| civil disorder | kekacauan awam | Sains Politik | Politik Perbandingan | Keadaan sosial yang tidak aman disebabkan oleh penentangan politik yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam sesebuah negara ekoran daripada rasa tidak puas hati terhadap dasar atau keputusan yang diambil oleh kerajaan. Kebiasaannya kekacauan awam merupakan penentangan politik yang melibatkan kemusnahan harta benda dan gangguan masyarakat seperti pembakaran kenderaan, kedai, bangunan dan dalam keadaan tertentu melibatkan kehilangan nyawa. Dalam erti kata lain, kekacauan awam boleh dilihat sebagai satu bentuk bantahan politik yang bersifat di luar batasan perlembagaan. Contohnya, negara Albania pada tahun 1993 telah mengalami kekacauan awam akibat rusuhan rakyat apabila mengetahui kerajaan telah menggelapkan wang simpanan pekerja untuk kepentingan golongan elit yang memerintah. |
| recession | kemerosotan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Keadaan ekonomi sesebuah negara yang sedang mengalami kemerosotan atau kegawatan. Dalam keadaan ini, pendapatan negara jatuh dengan ketara, tingkat eksport negara merosot, nilai wang jatuh, kadar kemiskinan dan stagflasi bertambah. Aktiviti perniagaan menjadi lemah apabila semakin banyak perniagaan terpaksa ditutup kesan daripada pulangan yang tidak memberangsangkan. Pertambahan bilangan peniaga yang bankrap menyebabkan kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja meningkat. Keadaan ini memberi impak kepada perkembangan politik sesebuah negara. Contohnya, kemelesetan ekonomi Asia pada tahun 1997- 1998 telah mencetuskan krisis politik dalaman negara Indonesia dan Malaysia. Sinonim kemelesetan. |
| capitalism | kapitalisme | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem ekonomi bebas yang membenarkan pemilikan modal dan persaingan tanpa sekatan. Dari segi penggunaannya, konsep ini menghuraikan satu fahaman yang merujuk kepada hak individu atau sesebuah kumpulan untuk menjual dan membeli sesuatu barangan sama ada buruh, tanah dan juga wang dalam pasaran bebas. Fahaman ini berasaskan kepada konsep pasaran bebas atau laissez-faire yang sangat bergantung kepada peraturan pasaran yang ditentukan oleh aktiviti-aktiviti pasaran itu sendiri seperti turun naik harga, spekulasi dan permintaan. Dalam sistem ini, pihak pemeritah hanya berperanan sebagai sebuah institusi yang menyediakan infrastruktur pasaran dan bertindak sebagai pengadil atau kuasa pengimbang sekiranya wujud pertelingkahan atau konflik di kalangan aktor-aktor pasaran. Konsep kapitalisme mula digunakan oleh seorang tokoh pemikir iaitu Thackeray (1854). Karl Marx (1818-1883) pula mentakrifkannya sebagai sistem pengeluaran kapitalis. Dari sudut sejarah, konsep ini mula berkembang dan mantap di Eropah di antara abad |
| election fraud | penipuan pilihan raya | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan penyelewengan yang dibuat dalam pilihan raya untuk mendapatkan kemenangan atau menjatuhkan sesuatu lawan. Penipuan boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti mewujudkan pengundi hantu, penggunaan wang dengan mengupah pegawai pilihan raya atau pembelian undi, penyelewengan dalam senarai pendaftaran, pemaksaan pengundi untuk memilih calon tertentu, pemindahan pengundi dari senarai pendaftaran ke kawasan lain, pengisian kotak undi dengan kertas undi terlebih dahulu sebelum hari pengundian dan penambahan atau pemindaan undi dalam kertas undi pos. Penipuan boleh dibuat oleh mana-mana pihak, namun lebih banyak dilakukan oleh pihak yang menguasai badan yang menjalankan pilihan raya. Contohnya, penggunaan kad pengenalan seorang yang sudah meninggal dunia yang tidak didaftarkan kematiannya untuk mengundi merupakan satu penipuan dalam pilihan raya. |
| tributary state | negeri ufti | Sains Politik | Politik Perbandingan | Negara yang membayar ufti atau sumbangan hadiah kepada sebuah negara lain yang lebih besar kedudukan dan kekuatannya. Ufti ini dibayar sebagai tanda menghormati, mengiktiraf kekuatan, meminta perlindungan dan jaminan supaya tidak diserang. Sumbangan pula boleh berbentuk bayaran wang, emas atau hadiah. Secara amnya, negara ini tidak dijajah secara langsung tetapi tidak juga bebas sepenuhnya kerana negara yang besar tersebut sering mengancam kedudukannya. Contohnya, bunga emas yang dihadiahkan oleh kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada kerajaan Siam pada abad ke-18. |
| national interest | kepentingan nasional | Sains Politik | Politik Perbandingan | Perkara utama yang melibatkan keselamatan, kekuatan ekonomi, tahanan dan pembangunan. Kepentingan ini perlu dipelihara untuk mewujudkan dan membantu pemerintah membentuk sebuah negara yang aman, selamat dan maju. Contohnya, sewaktu krisis kewangan 1997, kerajaan Malaysia mengambil langkah menyekat pengaliran keluar wang negara dalam jumlah yang besar. |
| kulak | kulak | Sains Politik | Politik Perbandingan | Golongan petani kaya yang menguasai perkembangan ekonomi luar bandar pada abad ke-19 di Rusia. Mereka memiliki tanah yang luas dan mengupah petani lain bagi mengerjakan tanah mereka dengan upah yang rendah. Tindakan ini menyebabkan kedudukan mereka dikritik hebat sebagai pemeras, terutamanya oleh parti komunis Rusia pada waktu itu. Selain menjadi tuan tanah, mereka juga menjadi sumber kepada petani bawahan meminjam wang, meminta kerja dan berbagai-bagai bentuk bantuan lain sehingga mereka menjadi golongan penting dalam masyarakat tani Rusia. Keadaan ini tidak banyak berbeza dengan hazienda di Amerika Latin dan zamindar di India. |
| lobbying | melobi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Cubaan individu atau golongan pendesak mempengaruhi keputusan kerajaan sama ada secara memujuk anggota dewan perundangan, kabinet atau pihak tertentu yang membuat keputusan. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti desakan secara langsung, pembujukan kepada wakil rakyat atau menteri, menulis surat, membangkitkan isu tersebut di akhbar, menelefon pegawai yang terlibat dan penggunaan wang supaya desakan mereka diterima. Istilah melobi bermula daripada amalan pembujukan yang dilakukan di bahagian lobi atau ruang anjung dewan sehingga namanya ini kekal digunakan untuk menjelaskan maksud tersebut. Di Amerika Syarikat, golongan pendesak tertentu melaksanakan kajian terperinci mengenai sesuatu isu dan kemudian mendedahkan hasil kajian dan kesan jangka panjangnya kepada wakil rakyat, dan ini boleh mempengaruhi beliau dalam menggubal keputusan. |
| mobocracy | mobokrasi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pemerintahan yang berada dalam keadaan kucar-kacir atau kacau-bilau apabila perusuh menguasai keadaan. Pada masa ini, undang-undang tidak dipatuhi dan masyarakat menjadi kelam-kabut. Keadaan seperti ini berlaku apabila kerajaan telah kehilangan kuasa atau gagal mengawal ketenteraman awam. Institusi pemerintahan seperti polis, tentera, kastam dan imigresen tidak berupaya melaksanakan tugas secara berkesan. Contohnya, Indonesia selepas kejatuhan nilai wang pada tahun 1998 dapat dianggap sebagai mobokrasi. |
| solicitation | pengumpanan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan memujuk untuk menarik perhatian pihak tertentu bagi melakukan sesuatu seperti yang diharapkan oleh pihak yang mengumpan. Tindakan ini boleh dilakukan oleh individu atau satu kelompok terhadap individu lain seperti pemimpin atau badan tertentu. Melalui pengumpanan ini, diharapkan individu yang diumpan terdorong untuk memenuhi kehendak atau melakukan sesuatu pertolongan yang diharapkan oleh pengumpan. Biasanya pengumpanan ini melibatkan ganjaran tertentu yang dijanjikan. Contohnya, wang dan janji pembangunan sering dijadikan umpan untuk mendapatkan undi oleh calon dalam pilihan raya. |