preruminant animal | haiwan praruminan | Veterinar | Tiada | Anak haiwan ruminan yang baru lahir sehingga berumur beberapa minggu sebelum terbentuknya rumen. Anak haiwan ini perlu diberi makanan yang mudah dicerna kerana perutnya belum boleh menerima bahan yang berserabut tinggi. Susu yang diminum oleh anak haiwan ini akan melalui alur esofagus untuk sampai ke abomasum. Sekiranya dipisahkan daripada ibunya, anak haiwan ini mestilah diberi minuman pengganti susu yang mengandungi bahan yang mudah dicerna seperti susu tepung, glukosa, kanji, dan sumber protein seperti hampas kacang soya dan mil ikan. Apabila rumen terbentuk, alur esofagus ini akan hilang dengan sendiri. Lihat juga ruminan. |
greater amberjack | aji-aji jalur kuning | Perikanan | Tiada | Sejenis ikan pelagik daripada famili Carangidae, genus Seriola dumerili, iaitu sejenis ikan yang berwarna kelabu kebiru-biruan dan keperak-perakan di bahagian bawah perutnya. Terdapat satu jalur gelap dari lubang hidungnya sehingga ke bahagian atas badan ikan ini. Ikan jenis ini hidup di kawasan luar pantai atau laut dalam dan berenang bersama-sama objek terapung atau rumpai laut. Ikan ini digemari oleh kaki pancing kerana sifatnya yang kuat melawan. |
filleting machine | mesin filet | Perikanan | Tiada | Mesin yang digunakan untuk memotong kepingan isi ikan daripada spesies dan julat saiz tertentu dengan cara membuang tulang tengah ikan. Terdapat mesin yang memerlukan ikan dibuang kepala atau perutnya terlebih dahulu dan terdapat juga mesin yang boleh menerima ikan secara utuh. Umumnya, hanya 35% hingga 40% sahaja daripada berat ikan keseluruhan dapat digunakan selepas diproses dengan mesin filet. |
tiger shark | yu tenggiri | Perikanan | Tiada | Ikan yu daripada famili Carcharhinidae, spesies Galeocerdo cuvier, iaitu jenis ikan demersal yang berenang secara tidak berkumpulan. Bahagian atas badan yu tenggiri berwarna biru kehijauan dan bahagian bawah perutnya berwarna putih kekuningan. Kepala ikan ini berbentuk sedikit leper dan mempunyai lima liang insang serta dua sirip dorsal. Yu tenggiri merupakan ikan yu keempat terbesar dalam kelompok ikan yu dan boleh mencapai antara 385 kg hingga 635 kg dan panjang antara 3 m hingga 6 m. Yu tenggiri sangat ganas, berbahaya dan digelar yu pemakan manusia. Ikan ini biasanya terdapat di perairan tropika dan subtropika, kadangkala terdapat juga di perairan tempatan yang dalam, iaitu sehingga 900 meter. Ikan ini boleh ditangkap dengan menggunakan rawai. |
cobia | aruan tasik | Perikanan | Tiada | Sejenis ikan pelagik daripada famili Rachycentridae, spesies Rachycentron canadum, iaitu sejenis ikan yang bermata kecil, berkepala lebar, belakang dan sisi badannya berwarna perang gelap dan terdapat dua jalur berwarna keperak-perakan. Bahagian bawah perutnya berwarna putih cerah. Ikan jenis ini hidup di pelbagai habitat terutamanya di kawasan terumbu karang di perairan yang cetek. Ikan ini gemar memakan ketam, sotong dan ikan-ikan yang kecil. Aruan tasik berpotensi sebagai ikan rekreasi kerana sifatnya yang kuat melawan. Ikan ini boleh ditangkap dengan menggunakan pancing, pukat tunda, rawai dan pukat hanyut. Nama lain bagi ikan ini ialah gabus laut. |
kawakawa | aya kurik | Perikanan | Tiada | Sejenis ikan pelagik daripada famili Scombridae, spesies Euthynnus affinis, iaitu sejenis ikan yang berbentuk bulat, memanjang dan menirus di bahagian belakang badannya. Bahagian belakang badannya berwarna biru kehijau-hijauan, manakala bahagian sisi dan perutnya berwarna putih keabu-abuan. Terdapat garis bercorak belang-belang serong yang beralun di bahagian hujung badan ikan jenis ini. Aya kurik hidup secara berkumpulan di laut lepas dan gemar memakan ikan kecil, sotong dan udang. Tabiat ikan ini suka berkumpul di bawah objek terapung seperti batang kayu, peranti pengumpul ikan atau objek-objek lain. Ikan ini menjadi tumpuan pemancing kerana sifatnya yang suka melawan. Nama lain bagi ikan ini ialah tongkol kurik. |