Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions | Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam | Ekonomi | Ekonomi Islam | Badan penyelaras piawaian perakaunan dan pengauditan yang berpusat di Bahrain. Organisasi ini bertujuan mengeluarkan piawaian perakaunan antarabangsa mengikut kerangka syariah untuk diguna pakai oleh institusi kewangan Islam. Organisasi ini dianggotai oleh beberapa ahli sukarela yang mewakili pengguna penyata institusi kewangan Islam, akauntan, jurubank, ahli akademik, ahli syariah dan badan pengawal selia. Organisasi ini dipantau oleh jawatankuasa syariah yang menilai piawaian dan memberi khidmat nasihat yang berkaitan dengan syariah. Singkatan AAOIFI. |
Sheikhdom | negara Syeikh | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pemerintahan sebuah negara secara monarki mutlak oleh dinasti Sheikh dengan kerajaan yang terpusat dari istana. Pemerintahan ini berlangsung secara turun temurun tanpa unsur keterbukaan persaingan. Sheikh yang memerintah serta ahli keluarganya akan mendominasi institusi legislatif, eksekutif dan kehakiman. Mereka mengawal ketat aktiviti politik supaya kedudukan status quo tidak tercabar. Keluarga Sheikh ini juga menguasai ekonomi dan kekayaan negara. Mereka menentukan perancangan ekonomi negara dan membuat segala keputusan penting seperti menentukan belanjawan negara, jenis barangan eksport, penyertaan dalam organisasi antarabangsa dan sebagainya. Perkembangan demokrasi dan unsur-unsur keterbukaan dan sivil seperti kedudukan pilihan raya, pemisahan kuasa, persaingan parti politik dan kedudukan pembangkang serta peranan media dan NGO sangat minimum malah dalam banyak kes tidak wujud langsung. Contoh negara Sheikh ialah Emiriyah Arab Bersatu, Oman, Qatar, Kuwait dan Bahrain. |