literary epic | epik sastera | Kesusasteraan | Tiada | Naratif panjang yang menceritakan kebaktian seseorang tokoh yang bersifat kewiraan. Epik sastera dikarang dengan baik dan rapi menggunakan teknik serta gaya epik. Biasanya, epik tulisan mempunyai nilai seni yang lebih tinggi dan sempurna berbanding epik rakyat kerana epik ini berbentuk tulisan. Epik sastera memperlihatkan semua konvensi dan ciri-ciri epik dan ditulis untuk tujuan bacaan dan bukannya disampaikan secara lisan. Karya bertajuk Divine Comedy oleh Danie and Aeneid oleh Virgil ialah contoh epik bertulis dari Barat. Dalam dunia Melayu, Hikayat Hang Tuah ialah satu-satunya epik Melayu yang bertulis walaupun tidak diketahui pengarangnya. Contoh epik lain yang bertulis ialah Hikayat Pocut Muhammad, sebuah epik Aceh yang ditulis oleh Teungku Lam Rukam. Epik sastera dikenali juga sebagai epik tulisan atau epik sekunder. |
epic | epik | Kesusasteraan | Tiada | Naratif yang mengisahkan pengembaraan atau kepahlawanan tokoh penting dalam sejarah atau tokoh yang menjadi legenda sesuatu bangsa atau sesebuah negara. Biasanya, kisah epik berkisar tentang seorang tokoh yang wujud dalam sejarah, legenda atau kepercayaan masyarakat setempat. Kisah pengembaraan dan wira pula meliputi alam nyata dan alam kayangan, melibatkan manusia dewa, peristiwa logik dan fantasi dan sebagainya. Biasanya, epik wujud dalam bentuk puisi dan prosa yang panjang dengan penampilan nilai konvensi, estetik, dan mutu kepengarangan yang tinggi. Terdapat dua jenis epik. Pertama, epik rakyat (epik tradisional/epik primer), iaitu epik yang wujud dalam masyarakat lisan dengan pengarang yang tidak diketahui namanya. Epik berkenaan banyak bersumberkan unsur mitos dan legenda yang wujud dalam tradisi kepercayaan masyarakat tersebut. Kedua, epik seni (epik sekunder), iaitu epik yang muncul dalam budaya tulisan dan kebanyakannya dihasilkan oleh pengarang yang terkenal. Antaranya ialah Iliad dan Odyssey oleh Homer (Yunani). Contohnya, dalam karya berjudul Iliad, terdapat kisah wira Yunani bernama Achilles, anak kepada Nereid yang berperang dalam Peperangan Trojan. Dalam karya berjudul Paradise Lost oleh Milton (Inggeris) pula, terdapat kisah kekalahan dan kejatuhan manusia. Contoh karya epik Parsi ialah Shah-nama oleh Firdawsi. Antara karya epik seni yang penting dalam kesusasteraan Melayu ialah Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Hang Tuah. Lihat juga epik rakyat, epik seni. |
folk epic | epik rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Naratif lisan yang dipersembahkan di hadapan khalayak. Sama seperti karya lisan yang lain, epik rakyat tidak mempunyai pengarang yang jelas, dan menjadi sebahagian daripada tradisi rakyat yang disebarkan secara lisan. Kebanyakan epik rakyat disampaikan dalam bentuk puisi atau separa puisi. Biasanya, epik rakyat yang popular dipertingkatkan dan diperhalus menjadi epik tulisan. Contohnya, Epik Ramayana dan Mahabharata bermula sebagai epik rakyat yang kemudian digubah menjadi karya bertulis. Gilgamesh di Asia Barat dan Beowulf di Eropah ialah contoh epik rakyat yang terkenal. Dalam tradisi Melayu, Cerita Maharaja Wana yang menjadi repertoir dalam wayang kulit Siam di Kelantan ialah contoh epik rakyat yang baik. Epik rakyat dikenali juga sebagai epik primer atau epik primitif. |
epic simile | simile epik | Kesusasteraan | Tiada | Susunan simile panjang yang terdapat dalam karya epik. Simile epik berperanan sebagai suatu cara pencerita atau pengarang membuat perbandingan tentang sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan menarik. Perbandingan dibuat biasanya merujuk kepada perkara yang terdapat di dalam dan di luar karya epik, khususnya yang berkaitan dengan peristiwa, sejarah, amalan atau tatacara hidup masyarakat yang telah diketahui umum. Sinonim simile homerik. |
