nobility | kebangsawanan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kedudukan tertinggi sekumpulan masyarakat khususnya dalam masyarakat feudal. Golongan ini berkedudukan hampir dengan raja atau pemerintah, mendapat penghormatan daripada orang ramai, memiliki kedudukan ekonomi yang baik dan berupaya mempengaruhi kuasa politik di wilayah yang diwakilinya atau tempat asal kedatangannya. Nilai budaya ini selalu dikaitkan dengan tingkah laku yang tertib dan teratur, kemewahan dan kecantikan, penuh dengan bintang dan gelaran, sensitif dengan protokol dan dihormati oleh orang ramai. Contohnya, golongan bangsawan Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka atau golongan bangsawan Inggeris yang dikaitkan dengan golongan Lord pada abad ke-18, 19 dan awal abad ke-20. |
territorial principality | wilayah raja | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kawasan yang dikuasai oleh raja atau kerabat diraja. Wilayah seperti ini terdapat dalam masyarakat yang masih memiliki unsur feudal yang kuat dan meletakkan kedudukan raja berkuasa ke atas tanah yang ada dalam negara tersebut. Wilayah raja ini boleh berada berdekatan dengan istana atau terpencil jauh dari pusat pentadbiran serta terbiar. Orang ramai tidak dibenarkan memiliki tanah tersebut tetapi dibenarkan mengusahakannya dengan membayar cukai kepada raja atau menyewa tanah tersebut. Wilayah ini sering menimbulkan konflik di kalangan kerabat diraja akibat perebutan wilayah yang melibatkan tuntutan pusaka dan pengutipan cukai. Contohnya, wilayah raja masih terdapat di negara Indonesia, India dan Nigeria. |
allegiance | kesetiaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kepatuhan atau taat setia oleh rakyat, pengikut atau penyokong terhadap pemerintah, ketua atau pemimpin masyarakat. Nilai ini bertunjang kuat dalam masyarakat feudal. Kepatuhan atau taat setia ini lazimnya bersifat tidak berbelah bahagi seperti yang terdapat dalam amalan penaung-dinaung. Asas kepada kesetiaan ini ialah kepentingan yang dimiliki oleh kedua-dua pihak. Contohnya, nilai kesetiaan rakyat terhadap pemerintah atau sultan seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu. |
state building | pembinaan negara | Sains Politik | Politik Perbandingan | Proses membentuk satu sistem pemerintahan yang lebih baik dan mantap. Proses ini melalui beberapa tahap yang tertentu seperti tahap primitif kepada tahap feudal kemudian beralih ke tahap moden. Pada tahap primitif, pembinaan negara ditentukan oleh kekuatan fizikal iaitu yang kuat akan menguasai yang lemah. Apabila semakin banyak perubahan berlaku, pemerintahan menjadi semakin tersusun seperti bersifat monarki atau dinasti yang berkuasa. Peningkatan dalam kesedaran dan pemikiran rasional dalam masyarakat telah mendorong kepada kemunculan negara moden seperti republik. Sehingga kini, sistem pemerintahan negara terus berkembang dan wujud dalam pelbagai bentuk seperti demokrasi, komunis, monarki moden dan fasis. |
agrarian movement | Gerakan agraria | Sains Politik | Politik Perbandingan | Gerakan sosial yang dipelopori oleh kelas petani dalam sesebuah masyarakat. Gerakan ini dibentuk untuk membela nasib golongan petani yang ditindas oleh golongan tuan tanah atau golongan feudal. Gerakan ini amat popular pada pertengahan abad ke-20 di Amerika Latin, Afrika dan Asia seperti di China. Pada tahun 1935, gerakan agraria yang muncul di Amerika Latin adalah untuk menuntut supaya golongan tuan tanah dan pihak pemerintah menaikkan kadar upah di ladang serta memberi hak milik tanah kepada mereka. |
