tantra | tantra | Kesusasteraan | Tiada | Penulisan keagamaan Hindu atau Buddha yang membicarakan perkara mistik dan magis. |
incantation | mantera | Kesusasteraan | Tiada | Puisi Melayu tradisional yang longgar bentuknya dan tidak tetap panjangnya. Apabila diucapkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib atau magis yang dimanfaatkan untuk tujuan pembomohan dan pensihiran. Mantera merupakan rumus suci Hindu yang mempunyai ungkapan mistik dan disampaikan kepada dewa. Mantera dikenali juga sebagai formula magis, jampi atau sihir. Mantera merupakan bentuk puisi terawal yang dicipta oleh manusia. Penghasilan mantera berupa gugus-gugus perkataan yang dipilih dan distrukturkan dengan tujuan asalnya untuk mempengaruhi dan mengawal makhluk asalnya untuk mempengaruhi dan mengawal makhluk ghaib dan alam. Mantera disebut juga sebagai ritual bahasa kerana membentuk sebahagian daripada ritual pembomohan dan pensihiran, manakala sebahagian lagi disebut ritual perlakuan. Dalam dunia Melayu, mantera dikenali sebagai jampi, serapah, tawar, sembur, cuca, puja dan seru. Setiap bentuk mantera disusun khusus untuk sesuatu tujuan. Oleh itu, terdapat beratus-ratus mantera di alam Melayu yang setiap satunya berbeza dan bergantung pada tujuannya. Contohnya, mantera untuk tujuan pemanis adalah seperti yang berikut: Kain peta limau manis, Mari kulipat di dalam talam, Bagai kain pakai manis, Seperti asam dengan garam. Istilah mantera berasal daripada bahasa Sanskrit mantara, manir atau mata yang bermaksud �rumus yang berentak� atau `chhandas yang mengisi bahagian hymns dalam kitab Vedas�. |
panji | panji | Kesusasteraan | Tiada | Gelaran yang diberikan kepada wira dalam kelompok cerita panji. Cerita panji merujuk kepada sejenis genre atau sekelompok cerita jawa yang dicirikan oleh watak, tema, latar dan plot yang tipikal. Cerita Panji ialah cerita Jawa asli, dan temanya bukan saduran daripada epik India. Cerita panji dipercayai tersebar pada zaman kerajaan Hindu-Jawa di Majapahit. Oleh itu, cerita ini memperlihatkan pengaruh budaya Hindu-Jawa yang pekat dan tidak menampakkan langsung pengaruh Islam. Cerita panji ialah cerita sastera istana yang berfokus kepada keperihalan hidup dan budaya istana. Cerita panji dikatakan sebagai sebuah epik kerana ceritanya yang panjang dan bersifat kewiraan, dan cerita ini dianggap sebuah roman kerana sarat dengan tema percintaan. Ceritanya berkisar tentang empat buah kerajaan Jawa, iaitu Koripan, Daha, Gagelang dan Kediri. Temanya berfokus pada percintaan antara Raden Inu, iaitu Puteri Ratu Koripan dengan Chandera Kirana, iaitu Puteri Ratu Daha. Cerita Panji disampaikan dalam bentuk prosa dan puisi. Cerita ini juga dikenali dalam bentuk puisi kidung di Jawa dan bentuk syair di Semenanjung yang muncul dalam pelbagai tajuk seperti Hikayat Panji Semerang, Hikayat Andaken Penurat dan Syair Ken Tambuhan. Kini, cerita Panji bukan sahaja popular di Jawa dan Bali, tetapi juga di Sumatera, Borneo, Sulawesi, Semenanjung Tanah Melayu, Siam, Burma dan Kemboja. Cerita panji disebut juga sebagai epik panji atau roman panji. Lihat juga epik, kidung. |
chant | dikir | Kesusasteraan | Tiada | Gabungan ucapan doa atau nyanyian yang disampaikan secara beramai-ramai dengan cara berlagu. Lagu disampaikan dalam bentuk pantun diiringi dengan paluan rebana dan alat muzik yang lain Gaya penyampaian seperti ini juga digunakan dalam gereja seperti Canta Gregory (Gregorian Chant), dan di kuil Hindu atau Buddha untuk lafaz mantera. Lafaz mantera dalam upacara buka panggung, teater wayang kulit, dan makyung juga dianggap dikir, malahan gaya membaca puisi juga menggunakan teknik dikir. Contoh yang terkenal ialah pantun yang digunakan dalam persembahan Dikir Barat. |
kaba | kaba | Kesusasteraan | Tiada | Sastera lisan atau bertulis orang Minangkabau yang mungkin dapat dikategorikan sebagai genre roman lipur lara. Kaba biasanya merupakan roman sejarah atau didaktik yang bertujuan untuk memberikan pendidikan kerohanian. Unsur yang menjadi asas cerita kaba masih sama seperti lipur lara, iaitu percintaan dan pengembaraan. Kaba disampaikan dalam bahasa yang berbunga-bunga, diindahkan dengan pantun dan talibun. Kaba memperlihatkan pengaruh Islam yang ketara, namun unsur peribumi dan Hindu juga agak dominan. Kaba disampaikan oleh tukang kaba dengan iringan alat-alat bunyian dan diselang-selikan dengan tarian randai. Persembahan kaba biasanya mengiringi upacara adat setempat. Kaba yang tertua ialah kaba Cinduo Mato yang dianggap wujud sebelum tahun 1350. Contoh kaba yang lain ialah Sabai Nan Aluih, Rancak di Labueh dan Puti Nilam Cayo. Kaba berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud �khabar�. Lihat juga talibun. |
kayon | kayon | Kesusasteraan | Tiada | Gunungan atau pohonan yang melambangkan kosmos. Dalam teater wayang kulit, kayon ditampilkan dalam bentuk ukiran pohon abstrak dengan segala bunga, burung, kera dan haiwan lain. Perdunya diapit oleh sepasang haiwan, sama ada sepasang harimau, singa, gajah, lembu liar atau gabungan haiwan lain. Pohon yang diukir dalam kayon mewakili dua simbol mistik agama Hindu. Simbol pertama ialah Pohon Kehidupan yang memelihara semua haiwan dan dianggap sebagai simbol Pohon Meramalkan Nasib memaparkan simbol matahari. Simbol kedua ialah kayon melambangkan Gunung Mahameru, gunung mistik dewa dan gunung dunia. Dalam persembahan wayang kulit, kayon melambangkan tirai apabila dipacakkan sebelum bermula dan selepas persembahan. Kayon ini juga melambangkan perkara lain. Contohnya, apabila digetarkan, kayon menandakan ketenteraman kosmos diganggu; apabila diletakkan melintang, kayon mewakili permukaan air; apabila dipacakkan di kelir, kayon menandakan sebagai pohon atau hutan; dan apabila dipacakkan condong di tepi kelir, kayon menandakan masa rehat. |
Bhakti poetry | puisi Bhakti | Kesusasteraan | Tiada | Puisi India yang bermula semasa pergerakan Zaman Bhakti dari abad ke-14 hingga 17. Puisi Bhakti muncul sebagai reaksi terhadap keadaan politik, sosial, dan keagamaan yang bergelora pada zaman sebelumnya. Zaman Bhakti telah menyaksikan kelahiran beberapa penyair suci yang menghasilkan puisi yang bersifat introspektif. Puisi mereka mengagungkan kesolehan, pengabdian, dan bermutu tinggi sehingga zaman ini digelar sebagai Zaman Keemasan sastera Hindi. Puisi ini memberatkan penolakan radikal terhadap penentuan kasta dan kekangan agama Hindu yang memudaratkan manusia. Antara penyair Bhakti yang terkenal ialah Meerabai, Surdas, Tulsidas, Chaitanya Mahaprabhu, Jayadeva, dan Guru Nanak. Penyair yang dianggap suci ini mengetepikan bahasa Sanskrit dan mengarang dalam bahasa tempatan. Puisi mereka mengandungi rangkap yang mudah diulangi dan dilagukan. Puisi ini lebih menekankan perhubungan manusia dengan Tuhan berasaskan kesolehan, pengabdian, dan cinta yang tidak mementingkan diri, kerendahan hati dan kebaktian kepada orang lain. Bhakti berasal daripada perkataan Sanskrit bermaksud �amal soleh dan pengabdian�. |
