pressure group | kumpulan pendesak | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk secara rasmi untuk mewakili kepentingan kelompok tertentu bagi mempengaruhi proses penggubalan dasar kerajaan. Kelompok ini tidak terlibat dalam proses pembentukan kerajaan tetapi mempunyai bidang kepentingannya sendiri dan bergerak untuk memelihara kepentingan tersebut. Secara keseluruhannya, pergerakan kelompok ini adalah untuk kepentingan awam namun secara khusus adalah untuk memelihara kepentingan tertentu seperti kebersihan alam sekitar, kebajikan buruh, pengguna, pelajar, bahasa, wanita, anak seni, kebebasan politik dan sebagainya. Mereka mendesak kerajaan melalui pelbagai cara seperti melobi, menulis surat kepada pihak berkuasa tertentu, berjumpa dan berunding dengan anggota pemerintah, mengadakan demonstrasi dan berbagai-bagai program kempen dan poster. Contoh kumpulan pendesak di Malaysia ialah Aliran, Suaram dan Hakam yang sensitif terhadap perkembangan politik dan hak asasi manusia. |
lobbying | melobi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Cubaan individu atau golongan pendesak mempengaruhi keputusan kerajaan sama ada secara memujuk anggota dewan perundangan, kabinet atau pihak tertentu yang membuat keputusan. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti desakan secara langsung, pembujukan kepada wakil rakyat atau menteri, menulis surat, membangkitkan isu tersebut di akhbar, menelefon pegawai yang terlibat dan penggunaan wang supaya desakan mereka diterima. Istilah melobi bermula daripada amalan pembujukan yang dilakukan di bahagian lobi atau ruang anjung dewan sehingga namanya ini kekal digunakan untuk menjelaskan maksud tersebut. Di Amerika Syarikat, golongan pendesak tertentu melaksanakan kajian terperinci mengenai sesuatu isu dan kemudian mendedahkan hasil kajian dan kesan jangka panjangnya kepada wakil rakyat, dan ini boleh mempengaruhi beliau dalam menggubal keputusan. |
impeller | pendesak | Kejuruteraan Automotif | Industri Pembuatan Kereta | Cakera berbilah yang berputar yang digunakan untuk menambahkan tekanan gas atau cecair di dalam pam empar dan penukar kilas. |
pressure group | kumpulan pendesak | Perancangan dan Pembangunan Bandar | Tiada | Satu kumpulan yang dibentuk untuk memperjuangkan sesuatu kepentingan atau tujuan mempengaruhi dasar awam. |
participatory democracy | demokrasi penyertaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem demokrasi yang menggambarkan penyertaan awam yang tinggi dalam politik. Parti politik, goIongan pendesak, media, pelajar dan individu amnya bergiat aktif, sensitif dan peka terhadap pemerintahan negara. Mereka bersaing dalam mempengaruhi dasar dengan melakukan tindakan seperti melobi, mendesak, menggunakan media, menulis surat kepada wakil rakyat atau pejabat kerajaan, menganjurkan piket atau demonstrasi secara aman dan pelbagai tindakan lain dalam memperjuangkan hak dan memelihara kepentingan mereka. Pemerintah dalam negara ini memberi ruang yang luas kepada orang ramai untuk bergiat dalam semua aktiviti. Dalam sistem ini, undang-undang dan agensi pemerintah tidak meletakkan sekatan yang tinggi kepada orang ramai. Contoh negara yang mengamalkan demokrasi penyertaan ialah United Kingdom. |
semi-democracy | separuh demokrasi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Amalan demokrasi yang tidak sepenuhnya memiliki ciri-ciri demokrasi tulen. Sistem ini mempunyai ciri-ciri asas demokrasi seperti pilihan raya, dewan perwakilan, penguatkuasaan undang-undang, parti politik, kumpulan pendesak dan media. Walau bagaimanapun, demokrasi ini tidak membenarkan kebebasan yang luas dan meletakkan pelbagai batasan atau kawalan yang bertujuan mengekalkan status quo. Pilihan raya yang dilaksanakan sering dikuasai oleh kerajaan dengan membataskan ruang berkempen untuk pembangkang. Media dikuasai oleh pemerintah sementara kumpulan pendesak tidak sepenuhnya bebas. Perjalanan demokrasi dalam sistem ini begitu kuat ditentukan oleh pemerintah atau institusi negara dan sekali gus menjadikan persaingannya separuh demokratik. Contohnya, Malaysia, Indonesia dan Singapura pada dekad 1960-an -1980-an dianggap sebagai semidemokrasi. Sinonim semidemokrasi. |