aristocrat | golongan bangsawan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Golongan atasan yang menguasai pemerintahan sesebuah negara dan mempunyai kekayaan serta kedudukan ekonomi yang kuat. Golongan ini biasanya mempunyai pengikut yang besar dan setia serta banyak terdapat pada zaman feudal dan masih kekal sehingga sekarang. Walaupun begitu, pada masa kini golongan ini tidak lagi menguasai atau mendominasi politik dan ekonomi. Istilah aristokrat pula berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud sistem pemerintahan yang dikuasai oleh golongan yang terbaik. Contohnya, golongan Haciendas di Amerika Latin pada abad ke-l8 dan Lord atau Baron di England pada abad ke-15. Sinonim golongan aristokrat. |
pre-colonial society | masyarakat prakolonial | Sains Politik | Politik Perbandingan | Masyarakat negara sedang membangun yang wujud sebelum kedatangan penjajah. Masyarakat ini bersifat agraria, tertutup dan tidak terdedah kepada unsur kapitalisme dan perindustrian. Budaya politik masyarakat ini bersifat feudal dengan pemerintahan negara dikuasai oleh institusi monarki. Ekononi masyarakat ini masih bersifat sara diri dan hubungan antara anggota masyarakat masih bersifat egalitarian. Struktur sosial masyarakat ini adalah ringkas, homogen dan belum wujud imigrasi yang ketara. Penghijrahan dalaman masih terbatas, tahap pendidikan dan teknologi dalam masyarakat ini juga masih rendah. Contohnya, masyarakat Melayu Melaka sebelum kedatangan Portugis. |
class conflict | konflik kelas | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hubungan antara dua kelas sosial yang diwarnai dengan unsur antagonistik dan ketegangan dalam sesebuah masyarakat. Pertentangan ini tercetus disebabkan oleh faktor ketidakseimbangan politik, ekonomi dan sosial. Dalam konteks sejarah, konflik kelas dilihat sebagai unsur utama yang melahirkan perubahan dan perkembangan sistem sosial, misalnya daripada sistem feudal kepada sistem kapitalis iaitu manifestasi persaingan antara aristokrat dengan pemodal. Pertentangan kelas dalam masyarakat biasanya ditonjolkan dalam kehidupan seharian khususnya dalam politik. Ketegangan ini dimanifestasikan dalam pelbagai tindakan antaranya bersifat ganas dan berpanjangan seperti yang berlaku dalam Peperangan Daerah Johnson di Wyoming, Amerika Syarikat pada abad ke-19, bersifat tersembunyi seperti yang berlaku dalam produksi perkilangan antara pekerja dengan majikan atau dalam pertentangan yang bersifat kepartian seperti Parti Buruh dengan Parti Konservatif. Sinonim pertentangan kelas. |
hierarchy | hierarki | Sains Politik | Politik Perbandingan | Klasifikasi kelompok berasaskan kebolehan, kedudukan ekonomi, politik, profesional atau sosial yang disusun dalam bentuk vertikal iaitu dari atas ke bawah. Kedudukan hierarki atas melambangkan kuasa dan kedudukan yang lebih baik, superior, berautoriti atau lebih kuat sementara kedudukan hierarki bawah melambangkan golongan yang lebih lemah, subordinat dan menjadi subjek kepada yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, pada masa kini sifat hierarki adalah dinamik, tidak seperti pada zaman feudal. Mobiliti sosial yang berlaku membolehkan seseorang mencapai kedudukan hierarki yang lebih baik. Contohnya, hierarki atas dan bawah dalam organisasi polis antara Ketua Polis Negara dengan konstabel. |
one-way communication | hubungan sehala | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hubungan antara dua pihak yang bersifat satu hala sahaja. Dalam hubungan ini, pihak yang kuat menguasai pihak yang lemah dengan memberi arahan, memastikan arahannya dipatuhi dan mengenakan hukuman sekiranya wujud keingkaran. Hal ini berbeza dengan hubungan dua hala yang lebih seimbang. Contohnya, hubungan sehala antara raja dengan petani pada zaman feudal. Sinonim komunikasi sehala. |