SHIRAZIY, ABU ISHAQ AL- | Shiraziy, Abu Ishaq al- (393–476 H. / 1003–1084M.), ahli fiqh, sejarawan dan juga sasterawan. Nama penuhnya ialah Ibrahim ibn ‘Ali ibn Yusuf al- Shiraziy al-Shafi’iyy Abu Ishaq. Dia lahir di Fayruz Abad dan menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sana. Kemudian dia berhijrah ke Shiraz dan Basrah serta Baghdad. Dia berguru daripada ulama-ulama terkenal di sana seperti Abu ‘Abdullah al-Baydawiy, Abu Hatim al-Qazwiniy, al-Zujjaj, Abu Bakr al-Barqaniy dan Abu al-Tayyib al-Tabariy. Walau bagaimanapun berlaku sedikit perselisihan antaranya dengan al-Tabariy dalam pengajiannya. Ramai tokoh yang berguru padanya. Antaranya ialah Abu ‘Abdullah al-Hamidiy, Abu al-Qasim al- Samarqandiy dan Abu al-Hasan ibn ‘Abd al-Salam dan ramai lagi. Al-Shiraziy sendiri pernah berkata: “Semasa saya pergi ke Khurasan, di sana saya tidak temui walau seorang kadi, mufti mahupun khatib melainkan semuanya terdiri daripada murid-murid dan sahabat saya”. Al-Shiraziy mengarang beberapa buah buku yang menjadi bahan rujukan dalam mazhab Syafi’i. Antaranya seperti al-Tabsirat fi Usul al-Fiqh, al-Lam ’ fi Usul al-Fiqh’ al- Nakt fi al- Khilaf wa al-Tanbih’ al-Muhadhdhib Tabaqat al- Fuqaha’. Al-Shiraziy meninggal dunia di Baghdad. | UMUM | |
NAYSABURIY, ‘ABDULLAH AL- | Naysaburiy, ‘Abdullah al- (706–776 H./1306– 1374 M.), faqih Mazhab Hanafi, cemerlang dalam bahasa Arab, mendalami tentang al-Manqul dan al- Ma‘qul . Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Husayniy al-Naysaburiy. Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menyifatkannya sebagai Zamakhshariy pada zamannya. Al-Naysaburiy bekerja sebagai guru di al-Madrasah al-Asadiyyah di Halab, iaitu sebuah sekolah Mazhab Syafi‘i dan juga mengajar di Qubbat al-Asadiyyah di Damsyik, sebuah sekolah Mazhab Hanafiy. Dia menetap di Damsyik dan Kaherah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Al-Naysaburiy kemudiannya dilantik sebagai syeikh tarekat di salah sebuah tempat bersuluk ( al-khawaniq ). Dia menulis kitab Syarh al- Manar mengenai Usul al-Fiqh berdasarkan perbincangan yang dibuat oleh al-Nasafiy dan menulis Syarh al-Tashil mengenai nahu. | UMUM | |
SUBKIY, TAJ AL-DIN AL- | Subkiy, Taj al-Din al- (727–771 H. / 1327–1370 M.), ahli sejarah yang ulung, yang sangat mahir dalam ilmu fiqh dan usul fiqh al-Syafi’i. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Wahab ibn Ali ibn ‘Abd al- Kafiy al-Subkiy. Al-Subkiy diambil sempena nama Subuk, iaitu salah sebuah perkampungan dalam wilayah al-Manufiah di Mesir. Al-Subkiy juga adalah saudara kandung Baha al-Din. Di digelar sebagai Ketua Kadi Taj al-Din. Al-Subkiy lahir di Kaherah dan menuntut ilmu daripada alim ulama di sana. Kemudian, dia mengembara ke Damsyik bersama ayahnya. Di Damsyik, al-Subkiy menuntut ilmu daripada ulama-ulama besar antaranya ialah ayahnya sendiri Ali ibn ‘Abd al-Kafiy, al-Hafiz al-Mazziy dan al-Dhahabiy. Shamsu al-Din ibn al-Naqib telah mengizinkannya untuk mengeluarkan fatwa. Walaupun ketika itu usianya belum mencapai 18 tahun, al-Subkiy telahpun mengeluarkan fatwa. Jawatan terakhir yang disandang ialah ketua kadi di Syam. Dia telah mengarang beberapa buah kitab. Antaranya ialah Sharh Mukhtasar Ibn al-Hajib, Sharh Minhaj al-Baydawiy tentang Usul Fiqh yang dinamakan al-Ibhaj Sharh al-Manhaj, Al-Qawa‘id al- Mushtamalah ‘ala al-Ashbah wa al-Naza ‘ir Tabaqat al-Shafi‘iyyah al-Kubra wa al-Wusto wa al-Sughra-al- Tarshih fi-Ikhtiyarat Walidihi Jam‘u al-Jawami` Fi Usul al-Fiqh dan syarahnya dinamakan Man‘a al-Mawani’. Al-Subkiy meninggal dunia di Damsyik. | UMUM | |
