corporate state | negara korporat | Sains Politik | Politik Perbandingan | Negara yang dibentuk melalui tiga rangkaian hubungan iaitu kelompok pemerintah, korporat dan pemodal. Kelompok korporat memainkan peranan sebagai penghubung di antara pemerintah dengan pemodal. Dalam rangkaian hubungan ini, ketiga-tiga kelompok tersebut boleh terdiri daripada orang yang sama bagi mengisi jawatan pemerintah, korporat dan juga pemodal atau orang yang berbeza tetapi mempunyai hubungan yang sangat rapat khususnya dalam proses pembentukan dasar dan hala tuju program negara. Konsep negara korporat ini mula digunakan secara saintifik oleh Emile Durkheim pada awal abad ke-20 bagi merujuk kepada kesatuan yang berpengaruh dalam menentukan proses pembentukan dasar sesebuah negara. Contoh negara korporat ialah Itali sewaktu di bawah penguasaan golongan Fasis sekitar tahun 1930-an dan tahun 1940-an. |
class conflict | konflik kelas | Sains Politik | Politik Perbandingan | Hubungan antara dua kelas sosial yang diwarnai dengan unsur antagonistik dan ketegangan dalam sesebuah masyarakat. Pertentangan ini tercetus disebabkan oleh faktor ketidakseimbangan politik, ekonomi dan sosial. Dalam konteks sejarah, konflik kelas dilihat sebagai unsur utama yang melahirkan perubahan dan perkembangan sistem sosial, misalnya daripada sistem feudal kepada sistem kapitalis iaitu manifestasi persaingan antara aristokrat dengan pemodal. Pertentangan kelas dalam masyarakat biasanya ditonjolkan dalam kehidupan seharian khususnya dalam politik. Ketegangan ini dimanifestasikan dalam pelbagai tindakan antaranya bersifat ganas dan berpanjangan seperti yang berlaku dalam Peperangan Daerah Johnson di Wyoming, Amerika Syarikat pada abad ke-19, bersifat tersembunyi seperti yang berlaku dalam produksi perkilangan antara pekerja dengan majikan atau dalam pertentangan yang bersifat kepartian seperti Parti Buruh dengan Parti Konservatif. Sinonim pertentangan kelas. |
repression | penekanan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan menindas atau tidak memberi peluang oleh golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lebih subordinat kedudukannya seperti buruh, petani, penyewa atau orang kebanyakan. Tindakan ini menyebabkan golongan bawahan terpaksa akur kepada golongan atasan yang mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan hasil hubungan yang tidak seimbang ini. Golongan yang ditindas juga tidak diberi hak yang sewajarya tetapi terpaksa berada dalam hubungan ini kerana sesuatu keperluan seperti mata pencarian. Contohnya, pemodal melakukan penindasan terhadap golongan buruh dengan memberi gaji yang murah, masa kerja yang panjang dan tempat kerja yang buruk. |
antithesis | antitesis | Sains Politik | Politik Perbandingan | Keadaan berlawanan secara langsung dengan sesuatu pernyataan atau sesuatu tesis. Konsep ini merupakan sebahagian daripada proses dialektik materialisme Marx yang menyatakan bahawa asas material sesuatu perkara itu berkembang berdasarkan suatu proses dialektik. Dalam proses ini, keadaan itu berkembang hasil daripada konflik antara satu tesis dengan antitesis. Konflik ini akan berakhir dengan suatu rumusan yang dipanggil sintesis. Sebagai contoh, keadaan kapitalisme melahirkan dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas buruh. Keadaan ini telah melahirkan penentangan buruh terhadap pemodal yang kemudiannya melancarkan revolusi proletar. Penentangan ini merupakan antitesis kepada keadaan kapitalisme tersebut. Konflik ini juga akan melahirkan suatu keadaan sintesis atau dalam ramalan Marx satu masyarakat tanpa kelas. |
egalitarianism | egalitarianisme | Sains Politik | Politik Perbandingan | Fahaman yang mahukan persamaan hak, taraf dan kedudukan terhadap semua anggota sama ada dari sudut pemilikan harta mahupun tanggungjawab. Fahaman ini selalu dikaitkan dengan kehidupan di desa zaman tradisional yang menggambarkan anggota komuniti yang hidup ringkas, kenaI antara satu dengan lain, saling tolong-menolong, bergotong-royong dan mengongsi sama sumber asli dan sumber kekayaan yang ada. Fahaman ini dibawa ke zaman moden sebagai usaha mengurangkan perbezaan miskin kaya dan sekali gus menolak fahaman kapitalisme yang memberi kelebihan kepada kelas pemodal. |
revisionist | revisionis | Sains Politik | Politik Perbandingan | Golongan yang mentafsir semula sesuatu ideologi yang biasanya dikaitkan dengan ideologi komunisme atau sosialisme. Salah satu golongan yang utama ialah gerakan sosialisme Marxian yang menilai semula pemikiran Marxis berhubung dengan revolusi proletar. Gerakan ini mula mencadangkan perubahan masyarakat secara evolusi dan bukannya secara revolusi setelah melihat revolusi industri England gagal membawa sebarang revolusi proletar seperti yang dianjur oleh Marx. Golongan ini mula memikirkan kembali kekuatan teori tersebut dan mencadangkan pindaan seperti konsep polisentrisme yang dianjurkan oleh Togliatti dan Bernstein. Mereka mahukan suatu gagasan yang lebih realistik kesan daripada perubahan keadaan terutamanya sifat bekerja, sikap pemodal dan kedudukan buruh yang lebih baik. |