folk drama | drama rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Drama yang mengisahkan aktiviti rakyat yang dramatik bentuknya. Lakonan dalam drama ini berhubung dengan motif rakyat. Drama rakyat berpunca daripada ritual primitif yang mengandungi gerak, nyanyian, dan muzik (ketukan mengikut rentak) sebagai memuja semangat tumbuhan untuk menggalakkan kesuburan tanaman. Daripada ritual inilah, munculnya drama rakyat. Pada mulanya, drama rakyat berasaskan kepercayaan keagamaan yang kemudiannya menjadi sekular. |
folk epic | epik rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Naratif lisan yang dipersembahkan di hadapan khalayak. Sama seperti karya lisan yang lain, epik rakyat tidak mempunyai pengarang yang jelas, dan menjadi sebahagian daripada tradisi rakyat yang disebarkan secara lisan. Kebanyakan epik rakyat disampaikan dalam bentuk puisi atau separa puisi. Biasanya, epik rakyat yang popular dipertingkatkan dan diperhalus menjadi epik tulisan. Contohnya, Epik Ramayana dan Mahabharata bermula sebagai epik rakyat yang kemudian digubah menjadi karya bertulis. Gilgamesh di Asia Barat dan Beowulf di Eropah ialah contoh epik rakyat yang terkenal. Dalam tradisi Melayu, Cerita Maharaja Wana yang menjadi repertoir dalam wayang kulit Siam di Kelantan ialah contoh epik rakyat yang baik. Epik rakyat dikenali juga sebagai epik primer atau epik primitif. |
democracy | demokrasi | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sistem pemerintahan yang diasaskan oleh suara rakyat. Dalam sistem ini, rakyat berhak menentukan pemimpin yang layak untuk memegang kuasa pemerintahan dan pemimpin pula harus peka terhadap kehendak rakyat. Secara umumnya terdapat dua jenis sistem demokrasi, iaitu demokrasi langsung dan demokrasi tidak langsung. Pada masa kini demokrasi langsung tidak lagi diamalkan dan yang wujud hanya demokrasi tidak langsung atau dikenali sebagai demokrasi berperwakilan. Demokrasi berperwakilan diamalkan dalam dua bentuk yang utama iaitu demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden. Sistem pemerintahan demokrasi memberi peluang penyertaan rakyat secara langsung atau tidak langsung dalam urusan pemerintahan. Rakyat diberi ruang yang cukup luas untuk melibatkan diri dalam proses politik sama ada secara individu atau organisasi. Idealisme demokrasi ini berkembang di negara kota Athens, Greek yang mengamalkan demokrasi langsung seperti yang dipopularkan oleh Socrates. Contohnya, New Zealand merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. |
folk ballad | balada rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Bentuk puisi naratif yang biasanya dipersembahkan secara nyanyian. Balada rakyat merupakan salah satu bentuk seni sastera yang awal dan wujud dalam tradisi lisan. Balada rakyat tidak mempunyai nama pengarang, sebaliknya dipindahkan daripada satu generasi kepada satu generasi secara lisan. Balada rakyat biasanya ditulis dalam bentuk yang ringkas dan mudah dari segi susunan plot serta bahasa. Balada ini lahir dalam masyarakat pratulisan dan dipersembahkan secara nyanyian lisan. Tema balada rakyat mementingkan nilai yang bersifat heroik atau kewiraan watak yang penting dalam masyarakat tradisi. Oleh sebab balada rakyat berkembang secara lisan, maka wujud pelbagai tokok tambah dan penceritaannya dari semasa ke semasa. Contohnya, Liyangkit Parang Sabil di Selatan Filipina yang menceritakan kisah pahlawan Islam menentang penjajahan Sepanyol. |
folk song | lagu rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Nyanyian yang biasanya dikaitkan dengan kehidupan, pengalaman atau aktiviti harian golongan masyarakat pratulisan. Lagu rakyat biasanya bertemakan pekerjaan, agama, pendidikan, dan percintaan, dan popular sebagai hiburan untuk mengiringi tarian atau sesuatu keramaian. Contoh lagu rakyat yang utama, antaranya lagu nelayan dan petani, lagu kanak-kanak, dondang sayang dan dikir. Lagu rakyat biasanya mempunyai melodi, lirik dan bentuk yang mudah dingati. Pantun biasanya menjadi bentuk yang paling popular untuk lagu-lagu rakyat. Contoh lagu rakyat dalam sastera Parsi berjudul Tarana-yi Baran va Tarana-yi Khurshid khanum (Puan lagu Hujan dan Lagu Mentari). Contoh lagu rakyat dari Kedah adalah seperti yang berikut: Kuak-kuak kerbau di ladang, wei, alih tambat jalan ke rumah lah, Emak-emak abang ku datang, wei, hampar tikar tabur bunga lah. |
