Tamayo, Rufino (1899–1991) ialah pelukis
Mexico yang penting. Dia dikenali kerana caranya
melukis bentuk manusia, haiwan dan alam benda
yang berani dan berwarna terang. Tamayo melukis
dengan cara separa abstrak, dengan mengherot-benyotkan
bentuk supaya kelihatan penuh perasaan.
Lukisannya menggambarkan pengaruh budaya
rakyat, sejarah dan landskap Mexico. Berbeza
dengan pelukis-pelukis terkenal Mexico yang lain
yang seangkatan dengannya, Tamayo jarang
menekankan nasionalisme atau ideologi politik.
Tamayo lahir di Oaxaca, Mexico. Semasa awal
tahun 1920-an, dia bekerja melakar arca purba
Orang Asli Amerika untuk National Museum of
Anthropology di Mexico City. Pada tahun 1930-an
dan awal tahun 1940-an, gayanya telah bertukar
kerana dipengaruhi oleh pendedahannya kepada
hasil kerja pelukis moden dari Eropah, seperti
Georges Braque, Joan Miró dan Pablo Picasso.
Bermula pada tahun 1970, lukisan Tamayo menjadi
lebih abstrak dan berfalsafah, dan sering meneroka
hubungan manusia dengan alam semesta.