ASUHAN SIANG HARI | Asuhan siang hari ialah khidmat penjagaan kanak-kanak atau orang dewasa yang uzur, ketika orang yang bertanggungjawab terhadap mereka tidak dapat berbuat demikian. Di kebanyakan negara maju, mengikut tradisi, wanita menjaga anak di rumah. Walau bagaimanapun, semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, wanita yang bekerja di luar rumah semakin bertambah. | UMUM | |
API | Api . Kegunaan terawal api bagi manusia adalah untuk memanaskan badan. Apabila peradaban semakin maju, manusia belajar menggunakan api dengan banyak cara lain. Manusia belajar menggunakan api untuk memasak makanan, membentuk senjata dan perkakas, untuk membuat tembikar daripada tanah liat, dan untuk lampu. Tetapi manusia awal mempunyai cara yang terlalu perlahan dan agak tidak memuaskan untuk menyalakan api. | UMUM | |
SEMUT BULL | Semut bull termasuk beberapa spesies semut di Australia. Kebanyakannya adalah besar. Sayap semut betina sesetengah spesies tumbuh sepanjang dua sentimeter. Semut bull ini boleh menyebabkan gigitan yang menyakitkan dengan rahangnya panjang, dan menonjol. Ia juga boleh menyengat. Semut ini tidak mudah takut dan akan menyerang pada waktu tertentu. Hanya beberapa ratus ekor semut tinggal dalam setiap sarang. Ia membuat sarang di dalam tanah, biasanya di pangkal pokok atau tunggul. Semut pekerja memberi lundinya makan bangkai haiwan. Ahli sains menggangap semut bull ini antara semut yang paling primitif. Ia tidak mempunyai struktur sosial sekompleks spesies yang lebih maju. | UMUM | |
CIK SITI WAN KEMBANG | CIK SITI WAN KEMBANG (1580-1677), pemerintah negeri bernama ‘Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tagayong’ dengan gelaran Seri Maharaja Puteri. Mengikut sejarah tempatan, Cik Siti Wan Kembang ialah puteri kepada Raja Ahmad, Yang Dipertua Kelantan dengan isterinya yang bernama Cik Banun, anak bongsu kepada Nara Diraja, seorang pembesar Kelantan. Semasa Cik Siti Wan Kembang berusia lebih kurang empat tahun, Raja Ahmad mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Hussin dari Johor dengan gelaran Sultan Hussin. Raja Hussin ialah satu-satunya putera kepada Raja Umar, iaitu Sultan Johor yang bergelar Sultan ‘Ala Jalla Abdul Jalil II yang memerintah Johor dari tahun 1570 hingga tahun 1597. Sultan Hussin memerintah Kelantan selama 26 tahun, dari tahun 1584 hingga tahun 1610. Cik Siti Wan Kembang yang masih kecil itu diasuh oleh Sultan Hussin sebagai puteri angkat baginda. Apabila Sultan Hussin mangkat pada tahun 1610, Cik Siti Wan Kembang, ketika itu berusia lebih kurang 30 tahun, ditabal sebagai Raja Pemerintah Kelantan. Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam di Gunung Besar yang kemudian dinamai Gunung Cintawangsa yang sekarang ini terletak di sempadan Kelantan-Terengganu. Baginda tidak bersuami. Di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang negeri Kelantan bertambah maju dan terkenal sehingga ramailah pedagang termasuk yang datang dari luar negeri seperti dari negeri China, India dan Arab berniaga di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |