stream of consciousness | aliran kesedaran | Kesusasteraan | Tiada | Teknik naratif yang mendedahkan segala isi dan aktiviti dalaman minda watak pada semua tahap kesedaran untuk menggambarkan alirannya yang tidak tersusun dan tidak berkesinambungan. Isi dan aktiviti tersebut termasuklah yang berbentuk memori, persepsi indera, emosi dan renungan. Tujuan teknik ini adalah untuk menyerlahkan imej, perasaan dan pemikiran yang melintasi minda watak tanpa mementingkan logik nahu. Justeru, rakan pemikiran dan perasaan watak muncul sebagai pengaliran yang tidak diaturkan. Walau bagaimanapun, seseorang pengarang masih boleh menstrukturkan asosiasi yang seolah-olah rambang demi memperkaya persoalan dan wawasan yang ingin diterokai. Contohnya, novel Ulysses oleh James Joyce mendedahkan pemikiran dan perasaan protagonisnya, iaitu Leopold bloom. Walau bagaimanapun, struktur dan makna masih boleh ditemui apabila Joyce menggunakan mitos Yunani tentang pengembaraan watak Ulysses untuk menggarap lapisan dalam Leopold Bloom. Berbeza dengan Joyce yang menggunakan mitos Yunani, Virginia Woolf dalam karyanya To the Lighthouse pula mementingkan ulangan imej dominan dalam memerikan lapisan dalaman watak untuk menimbulkan pada puitis. Frasa stream of consciousness dicipta oleh Willian James dalam bukunya Principles of Psychology (1890). Teknik ini dipelopori oleh Dorothy Richardson dalam novelnya yang berjumlah 12 jilid berjudul Pilgrimage (1915-1967), dan oleh James Joyce dalam Ulysses (1922). Teknik ini dimantapkan lagi oleh Virginia Woolf dalam Mrs. Dalloway (1925) dan oleh William Faulkner dalam The Sound and the Fury (1928). Contoh penggunaan teknik aliran kesedaran dalam kesusasteraan Melayu ditemui dalam cerpen �Igau� oleh Shahnon Ahmad. Dalam cerpen ini, Shahnon merakamkan perasaan dan pemikiran watak protagonis untuk mendedahkan rasa keterasingan, kesunyian, dan ketidaktentuan semasa di perantauan. Istilah ini dikenali juga sebagai arus kesedaran. |
objective correlative | kolelatif objektif | Kesusasteraan | Tiada | Objek luar yang menjadi padanan kepada perasaan dalaman. Sesuatu peristiwa, pemandangan, situasi, dan objek luaran dilihat mampu merangsang emosi atau mood, berbanding dengan ekspresinya secara langsung. Dalam hal ini, sebaik sahaja objek luaran itu ditanggapi indera, maka emosi akan terangsang serta-merta. Istilah ini dipopularkan oleh penyair Inggeris, T.S. Eliot dalam eseinya berjudul �1919� tentang drama Hamlet. |
myth criticism | kritikan mitos | Kesusasteraan | Tiada | Kaedah kritikan sastera yang menganggap sesebuah karya sebagai pernyataan atau rangkuman pola-pola dan struktur mitos yang sering berulang dalam sesuatu masyarakat. Kaedah ini akan mengkaji, meninterprestasi dan mengkategorikan sesebuah karya mengikut struktur dan unsur simbolik yang berkaitan dengan mitos tersebut. Kritikan ini juga menghubungkaitkan sastera dunia melalui penerapan mitos sejagat sepeti motif pencarian dan motif asal usul. Contohnya, sastera Barat dan Nusantara boleh dihubungkan dengan kajian motif pencarian yang terdapat dalam Hikayat Indera Putera dan Ullysses oleh Homer, sementara motif asal usul boleh dikaji dalam cerita panji dan mitos Yunani. Dalam konteks sastera moden, motif pencarian boleh dianalisis daripada karya Perjalanan Si Tenggang oleh Muhammad Haji Salleh dan Ulysses oleh James Joyce. Pengkritik utama kaedah kritikan ini termasuklah Joseph Campell dalam bukunya berjudul The Heor with a Thousand Faces dan Northrop Frye dalam bukunya berjudul Anatomy of Criticism. Lihat juga kritikan arketaip, tipa induk. |
bangsawan | bangsawan | Kesusasteraan | Tiada | Sejenis teater bersifat opera yang mengandungi lagu, muzik, dialog dan dipersembahkan tanpa skrip. Walaupun tanpa skrip, rangka lakon atau senario setiap cerita ditampalkan di belakang pentas untuk dijadikan panduan. Justeru, persembahan bangsawan banyak memanfaatkan teknik improvisasi dalam dialog dan aksi. Ciri-ciri lain termasuklah penggunaan latar yang diwarnakan, aksi yang streotaip, serta muzik dan tarian yang tidak dirancang. Cerita bangsawan berkisar tentang dalam raja, istana dan dewi-dewi. Ada juga cerita berdasarkan sejarah tempatan, kisah Islam, cerita Hindi, cerita Cina, dan lain-lain. Bangsawan berasal dari Bombay, India dan dibawa oleh sekumpulan pelakon teater parsi (dikenali sebagai Wayang Parsi) yang menyampaikan persembahannya dalam bahasa Urdu. Apabila wayang Parsi tidak lagi aktif, persembahan bangsawan diambil alih oleh pelakon tempatan yang menubuhkan kumpulan bangsawannya sendiri dalam bahasa Melayu. Kumpulan bangsawan yang terkenal dan rpfesional di Pulau Pinang ialah Pushi Indera Bangsawan of Penang (1914). Kumpulan ini kemudiannya berkembang di Sumatera, dan dikenali oleh Opera Stambul. Bangsawan mengalami kemerosotan selepas Perang Dunia Kedua dan semasa penjajahan Jepun. Persembahan bangsawan kemudiannya diambil alih oleh sandiwara. Contoh bangsawan ialah Jula Juli Bintang Tujuh, Laksamana Mati Dibunuh, dan Bawang Putih Bawang Merah. Lihat juga sandiwara, stambul. |
