religious fiction | fiksyen keagamaan | Kesusasteraan | Tiada | Fiksyen tentang agama, pemimpin atau petugas agama. Contohnya, ulama bagi Islam, paderi bagi Kristian, dan sami bagi agama Buddha. Fiksyen jenis ini terdapat dalam karya Anthony Trollope, atau dalam novel tentang penyelamatan peribadi seperti Siddhartha oleh Herman Hesse. Fiksyen kontemporari kerap kali mempersendakan agama dengan menonjolkan sifat kepura-puraan dan kehalobaan seseorang pemimpin agama. Contohnya novel tok Guru dan novel Ummi dan Abang Syeikhul oleh Shahnon Ahmad. Sesetengah karya fiksyen menangani isu agama secara serius, contohnya novel Khutbah di Atas Bukit oleh Kuntowijoyo. |
legend | legenda | Kesusasteraan | Tiada | Cerita yang memerikan secara berlebih-lebihan tokoh tertentu yang benar-benar wujud. Tokoh terdiri daripada ulama, wali, pemimpin, pahlawan atau wira yang popular. Legenda merupakan salah satu jenis sastera rakyat yang tersohor, dan sering kali dikaitkan dengan �tanda alam� di tempat berlakunya peristiwa penting yang diceritakan. Unsur luar biasa dan misteri menjadi ciri penting dalam legenda. Cerita legenda berlatarkan masa yang lebih hampir dengan cerita kontemporari, dengan latarnya sering dirujuk. Oleh itu, legenda merupakan satu-satunya genre cerita rakyat yang hidup dan terus dicipta. Legenda hampir sama dengan mitos, disampaikan dengan bahasa yang bersahaja, kadang-kadang bersifat stilistik dan formulaik, walaupun dicipta secara lisan. Namun sifat-sifat lisan tetap ada, contohnya unsur perulangan. Legenda boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja dan tidak dihubungkan dengan sesuatu acara khas. Legenda berbentuk longgar, tidak memperlihatkan struktur atau plot yang tipikal dan hampir kesemuanya berbentuk prosa. Legenda ialah cerita yang dianggap benar oleh masyarakat kerana cerita ini sering dikaitkan dengan sistem kepercayaan setempat. Namun, legenda bersifat lebih profan berbanding mitos. Legenda yang popular ialah legenda keramat seperti �Keramat Lebai Kader�, �Kerama Kubur Panjang�, dan �Mahsuri�. Legenda tokoh diperlihatkan melalui cerita �Mat Salleh�, �Tok Janggut�, �Puteri Saadong�, dan legenda pendosa seperti �Si Tanggang� dan �Malim Kundang�. |
nazam | nazam | Kesusasteraan | Tiada | Bentuk puisi Melayu tradisional yang setiap rangkapnya terdiri daripada dua baris mengikut gaya timbangan syair Arab. Setiap baris itu mempunyai persamaan bunyi di hujungnya. Secara umumnya, puisi ini tidak begitu popular dalam kalangan alim ulama. Mereka mencipta nazam dengan melagukannya sebagai puji-pujian, khususnya terhadap Nabi Muhammad SAW. Contohnya, sebahagian daripada nazam �Pujio� atau Jawahir Sunniah oleh A.H. Edrus (Persuratan Melayu 2, 1960): Muhammad yang dibangkitkan akan dia, Dengan surah tauhid Tuhan yang sedia. Pada masa sangat umum syiriknya, Dengan sebab sangat banyak jahilnya. Maka menunjuklah ia akan kita, Dengan bujuk lagi nasihat yang nyata. Tunjuk pula hingga perang dengan pedang, Maka nyatalah agama putih terang. Mudah-mudahan membalas akan dia, Dengan baik bagi pihak yang mulia. Istilah nazam berasal daripada bahasa Arab nazm yang bermaksud �susunan�. |
preliminary convention | konvensi awal | Sains Politik | Politik Perbandingan | Persidangan yang diadakan sebagai persediaan dan pengemasan kerja sebelum persidangan utama diadakan oleh sesebuah pertubuhan khususnya parti politik. Persidangan awal ini sering menampilkan perbincangan agenda dalam persidangan utama kelak, mesyuarat bagi lembaga pengarah atau ketua-ketua negeri atau Exco tertinggi dan perbincangan mengenai perbelanjaan persidangan serta jadual kerja untuk persidangan ulama nanti. Persidangan awal ini dihadiri oleh perwakilan atau ahli jawatankuasa yang terpilih sahaja dan tidak menjemput semua ahli biasa. Contohnya, Parti Demokratik Amerika Syarikat peringkat negeri akan mengadakan konvensi awal ini menjelang persidangan tahunan parti tersebut. Sinonim persediaan awal. |
secular state | negara sekular | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pemerintahan sesebuah negara yang tidak langsung bersandarkan kepada keagamaan atau unsur kepercayaan mistik. Pemerintahan ini memisahkan persoalan politik dan negara daripada sebarang peraturan keagamaan. Dalam pemerintahan ini, unsur rasionalisme memainkan peranan penting menggantikan peraturan agama. Kesalahan jenayah atau sivil tidak dihukum atau diadili melalui perundangan agama, sebaliknya melalui proses perundangan yang bebas. Demikian juga proses politik dan persaingan yang dilaksanakan bebas daripada tuntutan sebarang agama seperti mahukan ulama menjadi pemerintah. |
exemplum | cerita moral | Kesusasteraan | Tiada | Cerita pendek tentang sesuatu watak atau peristiwa yang mengandungi pengajaran moral yang lebih umum. Cerita moral biasanya mudah difahami dan menampilkan kisah atau perbuatan seseorang tokoh atau kejadian sesuatu peristiwa. Cerita moral membawa unsur nasihat dan pengajaran seperti nilai baik, pemurah, berani, sabar dan rajin. Contohnya, seorang pencerita ingin menyampaikan tema umum tentang cerita �Orang Tamak Selalu Rugi�. Tema cerita akan dihuraikan dengan beberapa contoh cerita yang berkaitan dengan kisah orang yang rugi akibat bersifat tamak. Ada juga kisah yang bersifat negatif seperti perbuatan jahat, kedekut, penakut, pemarah dan zalim. Kisah negatif dijadikan perbandingan dengan ciri-ciri perbuatan positif seperti sifat baik dan mulia. Dari segi sejarah di Eropah, cerita moral berasal daripada cerita nasihat yang terdapat dalam syarahan agama yang diberikan oleh paderi di gereja yang wujud pada akhir abad pertengahan. Contoh koleksi cerita moral yang terkenal ialah Teh Nun�s Priest�s Tale oleh Chaucer. Cerita moral banyak terdapat dalam khazanah kesusasteraan Melayu tradisional, khususnya dalam karya kitab agama Islam. Pengarang kitab zaman silam sering menghuraikan sesuatu perkara yang berkaitan dengan nilai moral manusia dengan selingan cerita nasihat bersumberkan pelbagai kitab Arab, khususnya yang berkaitan dengan kehidupan para nabi, ulama, raja dan orang alim. Cerita moral juga menjadi bahan penceritaan yang penting dalam sastera kanak-kanak untuk menyampaikan pengajaran kepada golongan pembaca berkenaan. Lihat juga anekdot, fiksyen moral. |