city state | negara kota | Sains Politik | Politik Perbandingan | Negara yang bersifat bandar dan mempunyai kerajaan sendiri dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran. Konsep ini berkembang pada zaman tamadun Greek sehinggalah kepada era kemunculan empayar Roman. Pada era itu, wujud beberapa negara kota yang dikenali sebagai Polis. Setiap Polis bertanggungjawab terhadap urusan hal ehwal dalaman dan juga luaran masing-masing serta mempunyai angkatan pertahanan sendiri. Majoriti masyarakat yang tinggal di negara kota mendiami kawasan pedalaman, tetapi tidak jauh dari kawasan pusat pentadbiran yang dikenali sebagai pusat sivik yang mempunyai kemudahan seperti pasar, gymnasium dan juga taman rekreasi. Struktur masyarakat negara kota terbahagi kepada beberapa lapisan yang terdiri daripada golongan pemerintah, intelektual, perwira dan juga hamba. Taraf kewarganegaraan di setiap negara kota ditentukan melalui tempat kelahiran seseorang. Selain itu, setiap negara kota juga mempunyai amalan kepercayaan, budaya dan adat masing-masing. Contoh negara kota yang pernah wujud pada zaman Greek ialah negara kota Sparta dan Athens. |
church-state relations | hubungan agama-negara | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hubungan saling berkait antara agama dengan urusan kenegaraan. Hubungan saling berkait ini mula berkembang di Eropah pada akhir abad ke-16 apabila agama atau gereja menjadi semakin mantap di kalangan masyarakat Eropah, khususnya di kebanyakan wilayah bekas takluk empayar Roman. Gereja melalui Pope, iaitu ketua agama Kristian mendakwa bahawa dia merupakan wakil tuhan di muka bumi. Beliau juga mengetahui semua perkara yang terbaik untuk masyarakat. Dengan itu, Pope mempunyai hak untuk turut terlibat dalam pemerintahan. Dalam hal ini, pihak gereja cuba untuk mempengaruhi pemikiran rakyat bahawa agama dan negara merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Justeru, agama perlu diberi peranan yang penting dalam menentukan hala tuju pengurusan negara. Pemikiran ini telah menimbulkan konflik di antara gereja dengan institusi negara yang bersifat monarki. Hal ini telah menimbulkan perdebatan antara mereka berhubung dengan bentuk hubungan agama negara yang sepatutnya dipraktikkan. |
orientalism | orientalisme | Kesusasteraan | Tiada | Konsep dunia Timur seperti yang dirakamkan, digambarkan, dibayangkan dan diciptakan oleh Eropah dan dunia Barat. Dalam bidang sastera, orientalisme merujuk kepada wacana Barat mengenai Timur dalam pelbagai disiplin teks sebagai usaha Barat untuk memberikan penerangan dan interpretasi mereka terhadap konsep �Timur� bikinannya sendiri. Di sebalik usaha ini, Barat ingin menguasai kawasan geografi yang luas dan kompleks ini melalui ilmu epistemologi. Strategi penguasaan melalui wacana ini dibongkar dan dianalisis oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism (1978) yang dianggap titik permulaan kaedah kritikan pascakolonial. Walau bagaimanapun, orientalisme dalam bentuk wacana bermula pada Zaman Pertengahan melalui teks kembara (Travel Writings) yang menimbulkan minat Barat terhadap Timur. Keadaan ini diikuti oleh fenomena perkembangan empayar Islam pada kurun ke-17 dan ke -18 yang membawa pelbagai cerita, antaranya Hikayat Seribu Satu Malam dari Timur Tengah. Kemuncak orientalisme pada kurun ke-19 dan ke-20 berlaku pada zaman Imperialisme Eropah terutamanya dalam era empayar British. Wacana orientalisme biasanya mengandungi prejudis dan sikap bongkak Barat terhadap Timur. Wacana ini mempamerkan sentimen perkauman yang tebal dan anggapan tidak berasas atau terlampau umum dan menyeluruh. Oleh sebabv �ilmu� mengenai Timur ini disokong oleh jentera dan prasarana Barat, maka hal tersebut dianggap mempunyai kesahihan. |
commonwealth | Komanwel | Sains Politik | Politik Perbandingan | Perikatan negara merdeka yang terbentuk secara sukarela untuk melindungi kepentingan masing-masing atau melambangkan identiti politik tertentu yang sepunya di kalangan mereka. Ahli falsafah politik, Thomas Hobbes mentakrifkan konsep ini sebagai aksi kerjasama beberapa golongan masyarakat atau negara untuk melindungi nilai tertentu yang dikongsi bersama. Misalnya Poland dan Lithuania pernah mewujudkan Komanwel pada tahun 1569 bagi melindungi kedua-dua negara tersebut daripada ancaman Rusia dan juga Empayar Ottoman. Dalam konteks moden hari ini, Komanwel lebih merujuk kepada kesatuan sukarela atau kerjasama yang terbentuk di kalangan negara bekas tanah jajahan British. Terdapat dua jenis Komanwel iaitu Komanwel Lama yang terdiri daripada negara tanah jajahan British yang bersifat penempatan baru dan kemudiannya memperoleh kemerdekaan seperti New Zealand, Australia dan Kanada. Komanwel Lama juga terbentuk selepas Perang Dunia Pertama berakhir. Komanwel Baru pula ialah negara bekas tanah jajahan British yang memperoleh taraf kemerdekaan secara gerakan nasionalis seperti Malaysia, India, Jamaica, Kenya dan Nigeria. |