jongkong | jongkong | Perhutanan | Sains Kayu dan Hasil Hutan | Nama piawai bagi kayu Dactyloclados stenastachys daripada famili Melastomaceae, yang hanya terdapat di Sabah dan Sarawak. Nama tempatannya di Sabah ialah medang tabak, dan di Sarawak merabung. Gubal kayu jongkong sukar dibezakan daripada teras kayunya, yang berwarna coklat muda semasa segar dan berubah menjadi gelap hingga coklat kemerahan apabila terdedah. Tekstur kayunya halus dan sekata dengan ira yang lurus dan kadang-kadang bersimpul. Kayu ini mempunyai nilai ketumpatan keringan udara yang berjulat antara 495 hingga 610 kg/m3, dan tergolong dalam kumpulan kayu keras ringan. Kayu jongkong agak mudah diproses walaupun lambat mengering, dan tidak mempunyai sifat ketahanan semula jadi yang baik. Kayu ini digunakan untuk membuat lantai, dinding, perabot serba guna, dan juga untuk venir dan papan lapis. |