civic culture | budaya sivik | Sains Politik | Politik Perbandingan | Budaya politik masyarakat yang menerima autoriti pemeritah dengan darjah penyertaan rakyat yang tinggi dalam sistem dan proses politiknya. Dalam budaya politik ini, kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada rakyat setiap keputusan politik dan pemerintah juga akan menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin bagi memastikan keperluan asas rakyat disediakan. Rakyat pula harus bersifat responsif terhadap sebatang tindakan kerajaan. Hal ini menjadikan hubungan antata rakyat dan pemerintah itu seimbang dan akan mewujudkan keadaan politik yang stabil dan teguh. Konsep budaya sivik diasaskan oleh Gabriel Almond seorang tokoh ilmu politik perbandingan dalam kajian budaya politik di Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis, Jerman dan Kanada pada tahun 1950-an dan tahun 1960-an. |
welfare state | negara kebajikan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Negara yang mengamalkan satu sistem kebajikan untuk semua rakyat. Konsep penting dalam negara ini ialah kerajaan atau pemerintah bertanggungjawab untuk memelihara kebajikan rakyat dan memastikan rakyat negaranya hidup dalam keadaan yang selesa. Negara kebajikan ini memberi pelbagai jenis kemudahan seperti pendidikan dan perkhidmatan hospital yang percuma. Di samping itu, negara ini turut memberi pelbagai bentuk konsesi lain seperti elaun kepada penganggur, cuti bersalin yang panjang, elaun untuk warga emas, layanan istimewa untuk orang cacat dan potongan rendah untuk bayaran pengangkutan dan sewa rumah perbadanan kerajaan. Walau bagaimanapun untuk membiaya semua kos perkhidmatan ini, negara kebajikan mengenakan cukai pendapatan yang tinggi khususnya kepada golongan berpendapatan tinggi serta mengenakan cukai lain kepada sektor perniagaan. Sektor swasta pula perlu melaksanakan dasar kebajikan seperti yang dilaksanakan oleh sektor awam. Contoh negara kebajikan yang masih aktif ialah Great Britain, Netherland, Sweden, Norway, Denmark dan Finland. |
folk tale | cerita rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Cerita yang disampaikan secara lisan dan biasanya berfungsi sebagai hiburan dan pendidikan. Kebanyakan cerita rakyat mengandungi unsur fantasi, magis, dan bersifat tanpa masa dan tanpa tempat. Ceritanya pendek, tidak skematik, dengan gaya bahasa yang bersahaja seperti mitos dan legenda. Kadangkala, ceritanya panjang, skematik, dengan gaya bahasa yang stailistik dan formulaik seperti bentuk roman lipur lara atau cerita pari-pari. Kebanyakan cerita rakyat berbentuk prosa berbanding dengan cerita lipur lara yang bersifat separa prosa. Cerita rakyat terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya mitos, legenda, cerita binatang, cerita jenaka, cerita pari-pari atau lipur lara. Cerita rakyat yang amat popular dan tersebar luas dalam kalangan rakyat jelata ialah cerita jenaka seperti Pak Pandir, Lebai Malang, dan Si Luncai. Lihat juga formulaik. |
folk poetry | puisi rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Puisi yang disampaikan secara lisan. Puisi rakyat biasanya bersifat lirik, iaitu ungkapan puitis yang dapat digunakan untuk seni kata dalam lagu, cerita, ucapan, dan kegiatan harian. Puisi rakyat biasanya berbentuk pendek, bersukat dan berpola, amat terikat dengan keperluan bait, baris dan rima agar mudah dihafal dan diingati. Namun, terdapat juga bentuk berangkap yang lebih longgar strukturnya dan lebih panjang. Contoh bentuk pendek yang terikat ialah pantun, terutamanya pantuan dua kerat. Contohnya adalah seperti yang berikut: Tak tumbuh tak melata, Tak sungguh orang tak kata. Puisi lisan yang lebih panjang dan longgar ialah mantera, seloka, manakala ungkapan berirama seperti talibun, teromba, gurindam, dan perbilangan. Lihat juga mantera, talibun, teromba. |
folklore | sastera rakyat | Kesusasteraan | Tiada | Hasil sastera yang tersebar dalam kalangan rakyat biasa secara lisan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. |