ARIADNE | Ariadne dalam mitologi Yunani ialah anak perempuan Minos, raja Crete. Dia jatuh cinta dengan wira Yunani Theseus ketika wira ini pergi ke Crete untuk membunuh raksasa yang dikenali sebagai Minotaur. Raksasa ini tinggal di rangkaian laluan yang mengelirukan yang dikenali sebagai Labyrinth. Ariadne memberikan sebuku benang kepada Theseus apabila Theseus memasuki Labyrinth supaya dia dapat meninggalkan kesan dan kemudian mencari jalan keluar. Theseus membunuh Minotaur dan melarikan diri dari Crete bersama-sama Ariadne tetapi meninggalkannya di Pulau Naxos. Dewa Dionysus menemui Ariadne di sana dan mengahwininya. | UMUM | |
NEOPTOLEMUS | Neoptolemus ialah wira Yunani semasa Perang Trojan. Dia juga dikenali sebagai Pyrrhus. Bapanya ialah wira Yunani bernama Archilles. Selepas kematian Archilles dalam perang tersebut, Neoptolemus membantu Yunani menewaskan Trojan. Ketika orang Yunani menawan Troy, Neoptolemus membunuh raja Trojan, iaitu Priam yang sudah tua tanpa belas kasihan. | UMUM | |
ARGONAUTS | Argonauts, dalam mitologi Yunani, ialah temanteman Jason, seorang wira yang ternama. Mereka belayar bersama-sama Jason dalam pelayaran untuk mencari Bulu Biri-biri Keemasan, seekor biri-biri jantan terbang. Kira-kira 50 orang wira Yunani yang terbilang mengambil bahagian dalam pelayaran itu, termasuk Castor dan Pollux, Hercules, Orpheus, Peleus, dan Telamon. | UMUM | |
ARJUNA | Arjuna ialah wira dalam puisi epik India, Mahabharata , yang menceritakan peperangan antara adik-beradik Pandava dan sepupu Kaulava. Arjuna ialah anak ketiga daripada lima adik- beradik Pandava. Kisah hidupnya merupakan satu siri peperangan dan kejayaan. Arjuna dipaparkan sebagai seorang wira yang unggul. Dia berani, kacak, mulia, pemurah, dan seorang kekasih yang romantis. Lihat Mahabharata. | UMUM | |
SIEGFRIED | Siegfried ialah wira legenda kesusasteraan Jerman pada Zaman Pertengahan. Sebagai orang muda, Siegfried memperoleh harta karun Nibelung yang tidak terperi nilainya dan selubung yang boleh menjadikannya halimunan. Dia juga membunuh seekor naga dan mandi dengan darahnya untuk menjadikannya kebal. Walau bagaimanapun, sehelai daun linden terjatuh di bahagian belakangnya, di antara kedua-dua bahu, meninggalkan tanda yang tidak terlindung. | UMUM | |
TELL, WILLIAM | Tell, William ialah wira legenda Switzerland. Dia mewakili semangat gerakan kemerdekaan Switzerland dari Habsburgs Austria pada tahun 1300-an. Mengikut legenda, Tell ialah pemanah yang paling mahir di seluruh canton (negeri) Uri. Seorang bailif Austria bernama Gessler mengarahkan semua rakyat Switzerland memanah topi yang diletakkannya di atas tiang di dataran utama Altdorf. Tell yang tidak mahu memanahnya kemudiannya ditangkap. Gessler berjanji akan membebaskannya jika dia dapat memanah buah epal yang diletakkan di atas kepala anaknya. Tell memanah epal tersebut dan berkata andainya anaknya tercedera, dia pasti membunuh Gessler. Gessler mengarahkan Tell ditangkap dan dirantai. | UMUM | |
PETER PAN | Peter Pan ialah wira kanak-kanak dalam beberapa cerita fantasi yang ditulis oleh Sir James Matthew Barrie, penulis Scot. Watak tersebut mula-mula timbul dalam novel karangan Barrie berjudul The Little White Bird (1902). Barrie mengadaptasi sebahagian daripada novel tersebut kepada satu drama berjudul Peter Pan (1904). Beberapa bab novel berkenaan telah diterbitkan pada tahun 1906 berbentuk buku berjudul Peter Pan in Kensington Gardens . Barrie juga menulis novel Peter Pan and Wendy (1911). Lihat Barrie, Sir James Matthew. | UMUM | |
AENEAS | Aeneas ialah wira Trojan dalam mitologi Yunani dan Rom. Orang Rom percaya bahawa Aeneas berketurunan Remus dan Romulus, kononnya penubuh Rom. Penyajak Rom Virgil mengagungkan keperwiraan Aeneas dalam puisi epik Aeneid. | UMUM | |
ACHILLES | Achilles adalah antara wira yang paling masyhur dalam mitos Yunani. Dia terlibat dengan peranan yang penting dalam Perang Trojan apabila Yunani menewaskan bandar raya Troy. Puisi epik Illiad ada mengisahkan tahun terakhir peperangan tersebut. | UMUM | |
SIGURD | Sigurd ialah nama Scandinavia bagi wira legenda Jerman yang bernama Siegfried. Cerita mengenainya mungkin bermula pada tahun 400-an S.M. dan tiba di Scandinavia tidak lama kemudian. Kisahnya diabadikan dalam bentuk puisi dalam Elder Edda, koleksi puisi yang digubah di Iceland pada tahun 1000-an dan 1100-an. Prosa Saga of the Volsungs, yang ditulis di Iceland pada tahun 1100-an dan 1200-an, menceritakan kisah penuhnya. Lihat juga Edda; Nibelungenlied; Siegfried. | UMUM | |