nationalist | nasionalis | Sains Politik | Politik Perbandingan | Individu atau golongan yang berpegang kepada semangat kecintaan pada negara atau bangsa. Semangat ini biasa dikaitkan dengan segolongan rakyat yang bergerak untuk memperjuangkan kemerdekaan dan pembangunan negara yang berada di bawah takluk penjajahan. Semangat ini kadangkala bertindan lapis dengan semangat perkauman atau sentimen primordial sesuatu kaum. Contohnya, tokoh pejuang seperti Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Ishak Hj. Mohamad dan Dr. Burhanuddin al-Helmi merupakan golongan nasionalis tanah air. |
provisional government | kerajaan sementara | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kerajaan yang dibentuk hanya untuk sementara waktu sama ada kerana masih tidak boleh mcmbentuk kerajaan rasmi atau masih dalam pelarian atau buangan ataupun sementara menanti keadaan menjadi aman setelah berlaku kacau-bilau dalam sesebuah negara. Kerajaan ini dibentuk sebagai memenuhi keperluan wujudnya pemerintah untuk mentadbir negara tetapi tidak menjadi kerajaan yang popular. Kerajaan ini hanya menjalankan urusan pentadbiran bagi tempoh tertentu. Contohnya, kerajaan sementara Korea telah dibentuk di Shanghai pada tahun 1919 oleh pejuang nasionalis Korea yang sangat patriotik kerana negara tersebut sedang dikuasai oleh Jepun. |
terrorism | terorisme | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan di luar batas perlembagaan oleh sesebuah kumpulan bagi mencapai sesuatu objektif politik yang dilakukan secara sistematik untuk menimbulkan rasa cemas dan takut orang ramai. Tindakan ini dilakukan tanpa perikemanusiaan seperti meletupkan bom di khalayak ramai, dalam bangunan atau memusnahkan binaan yang penting. Tindakan ini sebenarnya ditujukan kepada pihak tertentu seperti kerajaan atau organisasi. Walaupun begitu, orang ramai yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Keganasan biasanya dilakukan oleh kelompok politik beraliran kanan atau kiri, gerakan perkauman, keagamaan, nasionalis, revolusioner atau agensi pemerintah seperti yang dilakukan oleh pemerintah sendiri, perisik atau tentera. Sinonim keganasan. |
commonwealth | Komanwel | Sains Politik | Politik Perbandingan | Perikatan negara merdeka yang terbentuk secara sukarela untuk melindungi kepentingan masing-masing atau melambangkan identiti politik tertentu yang sepunya di kalangan mereka. Ahli falsafah politik, Thomas Hobbes mentakrifkan konsep ini sebagai aksi kerjasama beberapa golongan masyarakat atau negara untuk melindungi nilai tertentu yang dikongsi bersama. Misalnya Poland dan Lithuania pernah mewujudkan Komanwel pada tahun 1569 bagi melindungi kedua-dua negara tersebut daripada ancaman Rusia dan juga Empayar Ottoman. Dalam konteks moden hari ini, Komanwel lebih merujuk kepada kesatuan sukarela atau kerjasama yang terbentuk di kalangan negara bekas tanah jajahan British. Terdapat dua jenis Komanwel iaitu Komanwel Lama yang terdiri daripada negara tanah jajahan British yang bersifat penempatan baru dan kemudiannya memperoleh kemerdekaan seperti New Zealand, Australia dan Kanada. Komanwel Lama juga terbentuk selepas Perang Dunia Pertama berakhir. Komanwel Baru pula ialah negara bekas tanah jajahan British yang memperoleh taraf kemerdekaan secara gerakan nasionalis seperti Malaysia, India, Jamaica, Kenya dan Nigeria. |