Tupai terkencing di pintu sarang, Itik bertelur di tepi sungai; Bagai kucing menunggu panggang, Air liur menganak sungai. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Petalangan |
Tupai berlari naik ke anjung, Turun ke tanah berjalan pincang; Sampai mati adikku sanjung, Walaupun sudah di tangan orang. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari di dahan kayu, Hari petang baru berhenti; Sampai mati menahan rindu, Adik seorang pujaan hati. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari naik permatang, Di situ banyak buah kemiri; Sampai mati adik kukenang, Kasihku tidak berbelah bagi. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai berlari naik ke pondok, Pupuslah nasi dalam belanga; Sampailah mati adik merajuk, Memutus kasih sedang menyala. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Tupai mengusik bunga durian, Durian berbuah di depan rumah; Tidak menyesal hari kemudian, Supaya badan tidak punah. | Kurik Kundi Merah Saga | Agama |
Jatuh tupai salah melompat, Berkejar naik ke batang pinang; Tubuhku longlai patah semangat, Mendengar adik dipinang orang. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Kasih Sayang/Cinta |
Anak tupai di atas carang, Jatuh melompat patah kaki; Kalau pandai menjaga barang, Mana boleh jadi rugi. | Kurik Kundi Merah Saga | Perniagaan |
Anak tupai meniti dahan, Dahan patah tebing seberang; Macam saya belum faham, Jangan berlawa disuruh orang. | Kurik Kundi Merah Saga | Kasih Sayang/Cinta |
Manggis sudah ditebuk tupai, Gugur tidak masih di dahan; Habis sudah harta digadai, Tumpang tidur ditepi jalan. | Pantun Melayu Sarawak | Nasib |