Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ti.kus] | تيکوس

Definisi : sj binatang mengerip; jenis-jenisnya: ~ air = ~ lembah, Rattus muelleri; ~ bandar = ~ mondok, Rattus norvegicus; ~ rumah, Rattus rattus; ~ sawah, Rattus argentiventer, dll; ~ belanda sj binatang mengerip yg rupanya seakan-akan arnab tetapi lebih kecil, marmut, Cavia porcellus; dimakan ~ bp diambil (dicuri) orang sedikit demi sedikit; awak ~ hendak menampar kepala kucing prb tidak berdaya mencapai sesuatu yg dicita-citakan atau diharap-harapkan; bagai ~ mem-baiki labu prb orang yg mencuba mem­baiki sesuatu yg tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya; (labu) ditebuk (dikerebuk) ~ prb gadis yg sudah dinodai; marahkan ~, lengkiang dibakar prb kerana sakit hati akan sesuatu yg kecil maka melakukan sesuatu yg mendatangkan kerugian besar; rumah ter­bakar, ~ habis keluar prb apabila negeri ditim­pa sesuatu malapetaka, penduduknya drpd orang dagang pun keluarlah meninggal­kannya; spt ~ jatuh ke beras prb orang yg mendapat kedudukan yg mewah; spt ~ masuk roman prb orang yg berasa kecewa kerana tidak mendapat spt yg diharapkannya; menikus mendiamkan diri (tidak berkata-kata atau membantah kerana takut dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ti.kus] | تيکوس

Definisi : akar ~ sj tumbuhan (pokok meman­jat), akar hitam, akar kekala, Ventilago malaccensis; rotan ~ sj tumbuhan (pokok memanjat), rotan bini (diri), Flagellaria indica. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ti.kus] | تيکوس

Definisi : burung ~ sj burung, Locustella lanceolata; lang ~ sj burung helang, lang (helang) sewah, Elanus c. caeruleus. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ti.kus] | تيکوس

Definisi : berbagai-bagai jenis binatang yg mengunggis. ~ ambang bulan Echinosorex gymnurus. ~ babi Hylomys suillus. ~ belanda binatang mengunggis yg rupanya seakan-akan rupa arnab tetapi lebih kecil, Cavia cobaya. ~ hutan Rattus rattus jalorensis. ~ kecil Rattus exulans. ~ kesturi Sorex spp.. ~ mondok Rattus norvegicus. ~ rumah Rattus rattus diardii. ~ tanah (sawah) Rattus rattus argentiventer. menikus ki mendiamkan diri dan tidak berkata-kata atau tidak membantah kerana takut dll. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata tikus

Puisi
 

Tikus mondok berbaju kemeja,
     Naik ke balai memetik kecapi;
Adik tunduk malukan siapa,
     Malu ke abang belum biasa lagi.


Lihat selanjutnya...(12)
Peribahasa

Marahkan tikus rengkiang dibakar.

Bermaksud :

Takutkan bahaya yang kecil, maka keuntungan yang banyak dibuang, akhirnya meranalah badan. (Peribahasa lain yang sama makna: Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah).

 

Lihat selanjutnya...(22)


