human rights | hak asasi manusia | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hak atau kebebasan yang wajib dimiliki oleh individu seperti kebebasan bersuara, bergerak, berorganisasi dan memilih kerajaan. Hak ini memberi kebebasan kepada individu untuk melakukan sebarang aktiviti yang tidak melampaui batasan perlembagaan dan membahayakan keselamatan. Hak ini juga merupakan ciri asas dalam sistem pemerintahan demokrasi dan perlu dihormati oleh setiap individu. Hak asasi manusia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti yang diisytiharkan dalam Universal Declaration of Human Rights di Vienna pada tahun 1948. Contohnya, seorang yang dituduh melakukan kesalahan mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya di mahkamah dan beliau juga berhak mendapatkan khidmat peguam yang dipilih sendiri. Sinonim hak-hak asasi. |
dictator | diktator | Sains Politik | Politik Perbandingan | Seseorang yang memiliki kuasa mutlak dan memerintah secara kuku besi. Pemerintah kejam ini sentiasa menafikan hak politik masyarakat seperti kebebasan mengundi, hak untuk bersuara, berorganisasi, berkumpul dan sebagainya. Setiap keputusan politik ditentukan oleh beliau tanpa diperiksa oleh pihak lain. Seorang diktator biasanya memerintah dengan sokongan agensi pemerintahan seperti tentera, polis, perkhidmatan awam dan mahkamah. Undang-undang yang diamalkan di bawah pemerintahan diktator bersifat tegar, berat sebelah dan tidak demokratik. Diktator juga akan menghukum secara sewenang-wenangnya penentang politik yang mencabar kuasa beliau. Contohnya, Jeneral Pinochet sewaktu memerintah Chile pada tahun 1 970-an. |
civil liberties | kebebasan awam | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kebebasan orang ramai dalam melakukan sesuatu tanpa melampaui batas perlembagaan. Kebebasan ini merupakan hak individu dalam sesebuah negara yang merdeka. Hak ini amat bernilai bagi memastikan sesebuah sistem politik itu berkembang dan berfungsi, khususnya dalam sistem politik demokrasi. Kebebasan awam merangkumi pelbagai bidang seperti kebebasan bersuara, beragama, mengeluarkan pendapat, bergerak, berorganisasi dan mendapat pengadilan yang saksama. Bagi sesetengah negara, kebebasan awam dinyatakan secara bertulis dalam perlembagaan namun terdapat juga negara yang tidak menyatakannya secara bertulis. Hak ini amat penting bagi melindungi rakyat daripada sebarang tindakan kekerasan atau tidak berperikemanusiaan oleh mana-mana golongan ataupun kerajaan. |
democratization | pendemokrasian | Sains Politik | Politik Perbandingan | Proses menjadikan pemerintahan atau pentadbiran kepada lebih demokrasi yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial. Dalam konteks politik, proses ini merupakan usaha untuk menambah dan memperbaik ciri-ciri demokrasi dalam sistem politik. Proses ini lazimnya dicetuskan oleh organisasi sivil yang menuntut pemerintah supaya menjadi lebih demokrasi seperti membenarkan pembentukan parti politik selain daripada parti pemerintah, membenarkan rakyat berorganisasi, menegur kerajaan yang mengamalkan penyelewengan dan menuntut pemerintah memberi ruang bersuara kepada rakyat. Konsep ini mula diperkenalkan oleh John Bryce pada tahun 1886. |