAMPUNG HULU, kampung petempatan orang Melayu dan terletaknya Masjid Kampung Hulu. Kampung ini terletak di tengah-tengah bandar Melaka, terpisah dari Kampung Jawa dan Jalan Bunga Raya oleh Sungai Melaka. Kawasan kampung ini tidak luas iaitu dari Masjid Kampung Hulu hingga ke Dewan Hang Tuah. Sempadan di utaranya ialah Jalan Kubu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
TAMERLANE | Tamerlane (1336?–1405) ialah penakluk dari Asia yang menggunakan pedang untuk membina empayar yang luas tetapi tidak kekal lama. Dia juga dikenali sebagai Timur the Lame . Tamerlane ialah orang Tartar, iaitu bangsa Mongol Turki dari keturunan Genghis Khan, seorang lagi penakluk dari Asia. | UMUM | |
DATARAN | Dataran ialah kawasan tanah yang luas, hampir rata dan tidak terdapat perubahan ketinggian yang mendadak. Dataran biasanya lebih rendah daripada tanah di sekitarnya dan boleh ditemui di tepi pantai ataupun di kawasan pedalaman. | UMUM | |
TIMUR TENGAH | Timur Tengah ialah kawasan yang amat luas meliputi sebahagian besar benua Afrika Utara, Barat Daya Asia dan Tenggara Eropah. Para pengkaji tidak sependapat dalam pemetaan yang tepat bagi kawasan Timur Tengah ini. Walau bagaimanapun mereka sekata bahawa kawasan ini merangkumi negara-negara berikut: Cyprus, Mesir, Iran, Iraq, Palestin , Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Bahrain , Arab Saudi, Sudan, Syria, Turki, Emiriah Arab Bersatu, dan Yaman. Keluasan keseluruhan kawasannya kira-kira 9 694 000 kilometer persegi. Penduduknya pula mencecah 262 juta orang. | UMUM | |
NOTORNIS | Notornis ialah nama saintifik bagi burung nadir yang tidak boleh terbang di New Zealand. Burung ini juga dikenali sebagai takahe. Ia kini pupus di Pulau Utara. Burung ini bertebaran luas di Pulau Selatan pada zaman dahulu. Hanya beberapa spesies notornis didapati dari tahun 1849 hingga tahun 1898. Ia kemudiannya lenyap, dan ahli sains menyangka ia telah pupus. Ia ditemui semula pada tahun 1948. | UMUM | |
TASIK HINDMARSH | Tasik Hindmarsh ialah tasik air tawar yang terbesar di Victoria, Australia. Luas tasik ini 12 000 hektar. Pinggir tasik ini melebihi 64 kilometer namun permukaan airnya tidak menentu kerana tasik ini menjadi kering pada tahun yang kering dan menjadi sebuah kawasan tanah datar yang diselaputi garam. Tasik Hindmarsh terletak di Dimboola Shire, kira-kira lima kilometer ke timur laut Jeparit. | UMUM | |
ORANG KURDISTAN | Orang Kurdistan ialah kaum yang mendiami kawasan pergunungan di barat daya Asia. Tanah air mereka tersebar luas merangkumi sebahagian daripada kawasan di Armenia, Iran, Iraq, Syria, dan Turki. Bilangan orang Kurdistan di kawasan ini tidak dapat dipastikan, tetapi dianggarkan berjumlah kira-kira 20 juta orang. Sebahagian besar orang Kurdistan ialah pengikut Sunni. Mereka bertutur bahasa Kurdistan, iaitu sejenis bahasa Indo-Eropah yang berkait rapat dengan bahasa Parsi. | UMUM | |
TEBING DOGGER | Tebing Dogger ialah sebuah tebing pasir yang luas di luar pantai Laut Utara kira-kira 160 kilometer di pantai timur laut England. Air di permukaan beting ini adalah antara 15 hingga 37 meter dalam. Kawasan ini merupakan tempat ikan kod dan ikan hering mencari makan. Semasa Perang Dunia I, pada tahun 1915, tidak jauh dari tebing Dogger ini berlaku pertarungan antara Angkatan Laut Diraja Inggeris dengan angkatan laut Jerman. Pertarungan ini tidak membawa kemenangan kepada mana-mana pihak. | UMUM | |
AHLI SUFFAH | Ahli Suffah ialah golongan fakir miskin mukmin dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang tidak mempunyai rumah untuk didiami. Oleh itu, mereka mendiami suatu sudut yang teduh di Masjid Nabawi di Madinah. Mereka dikenali dengan nama Ahli Suffah dan kadang-kadang disebut juga sebagai Ashab al-Zillah (orang yang berteduh) dan Duyuf al- Islam (tetamu Islam). Perkataan Suffah ialah perkataan Arab dan apabila dikaitkan dengan bangunan, ia bererti sesuatu bahagian yang teduh di dalam bangunan itu, yang menyerupai ruang legar yang luas dan tinggi. Ibn Taymiyyah berkata, “ Al-Suffah yang dikaitkan dengan nama Ahli Suffah kalangan sahabat Nabi SAW, terletak di bahagian hujung sebelah utara masjid Nabi SAW di Madinah al-Munawwarah.” Ia ialah tempat fakir miskin dari kalangan orang mukmin berteduh, iaitu mereka yang tidak mempunyai keluarga dan tidak ada tempat berteduh. | UMUM | |
BAHASA MELAYU POLINESIA | BAHASA MELAYU POLINESIA, salah satu keluarga bahasa yang terbesar di dunia, dari segi jumlah dan juga wilayah sebarannya. Nama lain yang kini luas digunakan untuk keluarga bahasa ini ialah Austronesia (Pulau-pulau Selatan – tetapi istilah ini pun tidak begitu tepat, kerana sebahagian bahasa itu dekat dengan Khatulistiwa (di utara), manakala sebahagian yang lain di benua Asia Tenggara). | BAHASA | Konsep |