Kurik Kundi Merah Saga | Kalau tak beli jangan dibelek, Kata orang bijak cerdik; Kalau dah undur terkam balik, Itu tanda umur nak pendek. |
Kurik Kundi Merah Saga | Anak cicak anak keredek, Rama-rama menyusur pantai; Dia bijak saya cerdik, Sama-sama mengadu pandai. |
Kurik Kundi Merah Saga | Hiris rojak hantar ke surau, Hendak menjemput datuk penghulu; Gadis bijak orang tak hirau, Ilmu di dapur laksana dulu. |
Kurik Kundi Merah Saga | Pakai tanjak pergi ke Acheh, Sarat pula baju jubahnya; Biar bijak jodoh dipilih, Kalau tidak kecewa padahnya. |
Kurik Kundi Merah Saga | Orang berjamu lauknya kari, Nasi ditanak di pangkal sena; Orang berilmu bijak bistari, Bukanlah layak orang yang hina. |
Kurik Kundi Merah Saga | Kumbang berdengung memakan kelicap, Mari diikat benang setuli; Orang Dungun sungguhlah bijak, Pandai sungguh mengambil hati. |
Kurik Kundi Merah Saga | Rumah cengal bertiang berancak, Kayu jelutung si kayu nangka; Orang Jengal sungguhlah bijak, Pandai berpantun pandai berseloka. |
Kurik Kundi Merah Saga | Api-api pangkalan tarap, Pucuk meluncur dari Labuan; Laki-laki jangan diharap, Bijak memujuk si perempuan. |
Kurik Kundi Merah Saga | Gulai umbut pucuk paku, Nasi terletak di muka pintu; Lemah lembut puteri Melayu, Bijak memasak menjahit baju. |
Kurik Kundi Merah Saga | Bunga malai jatuh ke laut, Digulai itik bersama laksa; Apa soal tidak disahut, Sungguhlah bijak belum dewasa. |