Ambillah kayu buatlah pondok, Pondok dapat tempat berhenti; Ambillah guru adatnya elok, Elok beradat sifat terpuji. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Nasihat Nasihat |
Pondok menjadi bangsal, Bangsal ada di hujung desa; Usul menunjukkan asal, Bahasa menunjukkan bangsa. | Kurik Kundi Merah Saga | Adat |
Bagaimana pondok takkan condong, Bila tiangnya semuanya bengkok; Bagaimana duduk takkan bingung, Bila hutangnya sudah bertompok. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Nasihat Nasihat |
Tujuh pondok tujuh teratak, Buah nanas dimakan lalat; Sungguh elok kepala botak, Kena panas berkilat-kilat. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Petalangan |
Tiang pondok ditakik budak, Tidakkan putus sampai pagi; Abang tengok adik bercelak, Bagaikan putus tangkai hati. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Dirikan pondok bertanam nanas, Biar saya berburu rusa; Biar orang melonggok emas, Saya niaga budi bahasa. | Kurik Kundi Merah Saga | Budi |
Api siapa di pondok itu, Apinya janda tengah menugal; Laki siapa yang bongkok itu, Sudah tua gila menggatal. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Jenaka |
Tupai berlari naik ke pondok, Pupuslah nasi dalam belanga; Sampailah mati adik merajuk, Memutus kasih sedang menyala. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Pergi ke bukit mencari kayu, Singgah berhenti pondok Cik Sulung; Bunga kembang jadi layu, Tiada tempat meminta tolong. | Kurik Kundi Merah Saga | Kasih Sayang/Cinta |
Belilah tikar berserta bantal, Untuk dibentang di dalam pondok; Hati berdebar bercampur kesal, Menengok abang diam merajuk. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |