| AI autonomi | autonomous AI | Kecerdasan Buatan | Etika dan Falsafah | Sistem AI yang berupaya membuat keputusan dan melaksanakan tindakan secara sendiri tanpa campur tangan manusia, termasuk keupayaan menilai situasi dan menyesuaikan tindak balasnya secara berterusan. Ciri AI autonomi mengguna pakai AI selamat, AI telus dan AI boleh jelas untuk mencapai tahap autonomi yang sebenarnya. Namun, kebolehan membuat keputusan tanpa campur tangan manusia menimbulkan cabaran etika dan kebertanggungjawaban, khususnya apabila keputusan yang dihasilkan tidak sejajar dengan nilai moral atau sosial. Contohnya, sistem kenderaan swapandu yang memilih untuk mengelak kemalangan dengan mengorbankan pejalan kaki, atau sistem pengesanan pencerobohan rangkaian yang menyesuaikan tindak balasnya secara automatik tanpa semakan manusia. Lihat juga AI telus, AI boleh jelas. |
| mesin pembuat keputusan berbantu AI | AI-assisted decision making machine | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Peranti yang menggunakan sistem AI untuk membuat keputusan. Teknik AI yang digunakan seperti pembelajaran mesin, pengecaman objek, penganalisaan data dan pemprosesan bahasa tabii. Contoh mesin pembuat keputusan berbantu AI termasuk kereta swapandu, ejen maya tempahan, bot sembang dan robot. Lihat juga sistem AI. |
| liabiliti AI | AI liability | Kecerdasan Buatan | Etika dan Falsafah | Nilai tanggungan pengeluar atau pembangun sistem AI terhadap kesan negatif yang timbul akibat penggunaan sistem AI apabila berlaku kerosakan, kecederaan atau risiko atas sebab kegagalan, kecuaian, kurang telus dan kurang boleh jelas. Bagaimanapun pengguna masih tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan sistem AI tersebut dan arahan undang-undang. Sebagai contoh, pada tahun 2023 di Amerika Syarikat, pengguna telah memfailkan saman kepada sebuah syarikat insurans kerana telah menggunakan sistem AI yang gagal mengikut proses semakan doktor seperti yang diwajibkan oleh undang-undang. |
| pemproses AI | AI processor | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Komponen perkakasan khusus yang direka untuk melaksanakan pengkomputeran berkaitan AI dengan cekap, terutamanya dalam aplikasi seperti pembelajaran mendalam, rangkaian neural, pemprosesan bahasa tabii dan penglihatan komputer. Berbanding dengan CPU, pemproses ini direka bentuk khusus untuk mengendalikan pengkomputeran dan alkhwarizmi matematik yang kompleks yang terlibat dalam pembelajaran mesin dan aplikasi AI lain. Pemproses AI juga dikenali sebagai pemproses kecerdasan buatan atau pemecut AI. Contoh pemproses AI ialah Tensor Processing Unit (TPU), GPU (Graphics Processing Unit) dan Neural Processing Unit (NPU). Lihat juga cip AI. |
| platform AI | AI platform | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Teknologi bersepadu yang menghimpunkan alat, kerangka dan perkhidmatan untuk menyokong pembangunan, pemasangan, pengujian dan pengurusan penyelesaian atau model AI. Platform ini lazimnya menyediakan API (Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi) atau SDK (Kit Pembangunan Perisian) bagi membolehkan pembangun menyepadukan keupayaan AI ke dalam aplikasi, produk atau perkhidmatan mereka. Melalui platform sedemikian, pembangun dapat memanfaatkan fungsi AI tanpa perlu membina alkhwarizmi yang kompleks dari awal. Contoh platform AI termasuk Microsoft Azure AI, OpenAI, Google Cloud Vertex AI, watsonx (dahulu IBM Watson), dan Amazon SageMaker. |
| enjin AI | AI engine | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Komponen teras dalam sistem AI yang berfungsi sebagai pelaksana, pengkoordinasi dan bertanggungjawab untuk memproses data serta membuat keputusan. Enjin AI lazimnya terdiri daripada kombinasi alkhwarizmi, struktur data dan kaedah komputeran yang direka untuk melaksanakan pelbagai tugas. Contoh enjin AI yang digunakan secara meluas ialah model GPT untuk pemprosesan bahasa, OpenCV untuk pemprosesan pelihatan dan IBM Watson Visual Recognition untuk pemprosesan model pengelasan imej dan pengecaman objek. |
| ejen AI | AI agent | Kecerdasan Buatan | Penyepaduan dan Interaksi | Perisian yang menggunakan AI untuk memerhati persekitaran, membuat keputusan, dan melaksanakan tugasan secara automatik. Ejen AI boleh belajar daripada data, bertindak sendiri tanpa arahan manusia, dan mencapai matlamat yang ditetapkan melalui keupayaan menaakul, merancang, mengingat, membuat keputusan, belajar dan menyesuaikan diri mengikut perubahan persekitaran. Contoh penggunaan ejen AI termasuk penggunaan ejen perangkak, robot pintar, pembantu peribadi cerdas, dan kereta swapandu. Lihat juga ejen cerdas. |
| ketagihan kuasa AI | AI-powered addiction | Kecerdasan Buatan | Etika dan Falsafah | Keadaan kebergantungan berlebihan seseorang kepada sistem AI, sama ada secara fizikal atau psikologi. Ketagihan ini boleh mengurangkan keupayaan intelektual, kreativiti dan motivasi dalam menyelesaikan masalah atau melaksanakan tugas tanpa bantuan AI. Sebagai contoh, pemandu yang ketagihan kepada sistem perancangan perjalanan AI boleh menjadi terikat kepada teknologi tersebut dan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan tugas tanpa bantuan sistem AI. |
| cip AI | AI chip | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Cip komputer yang direka khusus untuk melaksanakan aplikasi atau alkhwarizmi AI seperti pembelajaran mendalam, pemprosesan bahasa tabii dan penglihatan komputer. Cip AI ini memberikan prestasi yang lebih efisien, pantas, tepat dan fleksibel berbanding cip biasa. Contohnya, cip ini digunakan dalam kenderaan autonomi, model bahasa besar dan robot. Contoh cip AI ialah unit pemproses grafik (GPU), unit pemprosesan neural (NPU) dan litar bersepadu aplikasi khusus (ASIC). |
| sistem AI | AI system | Kecerdasan Buatan | Perkhidmatan | Perisian atau perkakasan yang mengaplikasi kaedah berasaskan AI untuk melaksanakan sesuatu tugas. Contoh kaedah AI termasuk pembelajaran mesin, penaakulan, persepsi, perancangan, pengelompokan dan pemprosesan bahasa tabii. |