Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ti.dur] | تيدور

Definisi : 1. dlm keadaan tidak sedar dgn mata terpejam (kerana berehat): siang bekerja malam ~; ~ (-tidur) ayam tidur yg tidak lena (mudah terjaga); ~ lelap (lena, lenyak, nyenyak, senyap) tidur benar-benar (sehingga tidak mudah dikejutkan); ~ mati tidur dgn sangat lenanya; baju (pakaian) ~ baju (pakaian) yg khusus dipakai utk tidur, pijama; bilik (kamar) ~ bilik tempat orang tidur; kaki (tukang) ~ bp (orang yg) sangat suka atau sangat mudah tidur; penyakit ~ sj penyakit yg menyebabkan orang yg menghidapnya selalu hendak tidur; tempat ~ a) bilik (bangunan) tempat orang tidur; b) ranjang; ubat ~ = penidur ubat yg menyebabkan tidur; 2. = masuk (pergi) ~ hendak (pergi utk) berehat dgn memejamkan mata dan tidak sedar diri: biar aku sahaja menyudahkan kerja ini, kau boleh pergi ~ ; 3. a) berbaring; b) = tidur-tidur berbaring-baring (kerana berehat dll); ~ tak lelap, makan tak kenyang prb perihal orang yg tidak tenang fikirannya (kerana runsing, rindu, dll); bagai ~ di atas miang (enjelai) prb perihal orang yg sangat gelisah (kerana banyak perkara yg difikirkannya dll); meniduri 1. tidur (berbaring) di: di atas bangku yg di kejauhan sana, nampak gadis ~ pangkuan pacarnya; 2. bersetubuh dgn, menyetubuhi; menidurkan 1. membuat supaya tidur, mem­-baringkan supaya tidur: sesudah ~ anaknya barulah dapat ia bersenang-senang; 2. mem-baringkan, merebahkan: kemudian hendak-lah ditidurkan pasu itu supaya batang pokok itu sekarang menga­rah ke tepi; 3. ki menjadi-kan lalai (cuai, tidak bersemangat, dll), me-lalaikan: janganlah kita ~ kembali masyarakat kita yg sudah mulai sedar sekarang; 4. menyembuhkan (menghilangkan dll) dgn tidur: ~ pening kepala; tertidur 1. (sudah) tidur: dia merapati katil dan mendapati anaknya sudah ~; 2. mulai tidur: kian lama mata bapa kian pudar, dia ~; 3. dgn tidak sengaja tidur: kerana terlalu letih dia ~ di kerusinya; ketiduran 1. = tempat ~ tempat tidur: nasihat itu menghadapkan kenang-kenang­an­nya ke tempat lain, jauh dr ~nya dewasa itu, ke rumah isterinya; 2. tertidur (dgn tidak sengaja), lama sungguh tidur; ketidur-tiduran selalu mengantuk (hendak tidur); setiduran = seketiduran; seketiduran 1. setempat tidur, tidur bersama-sama; selapik ~ (sahabat) sangat karib; 2. teman tidur; berseketiduran 1. tidur bersama di suatu bilik (katil dll); 2. bersetubuh; petiduran tempat tidur; penidur 1. (orang yg) selalu tidur atau sangat mudah tidur, kaki tidur, tukang tidur; 2. = ubat ~ ubat (pil dll) yg menyebabkan tidur lena. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ti.dur] | تيدور

Definisi : 1 (dlm keadaan) berehat dgn mata terpejam dan tidak khabarkan diri: Biar aku saja yg menyudahkan kerja ini, engkau boleh ~. Dia masih ~ di biliknya. 2 keadaan rehat dgn mata terpejam dan tidak khabarkan diri; ~ lena (lenyak) tidur yg tidak mudah dikejutkan. tidur-tidur berbaring-baring (tetapi tidak lena). ~ ayam tidur yg tidak lena. meniduri 1 tidur di: ~ tilam empuk. 2 bersetubuh dgn. menidurkan membuat supaya tidur: Ibu itu sedang ~ anaknya. tertidur dgn tidak sengaja tidur: Kerana terlalu letih, dia ~ di kerusinya. ketiduran 1 tertidur (dgn tidak sengaja); terlampau lama tidur. 2 = tempat ~ tempat (utk) tidur. seketiduran bersama-sama tidur di satu tempat; sama tempat tidur. berseketiduran 1 tidur bersama-sama di satu tempat tidur. 2 bersetubuh. petiduran tempat tidur. penidur 1 orang yg selalu atau sangat mudah tidur. 2 ubat dsb yg menyebabkan atau memudahkan tidur. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Puisi
 

Kalau ada padi gugur,
     Bolehlah kita tampi-tampi;
Kasih terlupa antara tidur,
     Dalam tidur kita bermimpi.


Lihat selanjutnya...(134)
Peribahasa

Tidur tak lelap,
     makan tak kenyang.

Bermaksud :

Orang yang bersusah hati (gelisah), kerana sangat banyak yang difikirkannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Air diminum sembiluan, b. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam).

 

Lihat selanjutnya...(34)


Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
TIDUR

Tidur ialah keadaan rehat dan tidak sedar terhadap

apa-apa yang berlaku di sekeliling dalam tempoh

tertentu. Tidur tidak sama dengan koma kerana

orang yang tidur mudah terjaga. Manusia atau

haiwan yang sedang tidur boleh terjaga dengan

cepat, misalnya, akibat bunyi bising atau cahaya

lampu yang terang. Semua manusia dan beberapa

jenis haiwan mesti mempunyai jumlah tidur yang

cukup dalam sehari pada sela masa yang tetap.

Apa yang berlaku semasa tidur. Apabila

seseorang itu tidur, semua aktiviti menurun dan

otot berehat. Denyutan jantung dan kadar

pernafasan menjadi perlahan. Orang itu, perlahan-lahan

menjadi tidak sedar terhadap apa yang

berlaku di sekelilingnya.

UMUM 
NARKOLEPSI

Narkolepsi adalah sejenis penyakit yang

menyebabkan penghidapnya tidur berlebihan.

Orang yang menghidap narkolepsi mudah tidur

beberapa kali di siang hari, walaupun mereka cukup

tidur pada waktu malam. Penyakit ini tidak diketahui

sebabnya. Tetapi bukti menunjukkan ia berpunca

daripada keturunan. Doktor boleh melegakan

masalah ini dengan memberi ubat, tetapi penyakit

narkolepsi tidak dapat disembuhkan.

UMUM 
MIMPI BURUK

Mimpi buruk ialah mimpi yang menakutkan atau

pengalaman seperti mimpi yang membangunkan

orang yang tidur. Selepas terjaga daripada

kebanyakan mimpi buruk, seorang itu boleh

mengingati semula mimpi yang menyebabkan

ketakutan. Jenis peristiwa tidur lain yang menakutkan

disebut keganasan malam, berlaku tanpa mimpi

sebenar. Orang yang tidur akan terjaga dalam

keadaan takut pada awal malam, sering kali dengan

perasaan tekanan di dada. Ketakutan malam berlaku

pada permulaan semasa tidur. Mimpi buruk yang

sebenar berlaku kemudian, semasa tidur bermimpi

(lihat Tidur [Apa yang berlaku semasa tidur]).

UMUM 
MIMPI

Mimpi ialah satu cerita yang ditonton oleh

seseorang semasa tidur, atau cerita yang menjelma

semasa tidur. Peristiwa dalam mimpi merupakan

khayalan tetapi biasanya ada hubungan dengan

peristiwa sebenar pemimpi. Khayalan itu seolah-olah

benar pada orang yang bermimpi semasa perkara itu

berlaku. Sesetengah mimpi menyeronokkan, ada

juga meresahkan dan menyeramkan (lihat Mimpi

buruk).

UMUM 
MORPHEUS

Morpheus ialah dewa mimpi dalam mitologi

Yunani. Dia ialah salah seorang anak lelaki

Hypnos, dewa tidur. Dia menjelma sebagai

manusia dan menunjukkan dirinya kepada

manusia di dalam tidur mereka. Jika seseorang itu

“berada di dalam pelukan Morpheus”, bermakna

dia sedang tidur. Dadah morfin diberi nama

sempena namanya.

UMUM 
DENGKUR

Dengkur ialah bunyi garau dan terputus-putus

semasa tidur. Hampir setiap orang pernah

berdengkur sekali-sekala. Namun orang lelaki

lebih kerap berdengkur berbanding dengan wanita dan

kanak-kanak. Biasanya dengkur berlaku apabila

orang yang tidur bernafas melalui mulut.

UMUM 
KATIL

Katil ialah barang perabot yang digunakan untuk

tidur atau berehat. Sepanjang sejarah, katil-katil

terdiri daripada jenis yang mudah dengan tilam

berisi jerami hinggalah kepada katil daripada jenis

perabot yang beradun dengan rangka yang

menarik dan dihiasi pula dengan fabrik yang mahal

lagi mewah.

UMUM 
NATRIUM TIOPENTON

Natrium tiopenton ialah barbiturat yang

digunakan untuk menyebabkan tidur semasa

pembedahan. Ia adalah anestetik am – iaitu, ubat

yang menyebabkan tidak sedar dan hilang rasa

pada keseluruhan badan.

UMUM 
ADAT PERKAHWINAN TEMIAR

ADAT PERKAHWINAN TEMIAR, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Temiar di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Temiar tidak mempunyai istilah khusus untuk merujuk kepada perkahwinan kecuali perkataan ‘seklog’ yang bermaksud tidur atau tidur bersama. Masyarakat Temiar tidak membenarkan perkahwinan antara ahli keluarga dan saudara sedarah. Perkahwinan antara ahli keluarga yang rapat seperti sepupu juga tidak digalakkan.

            Secara umumnya masyarakat Temiar mengutamakan perkahwinan monogami, tetapi poligami khususnya poligini masih diterima oleh masyarakat ini. Perkahwinan secara endogami juga banyak berlaku berbanding dengan eksogami. Dari segi umur, orang lelaki biasanya berumur 16 tahun manakala orang perempuan lebih muda daripada itu. Selepas berkahwin, pasangan suami isteri biasanya akan membentuk keluarga asas sendiri.

 

BUDAYAKonsep
MALAIKAT

Malaikat ialah makhluk yang dijadikan daripada

cahaya, tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan

tidak berkahwin, tidak menderhakai perintah Allah

SWT bahkan menjalankan semua perintah-Nya

dan segala kerja yang ditugaskan oleh Allah

kepada mereka. Beriman kepada para malaikat

merupakan rukun iman yang kedua. Tidak sah iman

seseorang kecuali dia beriman kepada malaikat.

UMUM 
123

Kembali ke atas