WAYANG KULIT | WAYANG KULIT, seni lakon yang menggunakan watak-watak patung yang digerak-gerakkan. Asal usul wayang kulit tidak diketahui dengan jelas. Mengikut Oto Spies, Sabri East Siya Siyavusyil dan William Ridgewary, wayang kulit berasal dari India. Berhold Lauter mencatatkan bahawa negara China merupakan tempat asal wayang kulit. Hazeu pula menjelaskan bahawa wayang kulit berasal dari Jawa kerana terdapat perkataan Jawa kuno dalam wayang kulit Purwa. Ada juga pendapat yang menjelaskan bahawa wayang kulit berasal dari India kerana wayang kulit di Asia Tenggara menceritakan tentang epik Hindu, iaitu Mahabrata dan Ramayana. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
GEDOMBAK | GEDOMBAK, gendang kecil satu muka dan berbentuk labu air. Gedombak digunakan dalam persembahan wayang kulit Siam, mak yong dan menora di Kedah, Kelantan dan selatan Thailand. | BUDAYA | Alat/Alatan |
CORAK PUCUK REBUNG | CORAK PUCUK REBUNG, sejenis corak dan motif hias dalam kesenian Melayu Nusantara. Sebagai lambang kehidupan, imej pucuk rebung muncul dalam ‘gunungan’ wayang kulit atau puncak Mahameru, mitos keagungan bangsa Melayu. ‘Gunungan’ dalam patung wayang kulit dikenal sebagai ‘pohon hayat’ atau pohon ‘sajaratulyakin’ yang melambangkan ‘semangat kehidupan alam dan manusia’. Di situ terhimpun peristiwa tentang asal usul kejadian manusia. Sebelum kelahiran manusia (Adam), yang ada di muka bumi hanya pohon kayu dan ular (serta binatang dan unggas lainnya). Ukiran pohon hayat dalam wayang kulit diisi penuh dengan kehidupan alam awal itu. | BUDAYA | Proses/Tindak Balas |
DALANG | DALANG, pemimpin dan tukang cerita dalam wayang kulit. Dalang juga bertindak sebagai pemain segala peranan dalam cerita wayang kulit dengan menggunakan boneka yang diukir daripada kulit lembu, untuk melambangkan pelbagai watak dalam cerita daripada Ramayana, Mahabharata dan cerita panji. Dalang merupakan tokoh pencerita yang beraksi sambil bercerita, serta turut memainkan boneka tersebut. Dalang juga bertindak sebagai pawang sesuatu persembahan dengan melakukan jampi dan doa untuk keselamatan persembahan. | BUDAYA | Konsep |
TOK PERAK | TOK PERAK, drama karya Syed Alwi. Tok Perak diterbitkan pada tahun 1974 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Drama ini telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia tahun 1974 bagi kategori drama. Drama ini mula dipentaskan pada tahun 1975. Tok Perak menggabungkan pelbagai elemen seni iaitu tarian, wayang kulit, wayang gambar dan slaid. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
CERITA WAYANG | CERITA WAYANG, cerita yang dipersembahkan dalam pertunjukan wayang kulit yang dikenal juga sebagai lakon wayang. Cerita wayang bersumberkan cerita pahlawan yang terkenal di India, Ramayana dan Mahabharata. | SASTERA | Konsep |
SENI LAKON | SENI LAKON, semua bentuk seni persembahan yang dilakonkan sama ada di atas pentas, melalui radio, televisyen atau filem. Oleh itu wayang kulit, makyung, bangsawan, randai, waang wong, purbwara, sandiwara atau citawara, boria, tablo, menora dan teater, semuanya tergolong sebagai seni lakon. Seni lakon bertunjangkan elemen cerita yang dipersembahkan dengan unsur dramatik, iaitu mengandungi elemen konflik, suspens, kembara, silat, nyanyian, tarian, muslihat, dan sebagai daya tarikannya dibantu dengan alat set dan prop serta alat muzik, busana dan tatarias. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
KEKAWIN | KEKAWIN, cerita berirama. Kekawin juga dikenal sebagai kakawin (Jawa-kuno) atau kakawen dan kakawian (Sunda). Kekawin selain disenandungkan, biasa pula ditembangkan oleh dalang sewaktu memainkan wayang golek dan wayang kulit atau jenis wayang lainnya di panggung. Jadi cerita ini bertembang yang juga disebut tembang gede (nyanyian, senandung besar). Tembang gede itu dalam kitab-kitab kuno masih menurut syarat-syarat Hindu, dengan jalan irama yang tetap dan tidak boleh berubah sedikit pun. | SASTERA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
TUK SELAMPIT | TUK SELAMPIT, tukang cerita atau penglipur lara di Kelantan. Di tempat-tempat tertentu ia dikenal juga dengan panggilan raja dera, kerana kebanyakan tuk selampit gemar membawa cerita sedih tentang seorang raja yang didera. Cerita yang disampaikan oleh tuk selampit kadangkala merupakan adunan cerita makyung dan menora. Ada juga cerita yang dipetik daripada main peteri. Malah penceritaan tuk selampit memperlihatkan gaya yang merupakan campuran gaya penyampaian makyung, menora, wayang kulit dan main peteri. Hal ini tidak dapat dielak memandangkan semua seni pentas tradisi ini berasal dari kawasan yang sama dan berkembang. | BUDAYA | Jawatan/Gelaran |