Istilah Bahasa Melayu

Istilah SumberIstilah SasarBidangSubbidangHuraian
infestationinfestasiHerbaTiadaKeadaan herba yang dicemari serangga dan haiwan seperti rodensia. Kehadiran bulu mamalia (tikus, kucing dan lain-lain), feses dan bahagian jasad serangga merupakan bukti utama infestasi. Infestasi dikesan dengan mata kasar atau menggunakan mikroskop. Jika mengalami infestasi, bahan herba tersebut mesti dibuang dan tidak boleh digunakan dalam proses seterusnya.
pest controlkawalan perosakHerbaPeraturan dan PemasaranKawalan yang dikenakan terhadap sebarang organisma yang menyebarkan penyakit, membawa penyakit atau menyebabkan kerosakan. Kawalan perosak bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Antara contoh perosak ialah bakteria, virus, kulat, rumpai, serangga, tikus atau burung.
cormumbisiHerbaTiadaBatang pendek yang membengkak dan tumbuh menegak di dalam tanah. Umbisi dilapisi oleh daun nipis bak sisik yang kering dan berfungsi sebagai penyimpanan makanan. Umbisi utuh dalam bentuk kering digunakan sebagai bahan mentah herba selepas diracik, dikisar atau diserbukkan. Contohnya, keladi, keladi tikus dan keledek.
anthropomorphismantropomofismeKesusasteraanTiadaPemberian sifat manusia dalam karya sastera kepada haiwan, benda yang tidak bernyawa, dan kuasa yang abstrak seperti Tuhan. Karya berunsur antropomorfisme yang termasyhur ialah Animal Farm oleh George Orwell yang merupakan satira terhadap Revolusi Rusia. Dalam karya ini, binatang ternakan yang asalnya dimiliki oleh peladang yang mabuk telah berjaya memerdekakan diri, mengambil alih ladang itu, dan mengerjakannya sendiri seperti manusia. Namun, timbul huru-hara sehingga ladang itu kucar-kacir kerana binatang yang mentadbirkannya bertindak zalim seperti pemiliknya terdahulu. Di Malaysia, karya yang memperlihatkan corak cerita yang sama ialah Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim. Di Indonesia terdapat cerpen �Langit Makin Mendung� oleh Kipandjikusmin yang memberikan sifat manusia kepada Tuhan. Antropomorfisme digunakan untuk membangkitkan rasa empati dalam sastera. Kebanyakan pengarang cerita kiasan lebih cenderung memperlihatkan unsur ini. Antropomorfisme berasal daripada perkataan Yunani anthropos yang bererti �manusia dan bentuk�. Lihat juga bertiari.
fablecerita binatangKesusasteraanTiadaCerita pendek tentang binatang yang penuh khayalan. Cerita biasanya disampaikan dalam bentuk prosa atau puisi. Tujuannya untuk memberikan teladan atau pengajaran moral kepada pembacanya. Biasanya, watak dalam cerita ini terdiri daripada binatang di hutan dengan sifat yang menggambarkan kehidupan manusia. Cerita binatang merupakan salah satu hasil sastera yang awal dalam tradisi lisan yang terdapat di seluruh dunia. Walaupun cerita binatang menampilkan watak binatang, tetapi ceritanya mencerminkan daya pemikiran masyarakat yang tinggi kerana mengandungi pelbagai unsur kiasan, kritikan, dan pengajaran moral. Tema dan plot dalam karya ini agak mudah dan ringkas. Biasanya pada akhir cerita, pencerita atau salah satu watak dalam cerita akan menyatakan unsur pengajaran moral yang terdapat dalam cerita tersebut. Ada kalanya unsur pengajaran moral dinyatakan dalam bentuk epigram. Sejarah cerita binatang bermula daripada seorang hamba Yunani bernama Aesop yang hidup pada abad keenam sebelum Masihi. Cerita ini kemudiannya berkembang di India dengan karya terkenal berjudul Panchatantran. Pengaruh Panchatantran tersebar luas ke Asia Barat. Justeru, muncul pula karya berjudul Kalila Wa Dimnah yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul, Khalilah dan Dimnah. Cerita binatang berkembang di Parsi, antaranya melalui karya Anvar-i Suhaili oleh Hussayn Wa�iz Khasifi. Karya ini mengandungi pelbagai cerita binatang seperti kisah burung, kucing, harimau, tikus, anjing, angsa, kala jengking, serigala, burung hantu, singa, helang dan lain-lain. Cerita binatang juga hidup subur dalam tradisi kesusasteraan kanak-kanak di Barat. Antaranya termasuklah koleksi cerita binatang oleh Thurber berjudul Fables for Our Time (1940), dan Jus So Stories oleh Rudyard Kipling (1902). Contoh cerita binatang dalam karya sastera Melayu yang terkenal ialah cerita Sang Kancil (Hikayat Sang Kancil) dan Pelanduk (Hikayat Pelanduk Jenaka). Kedua-dua hikayat ini merupakan cerita binatang asli Melayu yang telah wujud sejak zaman lisan dan masih terus dinikmati hingga hari ini. Cerita binatang juga dikenali sebagai dongeng binatang. Lihat juga fabel binatang.