SARKHASIY, IBN SAHL AL- | Sarkhasiy, Ibn Sahl al- ( ? – 483 H.), ahli Fiqh dan usul Fiqh dalam mazhab Hanafi. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad ibn Abi Sahl, salah seorang imam yang terkenal. Al- Sarkhasiy diambil sempena nama Sarkhas, sebuah negara lama di Khurasan. Dia mempelajari ilmu fiqh dan usul daripada imam terkenal al-Hilwaniy dan mencapai kedudukan keilmuan yang tinggi. Anak Kamal Basha menganggapnya salah seorang ahli ijtihad. Al-Sarkhasiy seorang yang alim, bertugas sebagai penasihat kepada pemerintah. Al-Sarkhasiy dipenjara oleh al-Khaqan atas permintaannya. Hukuman penjara tidak menghalangnya untuk mengajar murid-muridnya. Dia telah mengarang kitab al-Mabsut , kitab tentang fiqh Hanafi yang paling hebat dan telah dicetak dalam 30 juzu’ semasa berada di dalam penjara bawah tanah. Dia juga telah mengarang S yarah al-Sair al-Kabir karangan Muhammad ibn al-Hassan. Al-Sarkhasiy telah mengarang kitab Mukhtasar al-Tahawiy dan kitab usul fiqh mazhab Hanafi yang teragung, yang dikenali sebagai Usul al-Sarkhasiy . | UMUM | |
NASAFIY, ‘ABD AL-AZIZ AL- | Nasafiy, ‘Abd al-Aziz al- (?–563 H/?–1167 M), ahli Fiqh dan Usul Fiqh Mazhab Hanafi. Nama sebenarnya ialah ‘Abd al-‘Aziz ibn ‘ Uthman ibn Ibrahim al-Nasafiy. Dia belajar ilmu Fiqh di Bukhara daripada Abu al-Mufakhar ‘Abd al-‘Aziz ibn ‘Umar dan juga daripada ulama-ulama lain. Dia meriwayatkan hadith daripada ayahnya dan Abu Sa‘id al-Tuyuriy serta Raziq ibn Mu‘awiyah. Al- Nasafiy berhijrah ke Baghdad seterusnya menuju ke Khurasan dan Transoxiana. Dia dilantik sebagai kadi di Bukhara sepanjang hayatnya dan meninggal dunia ketika masih memegang jawatan tersebut. Dia menjadi pakar rujuk dalam memberi fatwa dan juga dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku. Al-Nasafiy mempunyai beberapa hasil penulisan, antaranya ialah: al-Munqidh min aldahlal fi Masa’il al-Jadal; al-Fusul fi al-Fatawa dan Kifayat al-Fuhul fi ‘Ilm al-Usul. | UMUM | |
TILMISANIY, AL-SYARIF AL- | Tilmisaniy, al-Syarif al- (710–771 H / 1310– 1370 M.), ulama fiqh dan usul fiqh bermazhab Maliki yang mendalami ilmu-ilmu wahyu dan ilmu akal. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad ibn Ali al-Alwani al-Syarif al-Tilmisani. Dia dibesarkan di Tilmisan dalam sebuah keluarga ilmuwan dan ternama. Dia mendapat bimbingan serta tunjuk ajar ilmu al-Qur’an daripada al-Syeikh Abu Zaid ibn Ya`qub dan mempelajari ilmu lain daripada al-Qadhi Abu ‘Abdullah ibn Hadiyah al- Qursyi, Abdullah al-Mujasi dan al-Qadhi al-Tamimi. | UMUM | |
AMIDI, ABU AL-HASAN AL- | Amidi, Abu al-Hassan al- (551–631 H.), ahli ilmu usul. Nama penuhnya ialah Abu al-Hasan Sayd al- Din ‘Ali ibn Abi ‘Ali ibn Muhammad ibn Salim al- Tha‘labi. Dia bermazhab Hambali, kemudian berubah kepada mazhab Syafi‘i. Dia pergi ke Baghdad untuk belajar ilmu al-Qira’at, mahir dalam perkara-perkara khilaf (berlainan pendapat) dan mendalami ilmu Usuluddin, Usul Fiqh dan Falsafah. Dia juga pergi ke Mesir dan terkenal dalam pengajian ilmu Fiqh Syafi‘i. Ramai yang menjadi anak muridnya. Kemudian dia berpindah pula ke Syam dan meninggal dunia di sana. Antara karya al-Amidi ialah Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Abkar al-Afkar berkaitan ilmu kalam dan Lubab al-Albab . | UMUM | |
MUZANNIY, AL- | Muzanniy, al- (175 H.–264 H./791 M.–878 M.), pakar dalam bidang usul fiqh. Nama penuhnya ialah Isma‘il ibn Yahya ibn Isma‘il al-Muzanniy al-al- Syafi’i. Dia lahir di Mesir dan mendampingi Imam al-Syafi’i ketika dia datang ke Mesir serta belajar darinya dan merupakan salah seorang murid Imam al-Syafi’i yang paling hampir dengannya. Imam al- Syafi’i mengiktiraf kekuatan hujah-hujahnya dengan berkata, “Sekiranya al-Muzanniy berbahas dengan syaitan, nescaya syaitan pun akan dikalahkannya”. | UMUM | |
QAWNAWIY, ‘ALA’ AL-DIN ABU AL-HASAN AL- | Qawnawiy, ‘Ala’ al-Din Abu al-Hasan al- (668 – 729 H./1270 – 1329 M.), ulama fiqh Mazhab Shafi’i, ahli ilmu usul, ahli tafsir dan pakar sastera Arab. | UMUM | |
QARAFIY, SHIHAB AL-DIN AL- | Qarafiy, Shihab al-Din al- (? –684 H./? –1285 M.), tokoh ilmu fiqh Mazhab Malikiy dan salah seorang tokoh ilmu usul. Nama penuhnya ialah Ahmad ibn Idris ibn ‘Abd al-Rahman, Abu al-’Abbas Shihab al-Din al-Sanhajiy al-Qarafiy. Al-Qarafiy lahir di Bahnasa, Mesir. Keluarganya berasal dari Sanhajah, Maghribi. | UMUM | |