SARICH, RALPH | Sarich, Ralph (1938– ) ialah pencipta Australia, menyiapkan prototaip pertama dalam revolusi enjin orbitalnya pada tahun 1971. Pada tahun 1973, Broken Hill Proprietory Company Ltd. (BHP) bergabung dengan Sarich untuk menyediakan sokongan kepada peningkatan enjin. Usaha sama ini menghasilkan pembentukan syarikat Orbital Engine. | UMUM | |
MASAKINI | MASAKINI, jurnal kreatif dan budaya. Jurnal ini diselenggarakan secara usaha sama oleh Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia. Masakini pertama kali diterbitkan pada tahun 1976. | SASTERA | Penerbitan |
PETROLIAM NASIONAL BERHAD (PETRONAS) | Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) ialah syarikat minyak dan gas negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Ditubuhkan pada 17 Ogos 1974, PETRONAS diperuntukkan hak milik dan pengawalan sepenuhnya ke atas semua sumber minyak dan gas Malaysia, mengikut Akta Kemajuan Petroliam 1974. Sejak penubuhannya, PETRONAS telah mempelbagaikan kegiatannya daripada usaha eksplorasi minyak serta gas di peringkat huluan kepada aktiviti penapisan minyak, pemprosesan, pencecairan dan penyaluran gas asli; pengeluaran petrokimia; pemasaran dan pengangkutan di peringkat hiliran. PETRONAS mempunyai kepentingan perniagaan di lebih daripada 30 buah negara. Sehingga akhir bulan Mac 2002, kumpulan PETRONAS terdiri daripada 73 anak syarikat milik penuh, 21 anak syarikat milik sebahagian dan 45 syarikat usaha sama. | UMUM | |
ROSE, ERNESTINE POTOWSKI | Rose, Ernestine Potowski (1810–1892) merupakan reformis wanita yang utama di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1800-an. Dia menjadi terkenal khususnya sebagai penyokong awal usaha-usaha untuk mendapat hak yang sama bagi kaum wanita. | UMUM | |
ANUGERAH RATU UNTUK EKSPORT DAN TEKNOLOGI | Anugerah Ratu untuk Eksport dan Teknologi, dianugerahkan kepada syarikat di United Kingdom yang memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam usaha meningkatkan eksport atau dalam inovasi teknologi (menggunakan kaedah baru atau mengeluarkan produk baru). Anugerah ini dapat dimenangi oleh mana-mana cabang industri, termasuk pertanian. Pemegang anugerah ini – sama ada untuk pencapaian dalam bidang pengeksportan atau dalam bidang teknologi – menerima replika lambang anugerah tersebut yang dibuat daripada besi dan dilekapkan pada blok yang lut sinar. Pemegang anugerah ini berhak mempamerkan lambang tersebut pada alat tulis yang dicetak dan pada produk mereka. Bagi anugerah eksport, lambang itu mempunyai huruf E di tengahnya. Bagi anugerah teknologi, ia mempunyai huruf T. | UMUM | Anugerah/Hadiah |
SETI I | Seti I (memerintah pada tahun 1303–1290 S.M.) ialah raja Mesir purba. Pada peringkat awal pemerintahannya, baginda telah mengadakan sekurang-kurangnya dua kempen di Syria sebagai usaha untuk merisik perkembangan kaum Hitit dan menubuhkan semula empayar Thutmose III di Palestin dan Syria. Seti membina Kuil Abydos. Baginda juga menghiasi tembok Great Hypostyle Hall (dewan yang bertiang) di Karnak, yang dimulakan oleh ayahanda Ramses I dan disempurnakan oleh puteranya Ramses II. Makamnya yang merupakan binaan paling indah di Lembah Raja, telah ditemui pada tahun 1817 manakala mumianya bersama-sama dengan mumia Ramses II ditemui pada tahun 1881, dalam satu makam lain berhampiran Dayr al-Bahri. | UMUM | |
BERTAPA | BERTAPA, usaha untuk membersihkan jiwa atau untuk mendapatkan sesuatu ilmu, sama ada ghaib atau ilmu untuk kekuatan tubuh badan, dengan cara mengasingkan diri dan berpantang. Bertapa juga disebut ‘tapa’ yang membawa makna yang serupa. | BUDAYA | Perayaan/Upacara |
SENIMAN | SENIMAN, persatuan untuk para seniman dan seniwati di Malaysia. SENIMAN ialah singkatan Persatuan Seniman Malaysia. Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1974 hasil usaha bersama Haji Idris Ibrahim, Ahli Parlimen Setapak, Zainuddin Zimbo dan beberapa orang seniman dan seniwati yang terlibat dengan Merdeka Studio di Hulu Kelang, Selangor. SENIMAN adalah sebagai ganti Persatuan Artis-Artis Malaya (PERSAMA) yang pernah dipimpin oleh P. Ramlee di studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960-an. PERSAMA dibubar bersama-sama Studio Malay Film Productions jalan Ampas yang ditutup pada 15 September 1967. | BUDAYA | Institusi/Organisasi |