Dua tiga berlari, kucing berlari, Mana nak sama belang, si kucing belang; Dua tiga kucari, dapat kucari, Mana nak sama seorang, tuan seorang. | Pantun Melayu Sarawak | Bergendang |
Anak kuda berlari-lari, Berlari dengan tali-talinya; Banyak harta orang tak iri, Iri orang pada budinya. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Petalangan |
Berlari macam kuda, Bangun pagi-pagi, Bestari masih muda, Belajar tinggi-tinggi. | Pantun Melayu Sarawak | Jati Diri |
Berlari-lari kuda di pantai, Mendengar babi mendendang sayang; Berkali-kali celana terburai, Dikejarbini berparang panjang. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Jenaka |
Berlari bukannya kijang, Pandan terjemur di bumbungan; Berbunyi bukannya riang, Badan terkenang di peruntungan. | Kurik Kundi Merah Saga | Perantauan |
Puyuh berlari dalam jerami, Tiak menyanyi merdu suara; Tujuh lautan telah kuselami, Tidak kutemui sebutir mutiara. | Pantun Melayu Sarawak | Perantau |
Tupai berlari naik ke anjung, Turun ke tanah berjalan pincang; Sampai mati adikku sanjung, Walaupun sudah di tangan orang. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari di dahan kayu, Hari petang baru berhenti; Sampai mati menahan rindu, Adik seorang pujaan hati. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari naik permatang, Di situ banyak buah kemiri; Sampai mati adik kukenang, Kasihku tidak berbelah bagi. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari naik ke pondok, Pupuslah nasi dalam belanga; Sampailah mati adik merajuk, Memutus kasih sedang menyala. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |