romance | roman | Kesusasteraan | Tiada | Naratif yang membicarakan tema kewiraan, pencapaian luar biasa wira serta sifat dan cinta kesateriaannya. Makna lain bagi roman ialah karya yang bukan ditulis dalam bahasa Latin dan cerita-cerita kesaterian Perancis lama. Cerita roman sering mengisahkan watak (atau kejadian) dalam dunia istana khayalan yang mengaitkan elemen fantasi, luar biasa, kemewahan, cinta, pengalaman mendebarkan, keajaiban, mitos dan kejahilan. Elemen fanstastik dalam karya roman sering menunjukkan ciri yang tidak realistik dengan watak yang berkemungkinan tidak wujud, latar hias cerita di luar dunia kini. Karya roman secara prinsipnya adalah untuk hiburan, tetapi boleh menjadi didaktik secara tidak sengaja. Watak utama dalam karya roman biasanya digolongkan dalam jenis yang berupa tipa induk. Kekuatan karya roman adalah pada paparan emosi yang dalam, subjektif, dan penuh keghairahan. Pada abad ke-13, karya roman berbentuk cerita pengalaman yang mendebarkan, kesateriaan atau cinta yang ditulis dalam bentuk lirik. Karya sebegini akhirnya ditulis dalam bentuk prosa. Koleksi Kisah Seribu Satu Malam dari Timur Tengah banyak mempengaruhi karya roman Eropah. Pada Zaman Pertengahan Eropah, karya roman mengandungi tiga peringkat utama: Pertama, mengenai Britain yang termasuk kisah Arthur yang diceduk daripada Breton Lays. Kedua, mengenai Rome yang mengaitkan kisah Alexander, peperangan Trojan dan Thebes, dan Ketiga, mengenai perancis yang berkaitan Charlemange dan kesateriaannya. Di Britain, roman bangsawan berjudul Sir Gawain and the Green Knight ditulis pada abad ke-14. Pada abad selepasnya, Sir Thomas Mallory menulis karya prosa bertajuk Le Morte Darthur dan karya itu dihasilkan dalam bentuk prosa. Penulis terkenal dalam Kesusasteraan Barat yang menghasilkan karya roman sehingga abad ke-17 termasuklah, Spenser (Faerie Queene), Sidney (Arcadia � 1590), Chaucer (Tale of Sir Thopas), dan Cervantes (Don Quixote � 1605). Pada abad ke-18, elemen roman masih ada dalam novel, tetapi elemen ini menekankan kisah seharian, sosial, dan domestik � kecuali novel yang berbentuk pikares. Antara penulis terkenal dengan karya roman selepas abad ke-18 ialah Keats, Coleridge, Shelly, Hawthorne, dan Meredith. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa novel tulisan Joseph Conrad berjudul Lord Jim (1900) dan Romance (1903) tergolong dalam kategori roman kerana elemen luar biasa, esotik, asing dan sifat berlebihan dalam karyanya. Contoh paling terkenal penulis novel roman sastera Inggeris moden ialah Emily Bronte melalui novelnya berjudul Wuthering Heights. Istilah roman berasal daripada bahasa Perancis lama romaunt dan roman yang bermaksud �lirik roman istana�. |