DAUD BEUREUEH | DAUD BEUREUEH (1899 -1987), ulama dan pemimpin Aceh, Indonesia. Dia lahir di Beureueh, sebuah kampung dekat Sigli, Aceh, Indonesia. Dia menerima pendidikan agama tetapi tidak mahir membaca dan menulis rumi, sehingga pada masa revolusi, dia diejek oleh sebahagian pegawai yang datang dari Jawa sebagai pemimpin yang buta huruf. Pada tahun 1920-an, dia berhubung rapat dengan ulama Aceh yang bermukim di Makkah dan hubungan ini mendorongnya menjadi salah seorang pelopor pembaharuan agama di Aceh. Ketika ulama reformis membentuk Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA) pada tahun 1939, dia dipilih sebagai ketua. Melalui organisasi inilah pengaruh politik Daud Beureueh mula berkembang terutama pada masa pendudukan Jepun.
| SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
ARACHNE | Arachne ialah seorang penenun yang mahir dalam mitologi Yunani. Dia suka bercakap besar bahawa dia boleh menenun kain yang lebih cantik daripada yang ditenun oleh Athena, dewi seni dan kraf tangan. Athena menerima cabaran Arachne untuk menyertai pertandingan menenun. Athena menenun dewangga yang menggambarkan manusia dihukum oleh dewa kerana keangkuhan mereka. Karya Arachne menunjukkan kelakuan tidak senonoh dewa dan dewi. Apabila Athena melihat karya Arachne secantik karyanya, dia pun mengoyakkan kain itu. Apabila Arachne cuba menggantung dirinya, Athena berasa kasihan lalu menukarkannya menjadi seekor lelabah. Kemahiran Arachne masih bertahan dalam memintal sarang oleh lelabah. | UMUM | |
MUNAWIY, MUHAMMAD AL- | Munawiy, Muhammad al- (952 H.–1031 H./ 1554 M.–1622 M.), pakar bahasa yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn ‘Abd al-Ra’uf Taj al-‘Arifin. Dia banyak melakukan kajian dan penulisan sehingga jatuh sakit dan tidak berdaya. Anaknya, Taj al-Din Muhammad menyambung tugasnya dengan menulis hasil karyanya. Al-Munawiy menetap di Kaherah dan meninggal dunia di sana. Dia berjaya menghasilkan kira-kira 80 buah buku. Antaranya ialah Kunuz al-Haqa’iq, Fayd al-Qadir, Sharh al-Jami‘ al-Saghir, Mukhtasar al-Taysir, Sharh Shama’il al- Tarmidhiy, Sirah ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz, Sharh Alfiyyah al-‘Iraqiy, Sharh al-Qamus al-Muhit dan lain-lain lagi. | UMUM | |
TELL, WILLIAM | Tell, William ialah wira legenda Switzerland. Dia mewakili semangat gerakan kemerdekaan Switzerland dari Habsburgs Austria pada tahun 1300-an. Mengikut legenda, Tell ialah pemanah yang paling mahir di seluruh canton (negeri) Uri. Seorang bailif Austria bernama Gessler mengarahkan semua rakyat Switzerland memanah topi yang diletakkannya di atas tiang di dataran utama Altdorf. Tell yang tidak mahu memanahnya kemudiannya ditangkap. Gessler berjanji akan membebaskannya jika dia dapat memanah buah epal yang diletakkan di atas kepala anaknya. Tell memanah epal tersebut dan berkata andainya anaknya tercedera, dia pasti membunuh Gessler. Gessler mengarahkan Tell ditangkap dan dirantai. | UMUM | |
NAWAWIY, ABU ZAKARIYYA AL- | Nawawiy, Abu Zakariyya al- (631–676 H./ 1234–1278 M.), imam terkemuka, hafiz dan sangat tegas dalam menegakkan perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Nama sebenarnya ialah Muhy al-Din Abu Zakariyya Yahya ibn Sharaf al-Hawaraniy al-Syafi‘iyy. Dia meninggalkan keseronokan hidup dan tidak berkahwin. Dia mahir dalam pelbagai ilmu dan menjawat jawatan Syeikh di Dar al-Hadith al-Ashrafiyyah. Al-Nawawiy sangat terkenal dalam penterjemahan rencana dalam pelbagai disiplin ilmu. Ibn ‘Atar adalah salah seorang muridnya yang telah membilang karya-karyanya secara menyeluruh. Antara karya- karyanya ialah Tahdhib al-Asma’ wa Lughat wa al- Minhaj fi Sharh Muslim; al-Taqrib wal al-Taysir fi al-Mustalah al-Hadith ; al-Adhkar; Riyad al-Salihin, sebuah kitab hadith yang besar dan terkenal; al- Majmu‘ Sharh Muhadhdhab; al-Arba‘un al- Nawawiyyah dan Mukhtasar Asad al-Ghabah fi Ma‘rifat al-Sahabat dan lain-lain. | UMUM | |
PITJANTJATJARA | Pitjantjatjara ialah penduduk Orang Asli Australia . Sehingga kini, mereka masih hidup berpindah-randah di kawasan barat daya Tasik Amadeus, Wilayah Utara. Kawasan yang meliputi Musgrave, Petermann dan banjaran Rawlinson ini mempunyai sedikit punca air atau lembah yang subur. Kaum Pitjantjatjara ini bersenjatakan panah dan lembing tetapi tidak menggunakan boomerang. Mereka ialah kaum yang mahir mengumpulkan makanan dan berburu. Haiwan buruan mereka termasuklah kanggaroo, ular dan cicak. Mereka juga mengumpulkan biji-biji rumput dan bahagian tumbuhan untuk makanan. | UMUM | |
PERMATA | Permata ialah mineral atau bahan lain yang digunakan dalam barang kemas dan hiasan lain. Permata termasuk berlian, zamrud, baiduri, dan delima, serta permata yang dibuat di makmal dan permata tiruan lain yang dicipta secara artifisial. Apabila dilombong, kebanyakan batu permata asli mempunyai permukaan yang kasar dan bentuk yang tidak sekata. Pemotong permata yang mahir kemudiannya akan memotong dan menggilap batu- batu tersebut untuk menyerlahkan kecantikannya. | UMUM | |