ornamental content | kandungan hiasan | Kesusasteraan | Tiada | Bahagian dalam teks puisi atau prosa yang dianggap kurang penting. Bahagian ini biasanya memaparkan aksi yang remeh-temeh, pemerian rinci dan panjang lebar yang bersifat hiasan. Kandungan hiasan berbeza dengan kandungan generatif yang merupakan bahagian penting dalam teks. Kandungan hiasan banyak terdapat dalam genre lipur lara. Dalam karya ini, kandungan hiasan berfungsi menimbulkan keindahan, kekaguman, dan keasyikan. Kandungan hiasan biasanya terdapat dalam bentuk pemerian tentang istana, taman bunga, pakaian putera-puteri, kenduri-kendera, keramaian atau perkelahan. Contohnya, pemerian sebuah taman diungkapkan seperti yang berikut: �Maka dilihat oleh Inderaputera pasirnya itu daripada emas urai, dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahadan kersiknya daripada mutiara, dan rumputnya daripada kumkuma, dan tanahnya daripada kesturi, dan airnya daripada air mawar, dan di tepi tasik itu beberapa pohon anggur dan pohon zabib dan pohon delima, dan buah-buahan yang indah-indah di tepi sungai itu.� (Hikayat Indera Putera). Pemerian kecantikan seorang puteri pula diungkapkan seperti yang berikut: �pipinya bagai pauh dilayang, bahunya seperti bahu wayang, lehernya suka ditentang dayang, pinang dimakan berbayang-bayang, hidungnya seperti kuntum melur, wajahnya laksana kuning telur, putih sifatnya warna hablur, berpatutan sanggul mayang mengekur, bibirnya seperti pati dicarik, lehernya laksana gumba dilarik, berpatutan sunting bunga anggerik, demikianlah bertambah rupanya baik�. (Syair Bidasari) Banding kandungan generatif. |
hikayat | hikayat | Kesusasteraan | Tiada | Suatu bentuk genre sastera Melayu tradisional berbentuk prosa atau separa prosa yang biasanya mengandungi cerita yang panjang. Sebagai suatu bentuk genre, hikayat bersifat bebas isi dan struktur, iaitu boleh digunakan untuk membawa pelbagai tema dan jenis karya. Contohnya fabel, roman, epik, sejarah, adab dan hagiografi. Oleh itu, hikayat mempunyai pelbagai fungsi, antaranya sebagai hiburan, pengajaran, adab, dan dakwah. Hikayat dicirikan oleh unsur-unsur kecerekaan dan khayalan. Walau bagaimanapun, ada hikayat yang agak faktual seperti cerita yang berkait dengan tokoh sejarah dan peristiwa sejarah. Contohnya Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham dan Hikayat Raja Pasai. Kebanyakan karya hikayat berfokus pada perihalan istana atau golongan bangsawan. Berdasarkan etimologi istilah hikayat, dapat diandaikan bahawa karya hikayat hanya muncul dalam dunia Melayu pada zaman selepas kedatangan Islam. Contohnya Hikayat Amir Hamzah, sebuah epik warisan Islam dianggap sebagai salah satu hikayat Melayu yang terawal. Oleh sebab hikayat muncul selepas kedatangan Islam, maka karya hikayat biasanya bertulisan jawi. Karya lisan yang berjudul Hikayat ialah karya lisan yang telah ditulis. Sastera hikayat kebanyakannya berbentuk sintesis kerana sastera ini muncul dalam latar budaya sinkritik, peribumi Hindu-Islam. Contoh karya hikayat sintesis ialah Hikayat Indera Putera. Walaupun sastera hikayat tidak lagi popular selepas kurun ke-18, namun judul hikayat masih digunakan untuk memerikan beberapa jenis karya baharu. Contohnya, Abdullah Munsyi menggunakan judul hikayat untuk karya autobiografi dan catatan perjalanan. Beliau juga menggunakan judul tersebut untuk tulisannya yang bersifat ilmiah, contohnya Hikayat Dunia (geografi), Hikayat Kapal Terbang, Hikayat bintang, Hikayat Eropah. Malahan karya novel yang awal juga menggunakan judul hikayat contohnya Hikayat Faridah Hanum dan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan. Hikayat berasal daripada perkataan Arab hikayah bermaksud �cerita-cerita sejarah�, atau haka bermaksud �menceritakan, mewartakan dan memberitahu. � Lihat juga cerita binatang, epik, fabel binatang, hagiografi, roman. |