| gelintar termaklum | informed search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang meneroka ruang keadaan masalah dengan menggunakan maklumat tambahan seperti nilai jarak antara nod semasa dengan nod gol. Contohnya gelintar terbaik dahulu, gelintar heuristik, dan gelintar jana dan uji. Banding gelintar tak termaklum. |
| gelintar tak termaklum | uninformed search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang meneroka ruang keadaan masalah tanpa maklumat tambahan kecuali maklumat asas seperti nod awal, nod akhir dan tindakan sedia ada. Contohnya gelintar dalam dahulu, gelintaran kelebaran dahulu dan gelintar dwi-arah. Banding gelintar termaklum. |
| gelintar ruang keadaan | state space search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang mencari penyelesaian masalah dengan meneroka semua kemungkinan keadaan yang akan berlaku. Teknik ini bermula dari nod awal dan bergerak melalui keadaan berpotensi sehingga mencapai nod gol. Masalah seperti permainan catur merupakan contoh yang memanfaatkan ruang keadaan, kerana setiap langkah menghasilkan keadaan baharu sehingga mencapai kemenangan. Contoh gelintar ruang keadaan ialah gelintar dwi-arah, gelintar pendakian bukit dan gelintar heuristik. Lihat juga ruang keadaan. |
| gelintar dwi-arah | bidirectional search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang dilakukan secara dua arah, iaitu gelintar ke hadapan dari nod awal ke nod gol dan serentak gelintar ke belakang dari nod gol ke nod awal. Keputusan carian diperoleh apabila kedua-dua gelintaran ini bertemu pada satu nod perantaraan, yang seterusnya membolehkan laluan lengkap dari nod awal ke nod gol dibina. Teknik ini biasanya lebih pantas berbanding gelintaran satu arah dan digunakan dalam sistem navigasi, perancangan laluan dan penentuan laluan terpendek antara dua lokasi dalam peta. |
| gelintar harmoni | harmony search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar metaheuristik yang diinspirasikan daripada proses penggubahan muzik, iaitu pemuzik memilih, mengubah suai atau mencipta nada baharu bagi mencapai keharmonian. Dalam gelintar harmoni, alkhwarizmi meneroka set calon penyelesaian dengan memilih atau mengubah suai calon sedia ada, atau menjana calon baharu secara rawak bagi mendapatkan penyelesaian yang lebih baik. Proses ini diulang sehingga diperoleh penyelesaian optimum. |
| gelintar Tabu | Tabu search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar ini merujuk kepada penyelesaian atau langkah yang telah dicuba dan dilarang digunakan semula. Teknik ini menyimpan penyelesaian yang telah dicuba bagi mengelakkan berlakunya pengulangan yang tidak produktif. Gelintar tabu merupakan sejenis teknik metaheuristik yang digunakan untuk mencari penyelesaian yang optimum bagi masalah yang kompleks. |
| gelintar terbaik dahulu | best-first search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar heuristik yang meneroka graf atau pepohon gelintaran dengan memilih dan mengembangkan nod yang mempunyai nilai heuristik terbaik pada setiap tahap pencarian. Pemilihan ini dibuat berdasarkan fungsi penilaian heuristik yang menganggarkan kedekatan kepada penyelesaian. Gelintar terbaik dahulu berterusan sehingga mencapai penyelesaian optimum bagi masalah tersebut. |
| gelintar jana dan uji | generate and test search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang melibatkan dua langkah utama, iaitu menjana satu set kemungkinan penyelesaian untuk sesuatu masalah, dan kemudian menguji setiap penyelesaian yang dijana bagi menentukan sama ada mencapai nod gol atau tidak. Gelintar jana dan uji lazimnya menggunakan teknik gelintaran kedalaman dahulu dengan pematahbalikan untuk menelusuri ruang keadaan sehingga berjaya mendapatkan nod gol. Contoh masalah yang menggunakan teknik ini seperti menyelesaikan kiub rubik atau meneka kata laluan. |
| gelintar heuristik | heuristic search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar yang meneroka ruang keadaan masalah dengan menggunakan kaedah heuristik, iaitu peraturan anggaran atau nilai anggaran untuk membimbing pencarian ke arah penyelesaian yang lebih cepat dan cekap. Heuristik ini boleh berasaskan pengalaman, kelaziman atau strategi yang memperkirakan jarak, kos atau manfaat sesuatu keadaan. Contohnya, dalam masalah kesesakan lalu lintas, heuristik boleh memandu pemilihan laluan berdasarkan anggaran masa perjalanan melalui lebuh raya atau jalan alternatif. |
| gelintar pendakian bukit | hill climbing search | Kecerdasan Buatan | Perancangan | Teknik gelintar setempat yang menyelesaikan masalah dengan meneroka nod-nod bersebelahan dan memilih nod yang mempunyai nilai terbaik sebelum bergerak ke nod tersebut. Pergerakan ini diulang sehingga mencapai keadaan optimum, menyerupai konsep pendakian bukit dalam proses menaik nilai fungsi objektif. Contoh masalah yang menggunakan teknik ini ialah penjadualan, gerakan robot dan permainan komputer. |