Dipterocarpaceae | Dipterocarpaceae | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Famili tumbuhan yang menghasilkan kayu balak yang paling penting dan dominan di Malaysia dan Asia Tenggara. Tumbuhan dalam famili ini menghasilkan isipadu kayu yang paling banyak dan mempunyai nilai dagangan yang paling tinggi di Malaysia, dan hampir kesemua spesies dalam famili ini boleh didagangkan. Kayu ini boleh digolongkan dalam tiga kumpulan, berdasarkan ketumpatan dan ketahanan, iaitu kumpulan kayu ringan, kayu keras sederhana dan kayu keras berat. Contoh kayu keras ringan ialah alan, gerutu, melantai, meranti bakau, meranti merah muda, meranti merah tua, merawan, dan mersawa; contoh kayu sederhana ialah alan batu, kapur, dan keruing; dan contoh kayu keras berat ialah balau, balau merah, cengal, resak, giam, dan penyau. |
Dryobalanops aromatica | kapur barus | Herba | Botani dan Bioteknologi | Tumbuhan jenis pokok dalam famili Dipterocarpaceae. Tumbuhan ini biasanya tumbuh di hutan dipterokarpa tanah pamah dan bukit, kawasan cerun dan lereng bukit. Daunnya jenis ringkas, tersusun berselang dan mempunyai bau kapur. Bunganya kecil berwarna putih dan buahnya jenis kekeras bersayap. Kandungan kimianya ialah borneol, kamfena, kamfor, seskuiterpena dan terpenol. Serbuk kamfor, iaitu damar atau minyak kapur boleh digunakan sebagai ubat sapu pada bisul, sakit sendi, sakit kepala, batuk, lelah, bengkak, luka, kulit melecur, sakit hidung dan buasir. Damarnya dikunyah untuk merawat sakit kerongkong, ulser mulut, sakit hidung, masalah kencing dan mata kabur. Kapur barus juga boleh digunakan dalam pengurusan jenazah. |
cengal | cengal | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Neobalanocarpushemii daripada famili Dipterocarpaceae. Nama lain di semenanjung ialah penak, dan sering disalah anggap sebagai kayu daripada jenis lain, seperti balau, merawan, dan giam. Gubal kayu cengal berwarna kuning muda, dan mudah dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna coklat yang lebih tua apabila terdedah. Tekstur kayunya halus dan sekata dengan ira yang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 915 hingga 9805 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras berat. Kayu cengal mudah diproses dan dikemas siap. Kayu cengal amat tahan dan tidak perlu diawet. Kayu ini maat sesuai untuk semua bentuk binaan berat, alas landasan kereta api, jambatan, dermaga, tiang eletrik, dan perabot kegunaan lasak. |
gerutu | gerutu | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai kayu Parashorea spp. daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Semenanjung ialah meranti gerutu, dan di Sabah ialah seraya putih berat. Spesies utama termasuk Parashorea demsiflora dan P. stellata di Semenanjung, dan P. parrifolia dan P. smythieii di Sabah dan Sarawak. Gubal kayu gerutu berwarna kuning keputihan, dan mudah dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna coklat keemasan, dan yang menjadi lebih gelap apabila terdedah. Tekstur kayunya agak kasar dengan ira yang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 640 hingga 770 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras ringan.kayu ini mudah dikerjakan, kecuali apabila digergaji, dan agak sukar dikeringkan, mudah retak dan rekah, tidak tahan dan sukar diawet. Kayu gerutu sesuai digunakan untuk kerja binaan sederhana dan ringan, dinding dan papan panel, perabot, lantai, venir, papan lapis, dan kotak kayu. |
kapur | kapur | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Dryobalanopsspp. daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Semenanjung keladan, dan di Sarawak ialah kelansau. Spesies utama kayu kapur termasuk Dryobalanos aromatica, D. beccarii, D. lanceolata, dan D. rappa. Gubal kayu kapur berwarna coklat kemerahan. Tekstur kayunya agak kasar dan sekata, dengan ira yang lurus dan agak bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 576 hingga 815 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu yang keras sederhana. Kayu ini kuat, mudah diproses dan dikeringkan, dan mempunyai ketahanan semula jadi yang sederhana. Kayu kapur digunakan untuk kerja binaan berat, tiang, rasuk, lantai kegunaan lasak, alas landasan kereta api, dan papan lapis. |
