Mutawakkil ‘Alallah, al- (207 H.–247 H./822 M.– 861 M.), khalifah kerajaan Abbasiyyah. Nama penuhnya ialah Ja‘far ibn al-Mu‘tasim ibn al-Rashid ibn Muhammad al-Mahdiy ibn al-Mansur al- ‘Abbasiy. Dia lahir di Famm al-Sulh (sebuah kampung di tebing Sungai Dajlah yang berdekatan dengan sebuah tempat yang bernama Wasit). Ibunya bernama Shuja‘ yang berasal daripada Khawarizm. Al-Mutawakkil ‘Alallah telah dididik oleh ibunya untuk mewarisi takhta kerajaan. Dia dilantik sebagai khalifah selepas abangnya al- Wathiq (232 H./847 M.). Pada zaman pemerintahannya, dia dikenali sebagai pelopor era baru dalam kerajaan Abbasiyyah, yang dikenali sebagai Zaman Abbasiyyah yang Kedua. Pada zaman itu, orang-orang Turki menguasai kedudukan dalam kerajaan terutama dalam ketenteraan dan pentadbiran. |