sectarianism | sektarianisme | Sains Politik | Politik Perbandingan | Fahaman yang mengutamakan sentimen kelompok tertentu yang berasaskan agama, bahasa, kekeluargaan, tempat asal, hubungan darah, warna kulit mahupun ideologi. Fahaman ini menolak unsur objektiviti atau rasionalisme yang boleh menggugat kepentingan kelompok yang diutamakan. Pemikiran parokial ini terdapat dalam sebuah masyarakat yang tradisional, kurang pendidikan dan terpisah dari dunia luar. Walau bagaimanapun, unsur ini juga terdapat dalam masyarakat moden terutamanya yang berasaskan ideologi dan organisasi tertentu. Contohnya, faham kepuakan adalah sangat tinggi dalam politik India apabila setiap kaum dan negeri memiliki parti dan NGO sendiri seperti Liga Muslim, Hindu Mahasabha, Akali Dal dan Telugu Desam. Sinonim faham kepuakan. |
epigraphy | epigrafi | Kesusasteraan | Tiada | Kajian tentang prasasti, iaitu tulisan kuno yang terdapat pada batu atau logam. Kajian berkaitan dengan sesuatu penghormatan terhadap adat budaya, undang-undang atau kepercayaan agama. Biasanya, prasasti terdapat pada bangunan istana, kuil, batu nisan, tugu, patung dan sebagainya. Kajian epigrafi penting sebagai salah satu sumber asas untuk mengetahui sejarah peradaban dan tamadun manusia masa lampau. Bidang kajian epigrafi menjadi bidang utama bagi ahli antropologi, filologi dan ahli sejarah kaji purba. Contohnya di Nusantara kajian epigrafi sangat penting dalam memahami sejarah dan budaya hidup manusia zaman pra-Islam, khususnya dalam periode Hindu-Buddha, diikuti dengan zaman awal kedatangan agama Islam. Dalam konteks sejarah kesusasteraan Melayu, kajian epigrafi melibatkan kajian terhadap batu bersurat sebagai bukti awal tentang pengetahuan bahasa, sistem tulisan, kedatangan Islam dan sebagainya. Contohnya, kajian terhadap Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), Batu Bersurat Minye Tujuh (Aceh), dan Batu Bersurat Terengganu. Kajian epigrafi juga banyak dilakukan terhadap tulisan yang terdapat pada batu nisan lama. Tujuannya untuk mengetahui sejarah seseorang tokoh atau tentang unsur-unsur Islam. Kajian epigrafi terhadap tulisan yang terdapat pada dinding kuil atau tugu pula memberikan banyak maklumat tentang sejarah sesuatu tempat, adat-istiadat, undang-undang, kata-kata hikmat dan sebagainya. Epigrafi berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud �bertulis di atas sesuatu�. |
kakawin | kakawin | Kesusasteraan | Tiada | Versi puitis epik India yang terdapat di Jawa. Kakawin merupakan bentuk puisi Jawa Kuno. Kakawin disampaikan dalam bahasa Jawa Kuno dengan bentuknya mirip dengan puisi Sanskrit, iaitu kavya. Berdasarkan kaedah penciptaan kavya, kakawin memperlihatkan ciri-ciri seperti sebuah bait yang terdiri daripada empat baris. Setiap baris mempunyai jumlah suku kata yang sama dan disusun mengikut pola metrum yang sama. Kakawin juga mengandungi beberapa bait yang berturut-turut menggunakan metrum yang sama. Pola metrum kakawin disebut sebagai tembang gede (metrum besar), iaitu metrum yang dipengaruhi oleh prosodi India. Puisi kakawin yang asli ialah puisi yang mengagungkan para dewa, tuhan, dan para wira epik Hindu. Penciptaannya dikaitkan dengan proses meditasi para Kawi untuk mencapai tahap pencerahan kerohanian yang dikenali sebagai mokhsa. Kakawin terawal dan terkenal ialah Kakawin Arjuna Wiwaha yang menceritakan pemilikan senjata sakti oleh Arjuna untuk melawan raksasa. Kakawin lain yang berasaskan epik India ialah Bharatayuddha dan Ramayana yang menjadi repertoir utama untuk wayang purba. Kakawin Jawa yang berlatarkan tema setempat ialah Negarakertagama yang dikarang oleh pujangga Prapanca. Kakawin Jawa dianggap lari (berbeza) daripada konvensi kakawin yang asal kerana karya ini menyanjung pencapaian dan kegemilangan kerajaan Majapahit pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk. Pada zaman moden, penyair Rendra telah memanfaatkan unsur kakawin ini dalam puisinya �Kakawin Kawin�. |