lipur lara | lipur lara | Kesusasteraan | Tiada | Genre sastera rakyat bercorak cerita yang panjang yang mengisahkan keperihalan hidup warga istana. Pada dasarnya, cerita lipur lara ialah cerita fantasi kewiraan yang memerihalkan kehidupan alam kebangsawanan, terutamanya tentang percintaan putera-puteri raja, pengembaraan dan peperangan yang harus dilalui putera raja yang dianggap sebagai wira dalam cerita, untuk mendapat puteri idamannya atau objek pencariannya yang lain. Perjalanan putera raja sering membawanya ke negeri-negeri yang jauh, termasuk dunia kayangan. Dalam perjalanan, putera raja akan bertempur dengn pelbagai makhluk termasuk gergasi, geruda, jin dan peri. Untuk mencapai hajatnya, putera raja mendapat pelbagai bantuan, termasuk alat magis atau sakit. Cerita sentiasa berakhir dengan kemenangan wira dan kejayaannya memiliki puteri yang diimpikan atau memperoleh objek pencariannya. Tujuan cerita adalah untuk menghiburkan hati yang lara. Justeru, karya ini memberikan keutamaan kepada aspek yang dapat menimbulkan keindahan dan kekaguman. Di samping penampilan motif ajaib dan spektakular, cerita ini juga dipenuhi dengan pelbagai hiasan, iaitu istana, taman bunga, rupa paras, pakaian, deskripsi yang rinci dan lewah tentang adat-istiadat dan adab istana. Cerita lipur lara biasanya disampaikan secara lisan oleh seorang tukang cerita (penglipur lara) profesional yang dikenali dengan pelbagai gelaran, contohnya Awang Batil atau Awang Belanga (di Kedah dan Perlis), dan Tarik Selampit atau tok Selampit (di Kelantan). Persembahan tersebut diiringi alat muzik seperti belanga atau selampit. Lipur lara dikenali juga sebagai roman rakyat atau roman istana. Antara cerita lipur lara ialah Hikayat Inderaputera, Hikayat Malim Deman dan Hikayat Malim Dewa. Lihat juga cerita pari-pari. |
panji | panji | Kesusasteraan | Tiada | Gelaran yang diberikan kepada wira dalam kelompok cerita panji. Cerita panji merujuk kepada sejenis genre atau sekelompok cerita jawa yang dicirikan oleh watak, tema, latar dan plot yang tipikal. Cerita Panji ialah cerita Jawa asli, dan temanya bukan saduran daripada epik India. Cerita panji dipercayai tersebar pada zaman kerajaan Hindu-Jawa di Majapahit. Oleh itu, cerita ini memperlihatkan pengaruh budaya Hindu-Jawa yang pekat dan tidak menampakkan langsung pengaruh Islam. Cerita panji ialah cerita sastera istana yang berfokus kepada keperihalan hidup dan budaya istana. Cerita panji dikatakan sebagai sebuah epik kerana ceritanya yang panjang dan bersifat kewiraan, dan cerita ini dianggap sebuah roman kerana sarat dengan tema percintaan. Ceritanya berkisar tentang empat buah kerajaan Jawa, iaitu Koripan, Daha, Gagelang dan Kediri. Temanya berfokus pada percintaan antara Raden Inu, iaitu Puteri Ratu Koripan dengan Chandera Kirana, iaitu Puteri Ratu Daha. Cerita Panji disampaikan dalam bentuk prosa dan puisi. Cerita ini juga dikenali dalam bentuk puisi kidung di Jawa dan bentuk syair di Semenanjung yang muncul dalam pelbagai tajuk seperti Hikayat Panji Semerang, Hikayat Andaken Penurat dan Syair Ken Tambuhan. Kini, cerita Panji bukan sahaja popular di Jawa dan Bali, tetapi juga di Sumatera, Borneo, Sulawesi, Semenanjung Tanah Melayu, Siam, Burma dan Kemboja. Cerita panji disebut juga sebagai epik panji atau roman panji. Lihat juga epik, kidung. |