Kurang sisik, tinggal lidi di buku; selidik, tinggal kaji di guru. | Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu, b. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang). sisik = menyisik, membuang sisik; di guru = pada guru. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian. | Murid yang mencontohi kelakuan gurunya terutama dalam hal yang tidak baik. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Guru kencing berdiri, murid kencing berlarian, b. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari). anak sasian = murid. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari. | Murid yang mencontohi kelakuan gurunya terutama dalam hal yang tidak baik. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian, b. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari). | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Guru kencing berdiri, murid kencing berlari. | Murid yang mencontohi kelakuan gurunya terutama dalam hal yang tidak baik. (Peribahasa lain yang sama makna: Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian). | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Kemahiran itu sebaik-baik guru. | Sesuatu pekerjaan akan menjadi sempurna apabila dikerjakan oleh orang yang ahli. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya. | Sukakan kepada sesuatu itu kerana faedah yang dapat diperoleh daripadanya. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Akan mengaji, surat 'lah hilang; akan bertanya, guru 'lah mati. | Dalam keadaan yang serba salah. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Akan surut, air 'lah besar; akan lalu, jalan 'lah semak. | Dalam keadaan yang serba salah. (Peribahasa lain yang sama makna: Akan mengaji, surat 'lah hilang; akan bertanya, guru 'lah mati). surut = undur. | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagu. | Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan, b. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru, c. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang). | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |
Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. | Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu, b. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru). | Kamus Istimewa Peribahasa Melayu |