thermal scanner | pengimbas haba | Kesihatan Awam | Tiada | Alat yang digunakan untuk mengesan suhu badan individu sama ada berada dalam keadaan normal atau menunjukkan gejala jangkitan virus, seperti demam. |
black power | kuasa kulit hitam | Sains Politik | Politik Perbandingan | Slogan yang menjelaskan tentang aspirasi masyarakat kulit hitam keturunan Afrika sama ada yang berada di Afrika atau di luar Afrika berhubung dengan persoalan kemandirian kebangsaan. Slogan ini menghuraikan kesedaran bersama secara positif di kalangan masyarakat berkulit hitam. Slogan ini juga menyeru semua masyarakat kulit hitam ulltuk mewujudkan satu identiti sepunya di kalangan mereka sebagai satu kelompok etnik, menegakkan budaya kulit hitam dan bekerjasama secara kolektif ke arah yang lebih progresif. Dari segi sejarah, slogan ini dipopularkan oleh seorang pejuang kulit hitam di Amerika Syarikat iaitu, Willie Ricks (sekarang lebih popular dengan panggilan Mukasa) di sekitar tahun 1960-an. Beliau merupakan ahli Parti Sosialis Masyarakat Afrika di Amerika Syarikat. Antara tokoh lain ialah Muhammad Ali, Martin Luther King dan Malcolm X. |
redundancy | kelewahan | Sains Nuklear | Kejuruteraan Reaktor | Pendekatan dalam mereka bentuk reaktor nuklear yang menentukan struktur, sistem dan komponen dengan dua atau lebih set yang berbeza dan berasingan, yang setiap satunya berkeupayaan melaksanakan fungsi yang sama untuk memastikan ada set yang berada pada status tunggu sedia. |
sensory deprivation | deprivasi deria | Psikologi | Tiada | Proses untuk mengurangkan rangsangan sama ada untuk mengurangkan tekanan atau mengenakan dendaan. Pada tahap awal percubaan kaedah deprivasi deria, individu akan berasa tidak selesa sehingga tidak mampu bertahan seperti berada di bilik kedap rangsangan. Mereka yang terlibat akan melaporkan pelbagai imaginasi dan kejadian ganjil yang dialami. Walau bagaimanapun, apabila kaedah ini dikawal, individu akan menikmati keindahan tanpa rangsangan sehingga mampu berasa tenang. Oleh sebab otak memerlukan rangsangan dari semasa ke semasa, deprivasi deria secara berpanjangan boleh menjadi satu penyiksaan atau hukuman seperti yang dialami oleh tahanan perang. |
unemployment benefit | bantuan penangguran | Ekonomi | Tiada | Bantuan kewangan yang diberi kepada penganggur sama ada yang belum pernah bekerja atau yang diberhentikan. Bantuan pengangguran ini merupakan satu bentuk bayaran pindahan. Tujuannya adalah untuk memastikan pendapatan pengangguran tidak berada di bawah paras cukup hidup. Sinonim pampasan pengangguran. |
fantastic | fantastik | Kesusasteraan | Tiada | Keadaan atau sifat fiksyen yang mencampuradukkan dunia nyata dengan dunia khayalan. Pembaca, pencerita, dan protagonis berasa tercabar untuk membezakan sempadan antara kedua-duanya. Todorov yang menulis buku bertajuk The Fantastic (1973) berpendapat bahawa naratif fantastik melibatkan pembaca yang berada dalam ketidaktentuan, sama ada mereka memilih penerangan ghaib seperti dalam cerita Marvellous atau penerangan psikologikal seperti dalam cerita Uncanny. Kesusasteraan fantastik berkembang maju pada abad ke-19, khususnya melalui cerita-cerita hantu karya Henry James dalam The Turn of the Screw (1898). |
primitive communism | komunisme primitif | Sains Politik | Politik Perbandingan | Bentuk sistem ekonomi lampau sebelum zaman hamba abdi seperti yang terdapat dalam sejarah materialisme Karl Marx. Sistem ini melihat ekonomi masyarakat masih berada dalam bentuk tribal dan egalitarian dengan aktiviti ekonomi masih bersifat alamiah. Pada masa itu, tidak ada badan pemerintah dan juga badan khusus yang menguruskan pasaran tidak ada sistem pertukaran barang dan seluruh anggota masyarakat bekerjasama mencari keperluan asasi tanpa kepentingan persendirian. Menurut Marx, masyarakat dilihat berubah daripada tahap ini kepada bersifat perhambaan dan menuju kepada sifat feudalisme, kapitalisme, sosialisme dan komunisme. Sinonim komunisme kuno. |
feudalism | feudalisme | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem masyarakat yang didominasi oleh golongan diraja dan bangsawan dengan golongan rakyatnya berada dalam kedudukan bawah, lemah serta menjadi subjek kepada raja. Dalam sistem ini, raja memiliki kuasa yang tinggi dan memerintah tanpa batasan serta dibantu oleh golongan pembesar atau bangsawan yang memiliki kedudukan tinggi dalam masyarakat. Kekuasaan pemerintah tertumpu pada istana dan tidak ada suatu badan yang memeriksa kedudukan kuasa raja ini. Dengan itu, raja bebas memerintah menurut budi bicara sendiri dan hanya mendengar nasihat daripada pembantunya. Dalam sistem ini, peralihan kuasa berasaskan keturunan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Rakyat di bawah pemerintahan ini mengerjakan tanah raja atau menyewa tanah pembesar untuk menyara hidup. Fahaman ini mementingkan kedudukan hierarki, unsur setia dan daulat antara pemerintah dengan rakyat. Contohnya, sistem Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14 jelas mengamalkan sistem feudalisme. |
aphotic zone | zon afotik | Sains Marin | Tiada | Bahagian atau zon kedalaman lautan yang tidak menerima cahaya matahari langsung, atau hanya menerima sedikit cahaya (< 1%). Zon afotik berada di bawah dari zon fotik dan mengunjur ke bawah sehingga ke dasar lautan. Disebabkan ketiadaan cahaya, bioluminasi adalah satu-satunya sumber cahaya yang ada, dan digunakan oleh sebahagian organisma untuk mencari makanan, sebagai perlindungan dan untuk berinteraksi sesama spesies. Organisma yang agak pelik dan unik seperti sotong gergasi, isopod gergasi, ikan pemancing (Angler fish) sotong vampir dan sebagainya mendiami zon ini. |
territorial principality | wilayah raja | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kawasan yang dikuasai oleh raja atau kerabat diraja. Wilayah seperti ini terdapat dalam masyarakat yang masih memiliki unsur feudal yang kuat dan meletakkan kedudukan raja berkuasa ke atas tanah yang ada dalam negara tersebut. Wilayah raja ini boleh berada berdekatan dengan istana atau terpencil jauh dari pusat pentadbiran serta terbiar. Orang ramai tidak dibenarkan memiliki tanah tersebut tetapi dibenarkan mengusahakannya dengan membayar cukai kepada raja atau menyewa tanah tersebut. Wilayah ini sering menimbulkan konflik di kalangan kerabat diraja akibat perebutan wilayah yang melibatkan tuntutan pusaka dan pengutipan cukai. Contohnya, wilayah raja masih terdapat di negara Indonesia, India dan Nigeria. |