viscous drive fan clutch | cekam kipas pemacu likat | Kejuruteraan Automotif | Enjin | Peranti dalam kipas enjin yang menggunakan bendalir likat di antara komponen pendesak dengan komponen perumahnya untuk memacu kipas. Peranti ini dihubungkan dengan pam air melalui cekam yang dikawal secara termostatik. Keadaan ini membolehkan kipas beroperasi mengikut suhu enjin. Cekam tersebut berfungsi pada suhu tinggi menyebabkan kipas ber-putar dengan laju dan menyejukkan radiator dengan lebih berkesan. Cekam dilepaskan daripada putaran pam pada suhu rendah dan menyebabkan kipas bergerak bebas serta tidak lagi berfungsi sebagai penyejuk radiator. |
pluralism | Faham majmuk | Sains Politik | Politik Perbandingan | Fahaman yang menjelaskan sebuah masyarakat yang memiliki kepelbagaian sama ada dari segi kelompok etnik, parti politik, pertubuhan pendesak atau individu. Setiap kelompok memiliki minat dan kepentingan yang berbeza serta bersaing antara satu sama lain dalam mempengaruhi dasar negara mengikut peraturan yang ditetapkan. Kepelbagaian dan kebebasan merupakan ciri utama fahaman ini iaitu hak dan tanggungjawab setiap kelompok atau individu perlu dihormati. Dalam masyarakat yang majmuk, kepelbagaian ini sering ditonjolkan dalam bentuk kaum atau ras manakala dalam masyarakat yang lebih kompleks ditonjolkan oleh parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang pelbagai. Fahaman ini menolak penguasaan kelas atasan terhadap masyarakat atau sekatan terhadap kebebasan persaingan politik. Sinonim pluralisme. |
non-governmental organization | organisasi bukan kerajaan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pertubuhan sukarela yang dibentuk untuk memperjuangkan kepentingan sesuatu kelompok. Pertubuhan ini sering disebut sebagai kumpulan pendesak yang bergerak dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang mewakili kepentingan masing-masing. Sifat utama pertubuhan ini adalah untuk mempengaruhi dasar kerajaan tetapi tidak bertujuan menyertai persaingan merebut kuasa pemerintahan, dan ini membezakannya dengan parti politik. Kumpulan ini menggunakan pelbagai cara untuk mempengaruhi keputusan kerajaan seperti melobi, menggunakan media, menulis surat kepada pihak berkuasa, membuat petisyen atau melancarkan tunjuk perasaan. Walau bagaimanapun, pertubuhan ini tidak melaksanakan gerakan secara keganasan. Contohnya, pertubuhan alam sekitar seperti Sahabat Alam dan Pertubuhan Alam Semula Jadi Malaysia (MMS), pertubuhan pengguna seperti Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan pertubuhan buruh pula seperti Persatuan Pekerja Kerajaan Awam (Ceupacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). |
interest aggregation | agregasi kepentingan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pengumpulan idea, cadangan, tuntutan atau kehendak masyarakat untuk diajukan kepada pihak berkuasa secara berkelompok. Pengumpulan ini boleh dilakukan oleh golongan pendesak media ataupun parti politik bagi memastikan suara mereka mendapat perhatian. Pengumpulan suara ini akan menjadi input kepada proses penggubalan keputusan atau dasar oleh kerajaan. Sistem pemerintahan demokrasi menggalakkan penyuaraan dan desakan seperti ini dilakukan memandangkan ia mewakili kepentingan orang ramai. Sinonim pengumpulan kepentingan. |