aggression | pencerobohan | Sains Politik | Hubungan Antarabangsa | Tindakan serangan secara tidak sah dan tidak bermoral oleh sesebuah negara terhadap negara lain. Campur tangan secara tidak sah menurut norma antarabangsa juga dianggap sebagai tindakan pencerobohan. Perlakuan ini biasanya berbentuk tindakan serangan walaupun kadangkala tindakan ini dilakukan atas dasar mempertahankan diri melalui dasar serangan terlebih dahulu. Bentuk pencerobohan boleh terjadi secara langsung umpamanya serangan Jepun terhadap Pearl Harbour pada tahun 1941. Terdapat juga pencerobohan secara tidak langsung seperti tindakan Amerika Syarikat mengintip melalui kapal terbang U2 terhadap Kesatuan Soviet antara tahun 1955 hingga 1960. Selain itu, pencerobohan juga boleh bersifat bukan ketenteraan. Tindakan ekonomi seperti boikot dan embargo turut tergolong dalam kategori pencerobohan terhadap sesuatu negara. |
image quality indicator (IQI) | petunjuk kualiti imej (IQI) | Teknologi Ujian Tanpa Musnah | Radiografi dan Ultrasonik | Peranti ringkas yang digunakan untuk mengukur kepekaan radiograf. Peranti ini diperbuat daripada bahan yang serupa dengan sampel ujian seperti keluli dan aluminium. Peranti ini diletakkan pada permukaan sampel menghadap sumber sinaran atau menghadap medium pengimejan. Reka bentuk IQI mestilah menurut standard tertentu seperti MS, ASTM, atau ISO. Terdapat dua jenis IQI, iaitu jenis dawai dan jenis lubang. Imej IQI perlu kelihatan pada imej radiografi dan saiz lubang atau dawai yang perlu kelihatan, ditentukan oleh standard ujian yang diterima pakai. IQI jenis lubang keluaran ASTM turut dikenali sebagai penetrameter. |
ad hoc authority | kuasa ad hoc | Pentadbiran | Pentadbiran Awam | Autoriti sementara yang dimiliki oleh individu atau jawatankuasa dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan. Kuasa ad hoc biasanya diberi kepada kumpulan individu yang mempunyai kepakaran tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam sesebuah organisasi, projek atau program. Walaupun kuasa ini bersifat sementara, individu atau jawatankuasa yang memiliki kuasa ini turut terikat dengan peraturan dan undang-undang serta mempunyai had tertentu menurut bidang kuasa yang telah diperuntukkan. Contohnya, Suruhanjaya Diraja yang dilantik khas mempunyai kuasa ad hoc dalam mengendalikan sesuatu kes yang diamanahkan. Apabila kes tersebut selesai, Suruhanjaya Diraja tersebut akan dimansuhkan. |
labour movement | pergerakan buruh | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk oleh golongan buruh bagi memelihara kepentingan mereka khususnya berhubung dengan upah, kebajikan, tempat kerja yang baik serta layanan yang mesra. Pergerakan ini sering membuat tuntutan sama ada kepada majikan mahupun kepada kerajaan, bergantung kepada isu yang dibawa. Pertubuhan yang mantap ini lama-kelamaan telah membuatkan mereka turut peka kepada masalah sosial, ekonomi dan politik negara. Mereka kemudiannya bersifat responsif terhadap perkembangan ekonomi dan politik tanah air dengan menyatakan pendirian mereka atau menuntut kerajaan melakukan sesuatu menurut cadangan mereka. Dalam negara tertentu seperti di India, Amerika Latin dan United Kingdom, pendirian mereka telah terikat dengan ideologi tertentu yang menjadikannya sangat rapat dengan parti politik atau pemerintah. Contoh pergerakan buruh yang aktif di Malaysia ialah CUEPACS dan MTDC. |