giam | giam | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Hopea spp. daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Sabah dan Sarawak ialah selangan batu, dan terdapat lebih daripada sembilan spesies utama. Antaranya ialah Hopeaferrea, H. helferi, H. nutans, H. pierrei dan H. semicuneata. Gubal kayu giam amat sukar dibezakan daripada teras kayunya, dan biasanya berwarna kuning dengan sedikit kehijauan apabila segar, dan menjadi coklat merah apabila terdedah. Tekstur kayunya halus dan sederhana halus, dengan ira yang sangat bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 865 hingga 1220 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras berat.Kayu giam agak sukar dikerjakn dan diawet, lambat mengering, mudah retak, dan mempunyai ketahanan semula jadi yang sangat baik. Kayu ini digunakan untuk kerja binaan berat seperti jambatan, tiang, badan lori, dan kayu landasan kereta api. |
keruing | keruing | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Dipterocarpus spp. daripada famili Dipterocarpaceae. Gubal kayu keruing berwarna lebih muda daripada teras kayunya, yang biasanya berwarna merah coklat dan menjadi lebih gelap apabila terdedah. Tekstur kayunya kasar dengan ira yang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 595 hingga 945 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu yang keras sederhana. Sehingga kini terdapat 50 spesies kayu keruing yang sudah direkodkan. Kayu ini dikelaskan kepada dua kumpulan utama, berdasarkan kandungan dan jenis damar dalam kayunya, iaitu keruing berminyak, seperti Dipterocarpus baudii, D. crinitus, dan D. lowii; dan keruing air, seperti D. costatus, D. grandiflorus, dan D. kerri. Kumpulan kayu keruing mempunyai ciri yang berbeza-beza mengikut spesies, dan ini mempengaruhi sifat pemprosesannya. Misalnya, kayu keruing berminyak sukar diproses dan diperekat. Keruing ialah satu daripada spesies kayu dagangan yang utama di Malaysia. Kayu ini sesuai untuk kerja binaan |
merawan | merawan | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Hopea spp. daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Sarawak ialah luis dan meng, dan di Sabah disebut dengan berbagai-bagai nama selangan dan gagil bagi spesies Hopea sagar. Di Sabah kayu merawan sering dijual sebagai selanga batu No. 2 spesies utama, termasuk Hopea becceriana, H. pubescens, dan H. latifolia. Gubal kayu merawan berwarna lebih muda, dan biasanya sukar dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna kuning. Tekstur kayunya halus dengan ira yang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 495 hingga 980 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras sederhana. Kayu ini sukar dikerjakan dan diawet, mengering dengan perlahan, dan mempunyai ketahanan semula jadi yang sederhana. Kayu merawan sesuai untuk kayu alang, lantai, tanggam, perabot, kayu venir, papan lapis. |
mersawa | mersawa | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Anisoptera spp. daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Semenanjung ialah loh, medang sawa, rengkung, sanai, sepah, petri dan terbak, dan di Sabah ialah pengiran. Spesies utamanya termasuk Anisoptera costata, A. corsiti, dan A. laevis. Gubal kayu mersawa sukar dibezakan daripada teras kayunya yang biasanya yang berwarna kuning tua dan menjadi gelap apabila terdedah. Tekstur kayunya agak kasar dan sekata dengan ira yang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 515 hingga 735 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras ringan. Kayu ini sukar dikerjakan kerana mengandungi silika yang boleh menumpulkan mata pemotong, lambat mengering, sederhana tahan, dan sukar diawet. Kayu mersawa banyak digunakan dalam pembuatan venir, papan lapis dan perabot, dan kerja binaan sederhana. |
penyau | penyau | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Upuna borneensis daripada famili Dipterocarpaceae. Nama tempatannya di Sabah ialah upun. Gubal kayu penyau berwarna lebih muda, dan mudah dibezakan daripada teras kayunya yang berwarna coklat tua. Tekstur kayunya kasar tetapi sekata, dengan ira yang lurus atau agak bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 945 hingga 1040 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras berat. Kayu ini mempunyai ketahanan semula jadi yang tinggi, tetapi sukar diawet, dikeringkan dan diproses kerana terlalu keras dan berdamar. Kayu penyau sesuai digunakan dalam kerja binaan berat, pembuatan perabot tahan lasak, dan alas landasan kereta api. |