beast fablefabel binatangKesusasteraanTiadaBentuk karya sastera rakyat yang terawal dan penting yang mengisahkan alam kehidupan binatang. Cerita yang dipaparkan biasanya pendek dan melibatkan binatang seperti burung, arnab, kera, musang, anjing dan lain-lainnya. Binatang tersebut digambarkan memiliki sifat-sifat manusia biasa. Umumnya, fabel binatang memiliki plot yang ringkas dengan tema bersifat pengajaran. Cerita tersebut berfungsi sebagai hiburan dan pendidikan moral kepada kanak-kanak. Ada kalanya unsur pendidikan moral disampaikan secara sindiran atau kiasan. Fabel binatang wujud dan berkembang dalam hampir semua tradisi sastera di dunia, sama ada di India, Arab, Parsi, Eropah, China, Jepun dan lain-lain. Fabel binatang dalam masyarakat Inggeris misalnya terkenal dengan cerita-cerita yang berkaitan dengan arnab, serigala, burung, kuda, beruang dan anjing. Salah satu contoh yang baik ialah koleksi fabel binatang dalam karya Chaucer berjudu The Nun�s Priest�s Tale. Cerita binatang yang terkenal dalam kesusasteraan Arab dan Parsi ialah Kalilah Wa Damnah (Anvar-i Suhaili). Dalam kesusasteraan Melayu, fabel binatang dikenali sebagai cerita mergastua. Antara cerita yang terkenal termasuklah cerita tentang siput dengan helang. Di samping itu, terdapat juga cerita binatang lain seperti kisah kerbau dengan bangau, kisah ular dengan katak, kisah tikus dengan kucing, dan kisah anjing dengan kucing. Cerita-cerita berkenaan mengandungi pelbagai unsur pengajaran moral dan menjadi bahan pendidikan kepada kanak-kanak dan masyarakat keseluruhannya. Lihat juga cerita binatang.
allegoryalegoriKesusasteraanTiadaBentuk naratif yang memperkatakan sesuatu subjek menggunakan subjek lain yang mempunyai padanan atau kesamaan dengan subjek yang pertama. Contohnya, sebuah cerita mempunyai maksud lain yang tersembunyi di sebalik maksud harfiahnya. Cerita biasanya boleh berdiri secara utuh dengan maksudnya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang memahami alegori, cerita tersebut mempunyai maksud lain di sebalik maksud yang tersurat. Maksud tersirat pula menyerlah apabila padanan persis antara cerita yang tersurat dengan maksud yang tersirat dapat ditemukan secara satu per satu. Contohnya, dalam novel The Pilgrim & Progress olah John Bunyan. Novel ini mengisahkan pengembaraan sorang watak bernama Christian, dan watak ini menempuh pelbagai pancaroba dalam perjalanannya menuju ke Kota Celestial. Cerita tersebut boleh dipadankan dengan doktrin atau fahaman Kristian tentang perjuangan manusia untuk mendapatkan penyelamatan, dan setiap dugaan yang dilalui oleh watak Christian dalam cerita itu boleh dipadankan dengan tahap pergelutan manusia untuk mendapatkan kesejahteraan seperti yang difahami oleh penganut Kristian dan tertera dalam Bible. Pada peringkat awal, bentuk ini sering digunakan untuk menyatakan pemikiran yang bersifat agama. Di Barat, alegori sangat dominan pada Zaman Pertengahan dan bahan sastera dewasa memperlihatkan fikiran yang bersifat alegorikal. Namun dalam perkembangan seterusnya, bentuk ini digunakan untuk menyampaikan komen politik dan sosial, dan lumrah digunakan pada masa ini. Bentuk ini mempunyai kaitan dengan satu lagi bentuk, iaitu simbol. Namun perbezaan yang ketara antara kedua-duanya ialah maksud yang tersirat bagi alegori lebih bersifat tetap dan tegar, sementara maksud tersirat bagi simbol lebih bersifat terbuka dan tidak dapat dipastikan secara persis. Apabila segugus simbol digunakan dalam sesuatu naratif, simbol boleh menjadi alegori. Bentuk alegori sering dipadankan dengan karya yang panjang. Walau bagaimanapun, karya pendek yang memperlihatkan ciri yang serupa dengan alegori, sering dikenali dengan istilah cerita binatang, dan cerita ibarat. Contoh lain yang terkenal dalam sastera Barat ialah karya Dryden berjudul Absalom and Achitophel. Karya ini memperkatakan idea tersirat tentang situasi politik di England pada pertengahan kurun ke-17. Karya berjudul Gulliver�s Travels (1726) oleh Jonathan Swift pula secara tersirat menggambarkan situasi politik di England ketika pemerintahan Ratu Anne. Dalam sastera Melayu, Syair Raja Tedung dengan Raja Katak ialah alegori situasi politik Johor-Riau pada kurun ke-19. Contoh yang lain ialah novel tikus Rahmat (1963) oleh Hassan Ibrahim yang merupakan alegori kepada perhubungan kaum di Tanah Melayu. Alegori berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud �memperkatakan yang di sebaliknya�.

Kembali ke atas