art epic | epik seni | Kesusasteraan | Tiada | Naratif yang mempunyai nilai konvensi dan estetik yang tinggi dan dihasilkan oleh pengarang yang terkenal dengan ketinggian mutu dan daya ciptanya, Naratif epik yang dihasilkan benar-benar memperlihatkan ketinggian nilai dari segi penciptaan karya serta diakui sebagai karya seni yang bermutu. Dari aspek isi, epik seni memaparkan unsur-unsur pemikiran, sejarah dan tamadun budaya sesuatu bangsa. Epik ini mampu menarik perhatian dan dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah dalam kalangan intelektual. Dari aspek seni sastera, epik seni menampilkan ketinggian nilai daya cipta dan kehalusan pengucapan seni, khususnya dari segi penggunaan bahasa. Hal ini berbeza dengan epik rakyat yang lebih bersifat popular dan dicipta untuk tatapan khalayak atau rakyat biasa. Contoh epik seni dalam kesusasteraan Inggeris dapat dilihat dalam karya Milton berjudul Paradise Lost. Lihat juga epik rakyat, epik sastera. |
mock epic | epik olokan | Kesusasteraan | Tiada | Naratif panjang tentang sesuatu tajuk yang ringan dan remeh tetapi disampaikan dengan gaya epik mengikuti konvensi tersebut. Tujuannya untuk mempersendakan atau menyindir sesuatu subjek dengan gaya penyampaian yang terhormat. Dalam epik olokan, sering terdapat dialog yang membicarakan hal dan perkara yang remeh-temah dengan serius. Biasanya, karya dalam epik olokan hampir menyamai bentuk epik wira yang menimbulkan kesan lucu dan absurd. Contohnya karya Pope berjudul The Rape of the Lock, merupakan contoh yang baik bagi menggambarkan situasi ini. Karya seperti ini membangkitkan persengketaan keluarga yang sengit yang dicetuskan oleh suatu peristiwa remeh, iaitu kisah pemotongan segumpal rambut seorang gadis yang bernama Arabella Fermor. Bentuk yang hampir sama ditemui dalam wiraan olakan. Lihat juga burlesque, satira. |
epic drama | drama epik | Kesusasteraan | Tiada | Drama yang mengandungi siri atau episod yang dibuat secara mudah, bertujuan untuk mengingatkan para penonton agar tidak leka dengan mainan perasaan masing-masing. Drama epik biasanya berkisar tentang cerita kepahlawanan atau perjuangan. Contohnya, drama epik berjudul Warkah Terakhir oleh Wan Asliza. Dalam epik merupakan suatu kaedah penulisan drama yang diperkenalkan di Jerman oleh Erwin Piscator dan Bertolt Brecht sekitar tahun 1920-an. Lihat juga kesan keterasingan, teater epik. |
epic fantacy | fantasi epik | Kesusasteraan | Tiada | Karya fantasi yang memiliki ciri-ciri umum karya epik. Antara ciri-ciri tersebut termasuklah gambaran kehebatan wira yang luar biasa, latar yang luas tanpa batasan, unsur kayangan, kedewaan dan sebagainya. Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, unsur-unsur fantasi epik banyak ditemui dalam karya hikayat penglipur lara yang menceritakan kegagahan dan pengembaraan wira yang luar biasa. Contohnya, Hikayat Bayan Budiman. |
epic fiction | fiksyen epik | Kesusasteraan | Tiada | Fiksyen yang dicipta tanpa hubung kait dengan unsur mitos, legenda, kepercayaan atau sejarah silam sesuatu masyarakat. Fiksyen epik wujud pada zaman moden dan dihasilkan oleh pengarang moden. Pembentukan watak dan plot cerita merupakan hasil kreativiti pengarang yang memperoleh ilham daripada pengalaman sejarah yang sebenar. Salah satu karya fiksyen epik yang penting ialah War and Peace (1963 � 1869) karya Leo Tolstoy. Karya ini menceritakan kisah peperangan antara Rusia dengan Perancis. |
epic question | soalan epik | Kesusasteraan | Tiada | Teknik yang digunakan oleh penyair epik untuk memohon bantuan daripada dewi ilham atau kuasa yang lebih tinggi bagi membantu menjelaskan sesuatu yang sedang terjadi dalam cerita. Contohnya, penulis Milton banyak menggunakan teknik ini pada permulaan bukunya berjudul Paradise Lost, jilid I, VII dan IV. |